12 May 2025

Jangan sembarangan guna logo halal

Featured

Forever smiles

By Cheah Chia Wei, Mohd Zamri Hussin A smile is...

Membawa cahaya ke Pulau Sebatik dan Pulau Sangaban

Di era serba moden dan berdaya saing ini, penguasaan...

Honouring them

By Zuraini Md Ali, Nor Hayati Hussain As Mother’s Day...

For everyone

By Sheila Ramalingam Malaysia is proudly multi-racial, multi-cultural, and multi-religious....

Pastikan tidak di’bedal’

Oleh Mohd Anuar Ramli Menjelang musim haji akan timbul pengiklanan...

Share

Oleh: Dr. Zalina Zakaria

Imam al-Ghazali ada mengatakan, bahawa puasa adalah asas bagi ibadat dan kunci taqarrub, iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Malah ketika berbuka puasa, umat Islam turut dinasihati agar berbuka puasa dengan makanan yang halal, dan tidak memakan pelbagai jenis juadah dengan tamak dan mengikut hawa nafsu.

Pada tahun ini umat Islam di negara ini berpeluang merasai kembali kemeriahan bulan Ramadan, berbanding dua tahun sebelum ini sewaktu pelbagai perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan demi membendung penularan wabak COVID-19. Ini adalah kerana aktiviti mengimarahkan masjid, termasuklah penganjuran bazar Ramadan, telah dibenarkan bermula 1 April 2022 mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. Amalan 3W (wash, wear, warn) dan menghindari 3S (sesak, sempit, sembang dekat) kesemuanya diadakan bagi mengelakkan kemudaratan pengurusan wabak, terutamanya kesan serius t erhadap sistem kesihatan negara.

Dalam menjalani Ramadan dengan norma baharu ini, keperluan untuk menitikberatkan status halal makanan juga perlu menjadi keutamaan seorang pengguna Muslim. Malah ini juga seharusnya menjadi keperluan dalam pemilihan kebanyakan produk pengguna yang lain. Ini adalah kerana Islam meletakkan garis panduan penentuan halal dan haram yang jelas, dan menjadikannya sebahagian daripada tuntutan ibadat (dalil antaranya hadis sahih riwayat Muslim, dan surah al-Mulk ayat 15).

grayscale photo of people walking on sidewalk during night time
Tanda halal tidak boleh digunakan sembarangan di Malaysia (Gambar hiasan ihsan Unsplash)

Industri makanan halal kini berkembang dengan pesat di peringkat global, dan Malaysia berdiri sebagai salah satu peneraju pasaran dunia. Industri halal global telah dianggarkan bernilai AS$ 2.77 trilion setahun, dengan pasaran Malaysia sendiri bernilai AS$ 9 bilion (hampir RM 40 bilion).

Malaysia juga dikenali sebagai sangat agresif dalam mempromosikan dirinya sebagai hab untuk industri halal. Selain membangunkan produk halal tempatan, negara kita juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa dari negara majoriti bukan Islam untuk membantu membangunkan piawaian halal mereka. Ini adalah kerana piawaian persijilan halal Malaysia telah menjadi rujukan di seluruh dunia. Walaupun Malaysia diiktiraf sebagai salah satu negara yang paling progresif dalam proses pensijilan halal, dasar permohonan sijil halal di Malaysia masih bersifat sukarela.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, logo halal adalah sesuatu yang biasa ditemui di pembungkusan makanan, malah banyak juga diletakkan di restoran-restoran, dan juga di gerai-gerai. Walau bagaimanapun, lebih daripada itu, ia bukan sahaja simbol yang menjamin umat Islam bahawa apa yang mereka beli adalah suci dan halal, tetapi juga kebimbangan utama bagi sesebuah perniagaan yang ingin mengembangkan jangkauan mereka di Malaysia.

Umum mengetahui bahawa proses mendapatkan sijil halal boleh menjadi sangat mencabar terutama bagi perusahaan bersaiz kecil. Dan kesukaran ini telah menimbulkan kebimbangan bahawa terdapat segelintir pengusaha perniagaan akan sewenang-wenangnya meletakkan perkataan ‘halal’ pada bungkusan mereka, atau di pintu masuk premis mereka demi meyakini pengguna-pengguna Muslim.

Antara kemeriahan yang dirasai sewaktu bulan Ramadan adalah kewujudan pelbagai premis makanan yang dibenarkan untuk menjual juadah berbuka puasa. Dari jualan di gerai-gerai bazar Ramadan, ‘food truck’, restoran-restoran, malah hotel-hotel mewah juga tidak terkecuali menawarkan jualan makanan dan sajian istimewa di sepanjang bulan ini. Malah kerap kali ditemui juga premis-premis ini meletakkan perkataan halal, tanpa bukti pensijilan sah yang jelas. Bukan sahaja perkataan halal, malah segala ungkapan lain yang menggambarkan premis mereka ini diiktiraf ‘halal’, walhal mereka tidak memiliki sijil halal yang sah.

Untuk mendapatkan sijil halal, pemilik atau pengendali perniagaan perlu memenuhi semua keperluan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa halal. Akta Perihal Dagangan 2011 telah digubal dengan tujuan menggalakkan amalan perdagangan yang baik, dengan melarang perihal dagangan palsu dan pernyataan, pengendalian dan amalan. Kepentingan penggubalan Akta ini antara lainnya adalah, berpunca dari kebimbangan terhadap pengeksploitasian penggunaan logo halal oleh pengeluar produk atau premis makanan dengan memerihalkan produk atau premis mereka dengan ungkapan halal tanpa mendapat sijil halal yang sah.

Akta ini melalui perintah di bawahnya, iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, mengandungi peruntukan khusus yang memberikan kuasa kepada satu badan sahaja untuk mengeluarkan sijil halal yang sah. Dalam hal ini, pihak yang dimaksudkan adalah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) atau Jabatan Agama Negeri (JAIN), dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), sebagai pihak berkuasa berwibawa halal yang dilantik.

Untuk mendapatkan sijil halal yang sah, pengusaha perlu mematuhi syarat bahawa makanan yang mereka keluarkan atau dijual untuk dimakan mestilah mengikut hukum syarak. Ini dinyatakan dengan jelas di dalam Perintah Akta Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. Perintah tersebut menetapkan bahawa apabila makanan atau barangan disifatkan sebagai halal, atau menggunakan ungkapan lain, itu menunjukkan bahawa makanan itu boleh dimakan atau digunakan oleh pengguna Islam, kerana telah disediakan mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

Adalah menjadi keperluan permohonan pensjilan halal bahawa makanan atau barangan tersebut tidak boleh mengandungi mana-mana bahagian atau bahan haiwan yang dilarang oleh hukum syarak. Bahan larangan ini juga termasuklah najis, bahagian manusia, dan tidak beracun dan berbahaya kepada kesihatan. Sama penting adalah kaedah penyediaan dan pemprosesannya yang perlu bebas dari sebarang najis dan kekotoran.

Perlu diingatkan bahawa keperluan halal bukan sahaja meliputi proses penghasilan makanan dan produk itu sendiri, tetapi juga meliputi pengangkutan, penyimpanan, dan pemprosesan bahan mentah, serta penyajian dan peruncitan. Jika ingin disifatkan sebagai halal, ungkapan tersebut membawa maksud perkhidmatan yang berkaitan juga hendaklah dijalankan mengikut hukum syarak.

Kesan daripada Perintah itu bermakna perkataan halal yang dituntut sendiri adalah tidak dibenarkan. Pengusaha dan pemilik perniagaan dibolehkan menggunakan perkataan halal, hatta logo halal atau apa apa ungkapan yang bersandarkannya, jika dan hanya jika mereka mendapat pensijilan halal daripada pihak-pihak berkuasa berwibawa tadi.

baked pastry on bowl
Status halal bukan hanya pada kandungan atau ramuannya, malah melibatkan kebersihan setiap langkah pemprosesan makanan (Gambar hiasan ihsan Unsplash)

Tanpa pensijilan halal yang sewajarnya, penggunaan istilah ‘halal’ dan apa-apa perkataan berkaitan seperti ‘dijamin halal’, ‘makanan untuk orang Islam’, ‘bufet Muslim’, ‘bufet Ramadan’, dan lain-lain juga dilarang, kerana ia adalah satu kesalahan di bawah Perintah ini dan boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Bukan sahaja penggunaan kata-kata sedemikian dilarang, tetapi sebarang kelakuan atau representasi yang menggambarkan sesuatu makanan adalah halal juga tidak dibenarkan. Contoh representasi atau perlakuan sedemikian termasuklah penggunaan kalimah suci al‐Quran di premis, bingkai gambar ayat‐ayat suci al‐Quran, atau apa-apa perkara atau objek yang berkaitan dengan Islam. Ia adalah larangan tegas kerana perkataan atau perbuatan sebegitu berkemungkinan mampu memperdaya atau mengelirukan orang ramai.

Pelanggaran kepada larangan meletakkan tanda halal sewenang-wenangnya ini, bagi individu, kesalahan pertama boleh didenda sehingga RM 1 juta, atau 3 tahun penjara, atau kedua-duanya sekali. Kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM 5 juta, atau 5 tahun penjara, atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi pertubuhan pula, kesalahan pertama adalah boleh didenda sehingga RM 5 juta, dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya denda tidak melebihi RM 10 juta.

Bagi kesalahan mengeluarkan sijil halal palsu oleh bukan pihak berkuasa berwibawa, kesalahan pertama bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM 100,000, atau 3 tahun penjara, atau kedua-duanya sekali (bagi kesalahan kedua, boleh didenda sehingga RM 250,000). Manakala kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan, jika kesalahan pertama boleh didenda sehingga RM 250,000, dan bagi kesalahan kedua pula sehingga RM 500,000.

Walaupun halal menjadi dasar yang sukarela di Malaysia, prinsip pensijilan halal di negara ini menunjukkan bahawa undang-undang masih mengenakan syarat ketat terhadap pensijilan halal. Malah hukuman untuk kesalahan berkaitan isu pensijilan halal adalah sangat tinggi. Oleh itu pihak pengeluar tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menggunakan ungkapan halal sendiri dengan tujuan mendapatkan kepercayaan mudah pengguna Muslim untuk membeli produk yang dijual.

Dr. Zalina Zakaria

Penulis merupakan Pengarah, Pusat Kajian Halal Universiti Malaya, dan juga Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau boleh dihubungi di zalina_jsu@um.edu.my