Oleh: Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman
“Peperiksaan kali ini akan dilaksanakan secara Open-Book Test’. Pengumuman ini disambut dengan sorakan kegembiraan oleh seluruh pelajar dalam kelas. Ini bermakna pelajar dibenarkan untuk menggunakan buku teks, buku rujukan, nota ringkas dan bahan sumber pembelajaran untuk menjawab soalan. Persoalannya, sesuaikan ‘Open-book Test’ dilaksanakan kepada pelajar khususnya di peringkat sekolah? Mampukah Open-Book Test menilai penguasaan pelajar? Sejauh manakah Open-Book Test boleh dipercayai keputusannya?
Pastinya wujud kerisauan, kebimbangan dan keraguan baik kepada ibu bapa mahu pun masyarakat akan kemampuan kaedah Open-Book Test mengukur apa yang sepatutnya diukur, khususnya penguasaan hasil pembelajaran. Sebahagian besar kita masih terikat dengan bentuk peperiksaan ‘tutup buku’ yang digunakan untuk mengukur dan menguji pengetahuan, pemahaman dan keupayaan seseorang pelajar terhadap sesuatu hasil pembelajaran. Hakikatnya dalam menguji dan mengukur penguasaan pembelajaran pelajar, ianya tidak hanya terhad kepada peperiksaan ‘tutup buku’ di dalam dewan kuliah semata-mata. Terdapat pelbagai bentuk pentaksiran dan pengujian yang dapat digunakan oleh guru untuk menilai kebekesanan pengajaran dan pembelajaran serta penguasaan hasil pembelajaran. Open-Book Test merupakan salah dari daripada beberapa bentuk pentaksiran dan pengujian yang dapat dijalankan oleh guru untuk mengukur dan menilai penguasaan pelajar. Bezanya, Open Book Test ini menguji keupayaan pelajar untuk mengaplikasi, mensintesis dan menjana idea daripada persoalan yang ditimbulkan.
Berikutan situasi penularan wabak COVID-19, inisiatif guru dan pihak sekolah meneroka, kepelbagaian bentuk pentaksiran dan penilaian adalah satu usaha yang perlu diberi pujian. Dalam persekitaran pembelajaran digital dan mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0, pelaksanaan Open-Book Test dilihat amat bersesuaian dalam memperkembangkan keupayaan intelektual pelajar. Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan Open-Book Test, guru seharusnya mempertimbangkan semula setiap bentuk soalan yang dibina. Pembinaan soalan Open-Book Test sewajarnya disesuaikan semula dengan bentuk peperiksaan yang lebih memberi penekanan terhadap aras aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian, berbanding aras kefahaman dan pengetahuan. Ini bagi memastikan bahawa pelajar diuji dengan apa yang sepatutnya diuji, dan tidak diasak dengan persoalan yang di luar daripada skop kurikulumnya.
Menyedari hakikat ini, pelajar perlu lebih bersedia untuk mempersiapkan diri menghadapi Open-Book Test. Ini kerana tidak semua jawapan dapat disalin dalam buku teks mahu pun nota rujukan.
Berikut merupakan beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh pelajar bagi menghadapi Open-Book Test:
Mengumpulkan Bahan Sumber Pembelajaran
Biasakan diri dengan sumber-sumber pembelajaran – Buku Teks, Buku Rujukan, Nota serta bahan-bahan pembelajaran yang digunakan. Ketahui skop soalan, topik serta rujukan utama yang perlu dirujuk. Ini dapat membantu pelajar mencari jawapan dan membuat rujukan dengan cekap dan tepat.
Buat nota ringkas dan fahami isi pembelajaran/konsep bagi setiap topik. Ini merupakan aspek penting dalam Open-Book Test kerana ia sangat penting dalam memastikan pelajar memahami dan menguasai isi pembelajaran. Ini kerana soalan yang dikemukakan bersifat aplikasi dan penilaian yang memerlukan pelajar menguasai isi pembelajaran sebenuhnya sebelum dapat dijawab.
Highlight Konsep, Istilah atau kata kunci bagi setiap topik pembelajaran. Gunakan pen highlight berwarna dan sticky notes untuk menulis nota atau info dengan melekatkannya dalam buku teks tersebut. Ini memudahkan pelajar untuk merujuk dan mengenal pasti konsep yang ditanya dalam soalan.
Pembacaan dan Kefahaman Topik
Open-Book Test bukan bermakna pelajar tidak perlu membaca dan mengulangkaji. Pelajar perlu membaca dan mengulangkaji untuk memahami topik-topik yang digariskan di dalam kurikulum. Kefahaman terhadap sesuatu topik amat mustahak dalam memastikan pelajar dapat menjawab dengan baik dan tepat. Menerusi bacaan, selain pelajar dapat pengetahuan, pelajar seharusnya mampu untuk memahami dan menguasai isi pembelajaran tersebut supaya dapat mempertingkatkan pengetahuan, menghubungkaitkan idea, menilai dan memberi jawapan dengan matang, tepat, kritis dan mantap berkaitan topik yang disoal.
Semasa Open-Book Test Berlangsung
Susun Bahan Sumber pembelajaran — Sebelum bermula Open-Book Test, pastikan pelajar menyusun semua bahan-bahan rujukan seperti buku teks, nota ringkas serta buku rujukan yang perlu digunakan di atas meja berdekatan dan mudah dicapai semasa sesi Open-book test bermula.
Baca soalan dengan teliti — Baca kesemua soalan dengan teliti, kenal pasti konsep, istilah dan kata kunci yang digunakan. Pelajar digalakkan untuk menjawab soalan-soalan yang sudah diketahui jawapannya dahulu, sebelum menjawab soalan yang memerlukan pelajar merujuk bahan sumber pembelajaran yang dibawa. Ini penting bagi memastikan soalan dapat ditamatkan dalam masa yang diperuntukkan.
Jangan menyalin bulan-bulat jawapan dalam buku rujukan/buku teks — Soalan Open-book Test memerlukan pelajar menganalisis dan menilai sesuatu situasi sebulum menjawabnya dengan kritis. Oleh itu, elakkan untuk menyalin jawapan atau fakta bulat-bulat daripada buku teks. Sebaliknya tulislah jawapan dengan lebih kritis berdasarkan pengetahuan dan kefahaman pelajar untuk menganalisis, menilai dan mensintesis sesuatu fakta. Open-Book Test tidak hanya menilai pengetahuan dan kefahaman, sebaliknya menguji kemampuan pelajar dalam menguasai sesuatu hasil pembelajaran.
Open-Book Test memberi peluang kepada guru untuk menguji tahap penguasaan pelajar pada aras yang lebih tinggi dan seterusnya mengasah pemikiran kritis pelajar terhadap sesuatu permasalahan. Justeru Open-Book Test ini sesuai untuk dilaksanakan dalam persekitaran pembelajaran masa kini yang lebih bersifat digital, dan segala maklumat boleh diperoleh di hujung jari. Bentuk peperiksaan yang lebih bersifat dinamik ini tentunya memberi ruang dan peluang kepada guru untuk meningkatkan penguasaan pembelajaran pelajar.
Penulis merupakan Ketua, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdnazri_ar@um.edu.my
Nota: Artikell ini telah diterbitkan Berita Harian (Ed.)