20 November 2025

Mengenali si pintar cerdas

Featured

Our monsoon trifecta

By Rafidah Lani As Malaysia enters the Northeast Monsoon season...

Taiping souls

By Yong Adilah Shamsul Harumain, Asmiza Abdul Sani Urban planning...

R&D future

By Professor Dato Dr Ahmad Ibrahim For decades, Malaysia’s economic...

Keliru

Mungkinkah dunia yang terlalu pantas berubah untuk Gen Z? Oleh...

Fabrications

By Nor Azlida Mohd Nor and Anis Nadhia Roslan Healthcare...

Share

Oleh: Dr. Madhyazhagan Ganesan

Kita selalu mendengar mengenai individu yang memiliki tahap kecerdasan (intelligent quotient – IQ) yang tinggi. Misalnya saintis Stephen Hawking memiliki skor IQ 160 manakala, pemain catur terkemuka Gary Kasparov 194.

Umumnya mereka yang dianggap cerdas dan pintar ini memiliki tahap kecerdasan di atas 130. Istilah pintar cerdas pertama kali digunakan oleh Francis Galton pada tahun 1869.

Konsep kepintaran berasal daripada istilah kecerdasan atau ‘intelligent’. Pintar cerdas didefinisikan individu dengan keupayaan pembelajaran dan perkembangan yang melebihi tahap normal. Selain itu ia juga merujuk kepada keupayaan seorang kanak-kanak melakukan penaakulan iaitu kebolehan berfikir dengan logik dan mempunyai fungsi kognitif yang hebat.

Bagaimanapun, setiap individu yang dikategorikan sebagai pintar cerdas ini memiliki memiliki domain kebolehan tersendiri iaitu terbahagi kepada intelektual, akademik, verbal, kemahiran sosial, muzik, kemahiran fizikal, dan kecerdasan emosi.

Ada sesetengah kanak-kanak ini disifatkan sebagai berbakat atau ‘gifted’. Ia merujuk kepada kebolehan semula jadi yang terdapat dalam diri individu.

Namun, tidak semua ibu bapa mampu mengenal pasti kanak-kanak pintar. Justeru sekolah rendah dilihat sebagai asas utama kepada pengesanan keupayaan mereka berdasarkan perkembangan aktiviti pembelajaran. Namun ada kala kepintaran mereka disalahertikan menyebabkan murid tersisih.

Justeru untuk mengenal pasti keupayaan mereka, ia mesti berdasarkan ciri-ciri psikologi, ingatan dan pemikiran logik yang ditunjukkan selain menerusi pembelajaran mereka.

Gambar hiasan ihsan Pexels (Anastasia Shuraeva)

Secara umum terdapat enam kategori kanak-kanak pintar cerdas:

  1. Kategori kanak-kanak berbakat
    Kanak-kanak pintar cerdas kategori ini sangat mudah untuk dikenali. Umumnya mereka sering disukai oleh guru dan rakan-rakan sebaya. Hasil pencapaian akademik kanak-kanak ini selalunya tinggi. Namun mereka kurang gemar berdiri dan lebih suka untuk bergantung harap kepada orang lain.
  2. Kreatif
    Kanak-kanak dalam kategori ini mempunyai sifat kreativiti yang tersendiri. Namun tingkah laku mereka boleh berubah menjadi degil jika kurang diberi perhatian oleh ibu bapa mahupun guru-guru. Oleh yang demikian, kanak-kanak seperti ini perlu sentiasa diberi motivasi dan galakan.
  3. Kanak-kanak kategori ketiga ini kebanyakannya adalah kanak-kanak perempuan. Mereka mudah cemas dan tidak berasa selamat. Ini adalah kerana wujudnya konflik dalam sosial dan kejayaan akademik. Mereka selalu mengalami kemurungan kerana tidak yakin bahawa bakat yang dimiliki oleh mereka dapat diketengahkan.
  4. Mereka dalam kumpulan keempat dikenali sebagai kanak-kanak yang keciciran. Kanak-kanak ini mempunyai pencapaian yang rendah dalam pelajarannya. Tambahan mereka ini kurang dorongan dan motivasi. Ini disebabkan mereka mengikuti program yang tidak sesuai dengan mereka. Oleh yang demikian, program yang bersesuaian perlu diberikan kepada mereka
  5. Kategori kelima ini umumnya menonjol kesulitan dalam pembelajaran sama ada dari fizikal dan emosi. Kanak-kanak kategori ini kurang diberi perhatian dan potensi serta bakat mereka dipersiakan. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak pintar cerdas yang kurang upaya dari aspek fizikal mungkin memiliki kecerdikan pada aspek pembelajaran telah menyebabkan kepandaiannya itu tidak dipedulikan.
  6. Kanak-kanak berautonomi iaitu mereka yang mempunyai cara mereka yang tersendiri. Mereka tidak mudah bergantung harap daripada orang lain. Kanak-kanak seperti ini akan terus mengembangkan potensi dari dalam dirinya jika terdapat program yang bersesuaian dengan mereka.

Bagaimana mengenali ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas?

Kanak-kanak pintar cerdas memiliki ciri-ciri kepandaian berfokus iaitu hanya pandai dalam sesuatu bidang tetapi hanya normal untuk bidang-bidang yang lain. Perkara ini dinamakan ‘asynchronous’ yang bermaksud tidak sekata atau tidak berlaku mengikut peringkat yang sepatutnya.

Ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas juga boleh dibahagikan kepada aspek kognitif, kemahiran fizikal, tingkah laku, intelektual, akademik, verbal, kecerdasan emosi dan kemahiran bersosial.

Ia boleh diperjelaskan berdasarkan pembahagian berikut:

Kognitif

  • Ingatan yang kuat
    -Berminat kepada sesuatu yang kompleks dan mencabar
    -Memproses maklumat dengan cepat

Kemahiran fizikal

  • Kebolehan fizikal dan mental yang berbeza

Tingkah laku

  • Gigih serta berorientasikan maklumat
  • Pengamatan yang luar biasa
  • Sensitiviti yang tinggi berbanding yang lain
  • Rasa humor yang tinggi

Intelektual

  • Cepat belajar
  • Berminat memerhatikan alam
  • Mengingat dengan cepat dan tepat
  • Pengetahuan mendalam berbanding kanak-kanak lain yang sebaya
  • Memori yang tinggi.

Pencapaian akademik

  • Tahap kemampuan membaca, mengira dan penulisan lebih tinggi
  • Memperlihatkan kemahiran dalam satu atau dua subjek
  • Menguasai isi kandungan pelajaran
  • Prestasi pencapaian akademik yang tinggi

Verbal

  • Tahap pertuturan yang jelas dari segi perbendaharaan kata dan tatabahasa
  • Mampu bercerita dengan spontan
  • Keupayaan menyampaikan idea dan maklumat dengan jelas
  • Penggunaan perbendaharaan kata yang betul
  • Penguasaan bahasa yang tinggi

Kecerdasan emosi

  • Lebih peka terhadap kritikan

Kemahiran bersosial

  • Mempunyai nilai empati yang tinggi
  • Mempunyai tahap keinginan yang lebih tinggi dalam sesuatu permainan
  • Mempunyai kemahiran dalam kepimpinan
  • Berkawan dengan orang yang lebih dewasa
man in black suit jacket figurine
Gambar hiasan ihsan Unsplash.

Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di madhya@um.edu.my