15 February 2025

Projek PEARL terus dekati murid Lembah Subang melalui Bahasa Inggeris

Featured

Beyond these walls

By Dr Noralina Omar It was raining that afternoon. The...

Bila dia ‘halal’

Oleh: Prof. Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin Vape atau...

Menyantuni mereka di pinggir ibu kota

Pada 29 Disember 2024, Seramai 40 orang pelajar dari...

For our future

By: Lee Wai Guan, Dr. Mohd Istajib Mokhtar Imagine a...

Say it better

By Nahrizul Adib Kadri Not going into the arguments for...

Share

Kemahiran berbahasa Inggeris merupakan antara kemahiran asas yang ditekankan di dalm system Pendidikan negara kita. Penguasaan bahasa global ini akan memastikan generasi akan datang tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dunia yang semakin pesat melalui jaringan internet dan Revolusi Industri 4.0.

Mengambil inisiatif menjalin jaringan kemasyarakatan melalui pendekatan bahasa Inggeris, sekumpulan sukarelawan dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) telah melaksanakan Projek PEARL di Lembah Subang, Selangor, baru-baru ini. Program yang bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid SK Lembah Subang yang terpilih ini turut menerima kerjasama dari Yayasan Amal Asas.

“Pada awalnya keseluruhan modul pengajaran Projek PEARL dirancang untuk dilaksanakan secara bersemuka di dewan SK Lembah Subang, namun disebabkan keperluan penjarakan sosial, kami bersetuju untuk melaksanakannya secara atas talian. Ini menyebabkan modul pengajaran asal terpaksa dirombak bagi menyesuaikan objektif pembelajaran dengan aplikasi dan platform atas talian yang digunakan, seperti WhatsApp dan Google Meet,” kata Arina Anesee, graduan Fakulti Pendidikan UM yang juga merupakan ketua sukarelawan program.

Projek PEARL, yang diasaskan di UM oleh Prof. Madya Dr. Adelina Asmawi sejak 2019, merupakan sebuah program sukarelawan yang mendekati murid-murid dari golongan keluarga berpendapatan rendah B40 di sekitar Selangor. Fokus program ini adalah peningkatan penguasaan bahasa Inggeris melalui pendekatan intrinsik yang menyeronokkan, terutamanya melalui kaedah berasaskan permainan dan teater. Bermula dengan kejiranan flat Program Perumahan Rakyat (PPR) di Mutiara Damansara, Projek PEARL kini memusatkan perhatian mereka kepada komuniti kurang berkemampuan di Lembah Subang.

Menurut Arina lagi, selain cabaran penghasilan modul aktiviti baru, para peserta juga dibebani dengan kekangan kemudahan peranti dan akses internet. “Disebabkan ahli keluarga lain yang juga masih bersekolah, selain ibu bapa mereka yang juga bekerja dari rumah (WFH), ramai peserta yang terpaksa berkongsi peranti dan masa untuk diluangkan berada di atas talian,” katanya.

“Saya teruja turut diberi peluang menjadi guru sukarelawan untuk Projek PEARL ini kerana membenarkan saya mempraktikkan pengetahuan yang dipelajari di kuliah untuk kegunaan murid-murid ini. Walaupun dengan kekangan penjarakan fizikal, saya tetap berasa puas dengan riak wajah peserta yang semakin yakin bertutur dalam bahasa Inggeris,” kata Sanjeev Raj Gopal, graduan jurusan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL), UM.

“Pandemik COVID-19 telah membantutkan banyak aspek pelaksanaan Projek PEARL, terutamanya komponen teater yang telah terbukti mampu memperkasa keyakinan murid-murid ini bertutur dan berinteraksi menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Namun saya tetap kagum dengan motivasi yang ditunjukkan oleh guru sukarelawan dan peserta yang tetap bersemangat melaksanakan modul aktiviti yang disediakan sehingga ke penghujungnya. Maklum balas positif dari ibu bapa dan pihak sekolah juga meyakinkan kami untuk meneruskan program ini pada masa akan datang,” kata Dr. Adelina Asmawi, pengasas dan penyelidik utama Projek PEARL.

Projek PEARL akan diteruskan di SK Lembah Subang pada tahun 2021, sebaik sesi persekolahan bermula. “Sebarang bentuk sumbangan, sama ada berbentuk kewangan, bahan pengajaran, atau kemudahan akses pembelajaran atas talian, adalah amat dialu-alukan bagi memastikan tiada keciciran yang akan berlaku kepada murid-murid dari golongan B40 ini,” kata Arina mengakhiri temubual.

Maklumat lanjut mengenai program di Lembah Subang ini boleh didapati melalui Arina Anesee di arinaanesee@gmail.com atau Prof. Madya Dr. Adelina Asmawi di adelina@um.edu.my