Oleh Yazkhiruni Yahya
Tatkala ribuan pelajar menerima keputusan SPM, ramai berada di persimpangan penting untuk menentukan masa depan. Dalam pelbagai pilihan, bidang perakaunan kekal sebagai laluan kerjaya yang stabil dan luas prospeknya. Walaupun sering dikaitkan dengan angka, perakaunan moden merangkumi aspek penting seperti strategi korporat, pengurusan risiko, tadbir urus organisasi dan transformasi digital. Ia tentang membuat keputusan bijak, menjamin ketelusan, menyokong pertumbuhan perniagaan dan menegakkan integriti.
Digelar โbahasa perniagaanโ, bidang ini penting dalam membuat keputusan kewangan berhemah. Semua organisasi โ sama ada syarikat multinasional, PKS atau agensi kerajaan โ memerlukan akauntan bagi mengurus rekod kewangan, memastikan pematuhan undang-undang, dan memberi panduan strategik. Akauntan masa kini perlu memahami piawaian antarabangsa dan berfungsi dalam persekitaran global, terutama dengan tumpuan terhadap tadbir urus dan kelestarian.
Salah satu tarikan utama kerjaya ini ialah kepelbagaiannya. Bidang perakaunan menawarkan pengkhususan seperti audit, perakaunan forensik, pengurusan risiko dan perundingan cukai. Setiap cabang memerlukan kemahiran tersendiri dan memberi ruang kepada individu memilih mengikut minat dan kekuatan. Dengan kelayakan profesional, akauntan Malaysia boleh bekerja di pusat kewangan utama dunia seperti Singapura, Dubai atau London.
Di Malaysia, permintaan terhadap akauntan bertauliah kekal tinggi. Menurut unjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA), negara memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 akauntan menjelang 2030. Namun, jumlah graduan semasa belum mencukupi. Dalam masa sama, kemajuan teknologi turut mengubah profesion ini secara menyeluruh. Perisian awan, sistem automasi dan aplikasi analitik kini menjadi kebiasaan dalam pengurusan kewangan. Maka, celik teknologi menjadi nilai tambah utama. Kemahiran dalam perisian seperti SQL, AutoCount, Xero, serta kefahaman asas ERP amat digalakkan.
Dari segi laluan kerjaya, akauntan boleh memilih sama ada bekerja di firma perakaunan (seperti PwC, EY, Deloitte, KPMG), sektor korporat, agensi kerajaan (seperti LHDN, Bank Negara) atau dalam bidang akademik. Setiap laluan menawarkan kelebihan tersendiri โ daripada pendedahan pelbagai industri, peranan strategik dalam syarikat, sehinggalah peluang membina ilmu sebagai pendidik.
Untuk lepasan SPM, antara laluan akademik ke bidang ini termasuk STPM, Matrikulasi, A-Level, atau Asasi. Alternatifnya, program Diploma Perakaunan yang ditawarkan oleh UiTM, politeknik dan kolej swasta membolehkan pelajar terus bekerja atau menyambung ke peringkat ijazah.
Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) kekal sebagai laluan paling menyeluruh. Institusi seperti UM, UiTM, UKM, Sunway, Monash dan Nottingham Malaysia menawarkan program yang diiktiraf oleh MIA, dan memberikan pengecualian untuk peperiksaan profesional. Graduan kemudiannya boleh menduduki Peperiksaan Kelayakan MIA dan memohon status Akauntan Bertauliah Malaysia selepas tiga tahun pengalaman kerja.
Untuk lebih daya saing, pelajar digalakkan menyambung ke program profesional. Antara badan yang diiktiraf ialah ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA-CAANZ. ACCA terkenal dengan silibus menyeluruh, CIMA menumpu pada perancangan strategik, ICAEW memberi penekanan pada latihan ketat, manakala MICPA-CAANZ sesuai untuk yang bercita-cita bekerja di Malaysia dan Australia. Pensijilan ini memerlukan lulus peperiksaan tertentu serta tempoh latihan industri selama tiga tahun.
Pemilihan antara ijazah atau sijil profesional bergantung pada matlamat individu. Ijazah memberikan asas akademik kukuh dan pengalaman menyeluruh, manakala sijil profesional menawarkan laluan pantas tetapi menuntut disiplin kendiri yang tinggi. Gabungan kedua-duanya adalah pilihan terbaik untuk prospek jangka panjang.
Kemahiran turut memainkan peranan penting. Bertentangan dengan kepercayaan umum, pelajar tidak perlu mahir matematik untuk cemerlang dalam bidang ini. Yang lebih penting ialah keupayaan berfikir logik, perhatian pada perincian dan pematuhan kepada prosedur. Subjek seperti Prinsip Perakaunan, Matematik, Bahasa Inggeris dan Ekonomi amat membantu, begitu juga kemahiran dalam perisian seperti Excel, SQL, QuickBooks dan Tableau. Pengetahuan dalam pelaporan ESG juga semakin penting dalam dunia korporat masa kini.
Menyedari kos pendidikan yang tinggi, pelbagai biasiswa disediakan oleh JPA, MARA, Yayasan Khazanah serta badan profesional seperti ACCA dan ICAEW. Yayasan Peneraju khususnya menawarkan tajaan penuh kepada pelajar Bumiputera bagi program profesional ini, termasuk yuran dan elaun sara hidup.
Kesimpulannya, bidang perakaunan bukan sekadar tentang angka. Ia menuntut integriti, akauntabiliti dan kemahiran strategik. Dalam ekonomi digital yang serba pantas, permintaan terhadap akauntan beretika dan berkemahiran tinggi akan terus meningkat. Bagi pelajar yang ingin membina masa depan kukuh โ sama ada sebagai CEO, pengusaha firma sendiri, penjawat awam atau pendidik โ bidang ini membuka jalan yang jelas dan bererti.

Dr. Yazkhiruni Yahya ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di yazkhiruni@um.edu.my