Oleh: Wan Afiqah Anis Wan Ahmad
Bulan kesembilan dalam kalendar Hijrah ini tiba lagi. Sudah semestinya seluruh umat Islam berasa gembira menantikan bulan yang sangat bermakna ini. Keberkatan bulan Ramadan ini dapat dilihat dalam penawaran ganjaran pahala berlipat kali ganda yang dikurniakan oleh Allah di atas segala amal ibadat dan kebaikan yang dilakukan oleh setiap muslim. Di samping itu, Ramadan adalah sebuah universiti kehidupan untuk mendidik umat Islam dalam pelbagai jenis pendidikan iaitu pendidikan jasmani dan jiwa. Inilah masanya untuk seluruh umat Islam berjuang menjadi muslim yang sebenar demi merebut peluang untuk meningkatkan ibadat seterusnya meningkat meningkatkan tahap keimanan. Maka beruntunglah mereka yang bergraduasi dengan mencapai output terbaik dalam madrasah Ramadan.
Pendidikan utama yang paling asas dalam proses berpuasa di bulan Ramadan adalah pendidikan jasmani dan rohani kerana berkait rapat dengan persediaan untuk menahan dari lapar dan dahaga penuh rasa keinsafan. Pendidikan ini dapat dilihat secara langsung dalam pentakrifan puasa, iaitu menahan diri daripada makan dan minum dan menghindari diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Namun begitu, apakah tujuan sebenar dalam menahan lapar dan dahaga?
Asasnya, tujuannya tidak lain adalah sebagai menginsafi nasib golongan fakir dan miskin yang hidup terbelenggu dalam kesusahan terutamanya untuk memenuhi keperluan asas hidup, iaitu mendapatkan makanan. Hakikatnya, golongan fakir miskin menahan rasa lapar tanpa batasan masa dan tempat sama ada siang hari atau malamnya, sedangkan kita berpuasa hanya menahan lapar dalam waktu yang terbatas, dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari, bahkan kita melalui proses bersahur sebagai persediaan meminimumkan rasa lapar siang hari.
Ironinya dalam masyarakat kita, sikap empati terhadap golongan fakir miskin ini akan menghilang apabila menjelang waktu berbuka puasa. Betapa banyak pembaziran yang berlaku ketika berbuka puasa, malah ada yang menikmati makanan berlebihan hingga lupakan tujuan berpuasa. Kita dihidangkan dengan pesta makanan di samping hidangan buffet 1001 jenis menu tersedia. Lebih parah, jika makanan tersebut tidak dihabiskan dan terbuang begitu sahaja dalam tong sampah sedangkan ada golongan fakir miskin yang masih menahan rasa lapar.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. (HR Ibnu Majah). Berdasarkan hadis tersebut, Nabi SAW menegaskan adanya potensi puasa seseorang itu tidak meraih ganjaran pahala, sebaliknya hanya sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Jadi puasanya hanya sia-sia. Situasi ini termasuklah mereka yang membazir, makan berlebihan hingga melampaui batas dan tidak bersedekah serta berkongsi makanan dengan golongan fakir dan miskin.
Dalam hal ini, Allah SWT ada berfirman dalam surah al-A’raf, ayat 31: “Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan”. Selain itu, dari Ibnu Umar berkata: Ada seorang lelaki bersendawa di sisi Nabi SAW, kemudian Nabi bersabda: “Hentikan sendawamu dari kami kerana sesungguhnya kebanyakan orang yang kekenyangan di dunia kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling lama merasakan kelaparan.” (HR al-Tirmizi).
Maka, amalan nilai-nilai murni seperti bersederhana perlu terus dipupuk bagi mengawal nafsu boros dan membazir, sedangkan semangat untuk sentiasa bersedekah dan bermurah hati perlu dibentuk bagi berkongsi rezki dengan pihak-pihak yang memerlukan. Kita perlu menanamkan rasa bersyukur dengan segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kerana rasa kelaparan itu adalah sebuah peluang untuk merasa syukur di atas nikmat Allah berikan selama ini yang mungkin dipandang enteng oleh sesetengah orang mutakhir ini. Jelasnya di sebalik rasa lapar yang kita alami, masih ada pihak lain yang menanggung rasa lapar tanpa batasan tempoh masa yang tertentu.
Dengan itu, pendidikan “lapar” yang dilalui dalam madrasah Ramadan ini mampu membentuk jiwa yang dermawan, bersyukur dan empati kepada golongan fakir miskin. Amalan sepatutnya harus diteruskan di bulan-bulan yang lain selepas bulan Ramadan itu sendiri. Jangan sikap pemurah ini hanya diterapkan dalam bulan Ramadan sahaja sedangkan baki 11 bulan lagi kita lupa terhadap nasib golongan yang menahan rasa lapar dan dahaga.
Justeru marilah kita bersama mengambil kesempatan dalam madrasah Ramadan ini dengan melipatgandakan amalan kebajikan, di samping meneruskannya di luar bulan Ramadan agar tiada lagi mereka yang lapar di sekeliling kita tanpa makanan yang mencukupi.
Semoga tarbiyah Ramadan meninggalkan kesan yang amat mendalam bagi mendidik jiwa kita mengharungi kehidupan pasca Ramadan.
Penulis merupakan seorang pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan, dan boleh dihubungi di afiqahanis@um.edu.my