12 May 2025

Pemulihan lapisan ozon bukti kita mampu atasi masalah global

Featured

Forever smiles

By Cheah Chia Wei, Mohd Zamri Hussin A smile is...

Membawa cahaya ke Pulau Sebatik dan Pulau Sangaban

Di era serba moden dan berdaya saing ini, penguasaan...

Honouring them

By Zuraini Md Ali, Nor Hayati Hussain As Mother’s Day...

For everyone

By Sheila Ramalingam Malaysia is proudly multi-racial, multi-cultural, and multi-religious....

Pastikan tidak di’bedal’

Oleh Mohd Anuar Ramli Menjelang musim haji akan timbul pengiklanan...

Share

Empat dekad yang lalu, para saintis telah memberi amaran berkenaan betapa seriusnya kesan penipisan lapisan ozon yang boleh memudaratkan kesihatan manusia sekiranya isu ini terus diabaikan. Mujurlah masyarakat global, termasuk negara kita Malaysia, bergerak sejajar dengan perjanjian yang telah dimeterai pada 1985, iaitu Konvensyen Vienna untuk Melindungi Lapisan Ozon dan Protokol Montreal untuk Kawalan Bahan Penipis Lapisan Ozon pada 1987.

Hasil kawalan penggunaan bahan kimia penipis lapisan ozon seperti kluorofluorokarbon (CFCs), hidroklorofluorokarbon (HCFCs), halons, karbon tetraklorida, metil kloroform dan metil bromida ini telah berjaya mengelakkan terjadinya malapetaka radiasi yang lebih memudarat akibat kerosakan lapisan ozon. Pemerhatian saintifik juga menunjukkan pengurangan bahan kimia yang biasa digunakan untuk aplikasi refrigerasi, pendingin hawa dan aerosol ini juga menunjukkan kesan positif bahawa lapisan ozon telah berjaya dipulihkan.

Walau bagaimanapun, pengurangan bahan kimia penipis lapisan ozon seperti tersenarai di atas telah menyebabkan pula peningkatan penggunaan gas berfluorin (Gas F) sebagai pengganti. Ini telah mewujudkan masalah baru, kerana gas-gas seperti perfluorocarbons (PFCs) dan sulfur heksafluorida (SF6) ini, sungguh pun tidak menipiskan lapisan ozon, adalah merupakan sejenis gas rumah hijau (greenhouse gases). Lebih membahayakan, kelompok Gas F ini memberikan impak negatif yang lebih besar terhadap perubahan iklim berbanding gas rumah hijau yang kita biasa dengari, iaitu karbon dioksida. Sejak 1990an, peningkatan penggunaan kelompok Gas F ini amat merisaukan, dan kini penggunaannya dikawal selia oleh Konvesyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCC) serta Protokol Kyoto.

Sempena Hari Perlindungan Lapisan Ozon Sedunia yang bakal disambut pada 16 September ini, marilah kita sama-sama melihat apa yang boleh kita lakukan sebagai ahli komuniti yang cakna alam sekitar untuk sama-sama melindungi lapisan ozon, iaitu lapisan perisai gas pelindung nipis sekitar 15 hingga 30 km dari permukaan bumi yang sentiasa melindungi hidupan dunia daripada komponen radiasi berbahaya matahari ini.

Pertama, pastikan kita menggunakan produk mesra ozon, atau bebas CFCs. Sebelum menggunakan apa-apa produk terutamanya yang melibatkan gas yang meruap, perhatikan label dan pastikan kandungannya supaya tidak mengandungi bahan-bahan kimia perosak ozon. Di samping itu, jadilah pengguna peralatan refregerasi, peti sejuk dan pendingin hawa yang disahkan pihak berkuasa sebagai mesra ozon.

Sejak pandemik COVID-19 melanda dan menyekat pergerakan fizikal secara bebas, masyarakat seluruh dunia telah banyak mula bercucuk tanam di kawasan sekeliling rumah. Sungguh pun ini merupakan usaha yang baik untuk komuniti dan tentunya meningkatkan kuantiti laman hijau, pastikan bahan fumigasi dan baja yang digunakan tidak mengandungi metil bromida. Jika digunakan secara berlebihan, ianya adalah tidak mesra ozon. Di samping itu, elakkan membakar daun-daun kering dan sampah laman melalui pembakaran terbuka, yang hanya membantu meningkatkan kuantiti karbon dioksida dan karbon monoksida, selain pencemaran bau dan asap.

Yang terakhir, rancanglah perjalanan dengan bijak, dan sentiasa mengutamakan penggunaan kenderaan awam. Oleh kerana kekangan pandemik COVID-19, pastikan kenderaan yang anda pandu adalah efisien penggunaan bahan apinya dan jika berkemampuan, miliki kenderaan hibrid atau yang boleh menggunakan bio bahan api sebagai alternatif bahan api fosil. Ini secara langsung amat membantu dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan signifikan. Bio bahan api terkini tidak lagi menggunakan sumber tumbuhan makanan sebagai bahan asasnya, sebaliknya menggunakan biojisim termaju, sisa pertanian dan minyak kitar semula. Situasi ini tentunya mengelakkan dilema persoalan “Makanan atau Minyak?” yang sering diperdebatkan.

Hari Perlindungan Lapisan Ozon Sedunia ini telah diperkenalkan pada 1994 bagi menyambut pencapaian warga dunia dalam usaha kita sama-sama memulihkan lapisan ozon Bumi. Walaupun cabaran sebenar di tangan kita pada masa kini ialah perubahan iklim, pencapaian ini telah menjadi tanda aras bahawa keputusan secara kolektif dan tindakan yang sepakat masyarakat dunia berpandukan maklumat saintifik, dapat menjadi ikhtiar dan jalan terbaik untuk kita semua menyelesaikan cabaran-cabaran besar dan berskala global.

Penulisan ini disediakan sempena Hari Perlindungan Lapisan Ozon Sedunia yang disambut pada 16 September setiap tahun, dan telah dihantar ke beberapa media massa tempatan (Ed.)