21 September 2024

Pak Ungku ada kunci basmi kemiskinan

Featured

Reducing the impact of landslides

By Dr Mohd Talha Anees Almost half of Peninsular Malaysia...

Mengukur kemiskinan asnaf dengan tanda aras multidimensi

Oleh: Dr. Muhammad Nooraiman Zailani Isu kemiskinan amat sukar untuk...

Let’s go for smarter healthcare to stop heart attacks

By Assoc. Prof. Dr. Khor Sook Mei Heart attacks remain...

The treasure in non-coding RNAs

By Assoc. Prof. Dr. Lim Yat Yuen For decades, scientists...

He is the epitome of a leader

By Mohammad Tariqur Rahman The leadership qualities of Prophet Muhammad...

Share

Oleh: Prof. Dr. Chamhuri Siwar

Untuk menyelusuri pemikiran dan sumbangan Pak Ungku A. Aziz (UA), sumber utama ialah koleksi makalah dan tulisan (selected reprints) UA yang terkumpul dalam buku “Royal Professor Ungku A.Aziz : Writing for the Nation,” Penerbit Universiti Malaya, dengan kerjasama Persatuan Ekonomi Malaysia dan Perpustakaan Universiti Malaya, 2017. Koleksi ini yang menghimpunkan 120 makalah UA, tersusun mengikut abjad, terhimpun dalam 5 jilid, mengandungi 2583 muka surat.

Saya mulakan dengan secara rengkas menyorot secara terpilih pemikiran dan sumbangan UA dalam berbagai bidang yang diminati beliau, melalui makalah dan tulisan UA, terutama berkait dengan pembangunan manusia, pembangunan desa dan pertanian serta pembasmian kemiskinan.

Kemiskinan Desa

Antara makalah UA yang terhimpun dalam koleksi buku di atas ialah ‘Agensi Pembangunan dan Kemiskinan Desa’ yang asalnya adalah sebuah kertas kerja dibentangkan di Seminar Kebangsaan Dasar Ekonomi Baru selepas 1990: Peranan Sektor Korporat Awam, anjuran GEMAPUTERA, 24-26 Mac 1987. Kertas ini menyorot masalah kemiskinan Melayu sejak tahun 1950an, yang mengikut Banci tahun 1980, kira-kira 75 peratus penduduk Melayu masih tinggal di desa, dan sebahagian besar daripada mereka hidup di dalam kemiskinan. UA mengutarakan contoh, antara tanda-tanda kemiskinan ialah fenomena kecacingan, di mana dianggarkan 98 peratus kanak-kanak desa (7 tahun ke bawah) mengalami kecacingan yang mengakibatkan masalah kesihatan kanak-kanak tersebut, yang seterusnya menyumbang kepada kemerosotan dalam keputusan peperiksaan awam, seperti STPM.

Walaupun Kerajaan berusaha untuk memperbaiki kehidupan mereka, misalnya melalui program Pembangunan Desa, kesihatan desa dan sebagainya, ternyata usaha-usaha tersebut masih tidak mencukupi dan tidak setanding dengan program dan perkhidmatan yang terdapat di bandar.

Faktor kemiskinan

UA mengutarakan tiga faktor yang menyumbang kepada kemiskinan, iaitu teknologi yang rendah, pengabaian dan penindasan. Mengenai teknologi, UA memberi contoh, walaupun berbagai teknologi dan pendekatan moden diperkenalkan kepada penduduk desa, seperti penggunaan mesin dan jentera, pengenalan biji benih dan tanaman baru, namun kejayaan program-program tersebut tidak mencapai maklamatnya kerana faktor ketidaksesuaian teknologi dan kemudahan yang disediakan, misalnya pembinaan bilik-bilik sejuk di luar kawasan penangkapan ikan, tiadanya kos penyelenggaraan jentera menyebabkan jentera-jentera tidak dapat digunakan.UA juga memberi contoh tentang program-program tidak menyelesaikan masalah sebenar tetapi setakat menyelesaikan gejalanya sahaja. Misalnya penyelesaian kepada masalah nelayan melalui program penempatan semula di kawasan pertanian, yang menambah kepada masalah nelayan kerana terpaksa tinggal di kawasan baru yang berlainan.

Dari segi penindasan, UA memberi contoh sistem kredit desa yang menindas apabila masyarakat desa terpaksa meminjam melalui pajak gadai atau sistem pawah yang mengenakan kadar bunga ‘tersorok’ yang sangat tinggi. Sistem ini kerapkali menyebabkan petani-kecil tidak dapat membayar pinjamannya dan terpaksa melapaskan harta-harta yang ada seperti tanah, barang kemas dan sebagainya, yang dijadikan sandaran bagi pinjaman yang dibuat. Masalah ini berlaku kerana tiadanya sistem alternatif bagi masyarakat desa untuk meminjam, selain tiadanya skim perlindungan bagi pekerja awam di bandar.

Pengabaian masyarakat desa boleh berlaku, walaupun banyak institusi-institusi ditubuhkan untuk membantu petani, nelayan dan masyarakat desa. UA menyebut tentang masalah-masalah birokrasi, kurangnya penyelarasan antara jabatan sering berlaku menyumbang kepada pengabaian malahan menindas masyarakat desa. Pengabaian ini jelas jika dibandingkan tahap pembangunan dan perkhidmatan yang diberikan kepada kawasan dan masyarakat bandar.

Matlamat DEB

Berkait dengan matlamat DEB untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat, UA berpendapat terdapat tanda-tanda kejayaan dalam beberapa bidang. Kadar kemiskinan telah dapat dikurangkan dengan pesatnya mengikut masa. Matlamat penyusunan semula masyarakat untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera telah menampakkan kejayaan dalam beberapa bidang seperti kewangan, tetapi masih rendah dalam bidang pembinaan , pemilikan saham dan sebagainya. Lompang atau jurang antara matlamat dan pencapaian perlu ditampung dan diberi perhatian dan penekanan.

Dalam usaha untuk mengukur pencapaian matlamat DEB, adalah tidak memadai hanya dengan mengambilkira sasaran pemilikan saham oleh Bumiputera sahaja. UA berpendapat bahawa ukuran-ukuran sosioekonomi yang lain perlu diambil kira untuk memberi gambaran sebenar. UA menyarankan, memandangkan kadar kemiskinan, terutama kemiskinan desa ketika itu masih tinggi, usaha-usaha perlu diambil oleh Kerajaan dan agensi-agensinya untuk memperbaiki keadaan ini dan membasmi kemiskinan dengan lebih berkesan.

Tulisan ringkas ini cuba melakarkan pemikiran UA terhadap isu dan fenemona kemiskinan desa yang membelenggu, terutamanya masyarakat Melayu desa. UA menuding faktor-faktor kemiskinan desa kepada teknologi rendah, penindasan, dan pengabaian. Walaupun langkah-langkah pembasmian kemiskinan dilakukan oleh Kerajaan dan agensi-agensi, namun wujud lompang atau jurang pencapaian dengan matlamat atau sasaran kemiskinan. Kadar kemiskinan desa yang masih tinggi mengesan masyarakat desa, misalnya melalui tahap kesihatan yang rendah, penyakit-penyakit berjangkit seperti kecacingan, yang boleh menjejaskan kecerdasan dan prestasi kanak-kanak sekolah.

Masalah sosioekonomi masyarakat desa perlu diatasi melalui usaha-usaha pembasmian kemiskinan yang lebih berkesan. Faktor-faktor kemiskinan seperti teknologi rendah, pengabaian dan penindasan perlu dirungkai dan dicerakin; dan penyelesaian kepada masalah tersebut perlu dicari. Reformasi institusi dan agensi-agensi pembasmian kemiskinan adalah perlu untuk mewujudkan usaha-usaha pembasmian kemiskinan yang lebih berkesan.

Penulis merupakan Profesor Adjung di Pusat Pengajian Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di t_cpds@um.edu.my