Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh
Peningkatan dan perkembangan ilmu adalah perkara yang digalakkan di dalam Islam. Galakan tersebut bermula dari ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang memerintahkan Nabi dan umatnya untuk membaca. Imam al-Razi (wafat pada tahun 606 Hijrah), cendekiawan yang ulung di dalam ilmu akidah dan falsafah, mengulas di dalam kitab ‘Ajaib al-Quran, cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyah tahun 198, bahawa dengan membaca sahajalah akan meningkatkan darjat dan kedudukan manusia tersebut walaupun ia dilahirkan dalam keadaan yang lemah dan tidak berdaya.
Dengan ilmu jugalah manusia itu boleh mengubah dirinya serta persekitarannya ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Ilmu adalah kunci kepada kemajuan yang melestarikan hidup manusia selari dengan doa Nabi Muhammad SAW: Ya Allah berikanlah manfaat dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami dan ajarkanlah kami ilmu yang memanfaatkan hidup kami serta tambahkanlah ilmu kepada kami (Sahih Imam al-Tarmizi).
Perkembangan ilmu manusia telah menghasilkan banyak perubahan ke arah kebaikan yang dinikmati oleh umat manusia pada hari ini. Teknologi dan inovasi adalah salah perkembangan yang digalakkan oleh Islam sebagai satu usaha untuk meningkatkan mutu hidup dan nilai kehambaan sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Isra ayat 17: Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam…).
Imam al-Qurtubi (wafat 671 H) mengulas salah satu kemuliaan yang dikurniakan kepada manusia ialah dengan kefahaman dan kepintaran di dalam memanipulasi segala ciptaan Allah. Walaubagaimanapun, implikasi dari setiap kebaikan itu tidak dapat dinafikan sama ada ia bersifat positif mahupun negatif. Sebagai contoh, kecanggihan teknologi telefon pintar membolehkan setiap pemiliknya mengambil, menyimpan dan menyunting apa-apa gambar menerusi perisisian tertentu, namun dari sisi negatifnya teknologi ini telah merencatkan permintaan terhadap filem seluloid yang sebelum ini digunakan bagi mencetak sesuatu gambar yang diambil. Senario yang berlarutan ini membuatkan industri percetakan filem makin pupus dan tidak lagi diperlukan.
Frey dan Osborne (2017) menyenaraikan 702 jenis pekerjaan di Amerika yang boleh digantikan oleh robot atau kemajuan komputer sekaligus menjadikan ia pekerjaan yang berada pada risiko yang tinggi di zaman IR 4.0 ini. Menurut mereka lagi, di Amerika sahaja sebanyak 47 peratus pekerjaan berisiko digantikan oleh mesin automatik yang kebanyakannya di dalam bidang pengangkutan, logistik, pentadbiran di pejabat serta operasi pengeluaran produk. Dapatan ini dilihat selari dengan penemuan oleh McKinsey Global Institute pada tahun 2017 yang menegaskan 50 peratus kerja di dunia pada hari ini boleh ganti oleh mesin atau robot.
Revolusi Industri 4.0 telah bermula sejak 10 tahun yang lepas. Bermula di negara barat seperti Jerman di dalam bidang pembuatan, kini kesannya mula dirasai oleh industri berkaitan. Teknologi baharu seperti Blockchain, kepintaran buatan (AI), robotik, Internet pelbagai benda dan data raya adalah antara kerangka utama kepada kompenen IR 4.0. Bagi menghadapi impak tersebut, kerajaan telah memgambil langkah progresif dengan memperkenalkan Polisi IR 4.0 Negara bagi memandu kementerian dan agensi dibawahnya memformulasi strategi dan merangka pelan tindakan bagi mengoptimakan sumber-sumber yang sedia ada untuk dikordinasikan di dalam era kemunculan teknologi yang baharu.
Merujuk kepada polisi tersebut, boleh dikatakan kebanyakan strategi berasaskan komuniti yang dicadangkan adalah berkaitan dengan kemahiran dan pengetahuan. Antaranya, melengkapkan tenaga kerja akan datang dengan kemahiran IR 4.0, penyediaan akses yang meluas kepada populasi penduduk, mengemaskini undang-undang berkaitan pengurusan data dan sekuriti siber serta menyokong inovasi teknologi yang lebih bersifat penyelsaian kepada isu sosial dan persekitaran.
Sebagai agama rahmat dan pedoman kepada sekalian manusia, Islam tidak pernah memandang inovasi, kreativiti dan teknologi sebagai satu masalah atau malapetaka. Sebaliknya, ia adalah perkara baharu yang perlu dimanfaatkan untuk kebaikan dan kelestarian hidup manusia. IR 4.0 adalah perubahan yang menyaksikan teknologi robotik dan mesin sudah mula mengambil alih tugas manusia sekaligus tugasan manusia dilihat lebih mencabar terutama di dalam sektor pekerjaan. Walaubagaimanapun, kajian menunjukkan peningkatan kemahiran dan pengetahuan boleh mengatasi cabaran ini memandangkan kemampuan robotik juga memiliki limitasi serta kelemahannya yang tersendiri.
Bagi melihat perkara ini secara praktis, jika dahulu tugasan mengutip bayaran tol di lebuhraya dilakukan oleh manusia. Kini, dengan pengenalan sistem pembayaran automatik, tenaga kerja manusia tidak lagi diperlukan. Walaubagaimanapun, ilmu pengetahuan dan kemahiran manusia amat diperlukan di dalam menyelenggara kesemua peralatan dan perisian tersebut. Bukankah kita sering melihat bagaimana pekerja atau juruteknik akan membaiki lampu isyarat dan mesin pembayaran automatik yang rosak?. Senario itu memberi isyarat kepada kita tenaga masih mengawal segala inovasi moden di hari ini tetapi ia memerlukan ilmu dan kemahiran yang perlu digilap dan dikemaskini dari masa ke semasa.
Selari dengan perkembangan teknologi komunikasi di zaman ini terutamanya selepas dunia mengalami pandemik Covid-19, ilmu sudah tidak lagi mengenal sempadan. Institusi pendidikan yang formal dilihat giat menawarkan program-program Distance Learning atau pengajian jarak jauh yang menjangkau sempadan negara dan dunia. Universiti-universiti terkemuka dunia juga mula menawarkan pelbagai jenis kursus jangka pendek dan panjang secara maya bagi merancakkan lagi perkongsian dan penyampaian ilmu dengan memanipulasi teknologi dan kecanggihan yang sedia ada.
Jika dilihat secara rambang, kursus-kursus yang ditawarkan banyak berkaitan teknologi seperti fintech atau financial technology yang melibatkan Blockchain, kepintaran buatan (AI) dan perisian moden yang menjadi pemangking kepada IR 4.0. Ternyata dunia maya telah bersedia di dalam menghadapi gelombang IR 4.0 memandangkan akses kepada internet telah pun meluas di kebanyakan negara.
Mengambil semangat sarjana dan cendekiawan Islam seperti al-Ghazali, al-Biruni dan al-Razi yang mengharumkan nama Islam dengan sumbangan idea dan teori mereka di dalam segenap bidang ilmu, kita sewajarnya ‘mewakafkan’ masa kita untuk meneroka bidang di dalam IR 4.0 yang berkaitan dengan kerjaya kita. Usaha sebegini penting kerana teknologi dan perisian ini sememangnya bermanfaat kepada kita dan berhasil meningkatkan produktiviti kerja. Oleh yang demikian, pemain industri dilihat akan terus merevolusikan industri mereka dengan penggunaan teknologi IR 4.0 sebagaimana yang kita lihat pada ekonomi gig yang telah banyak menyediakan peluang pekerjaan di kala pandemik Covid-19 melanda. Adakah kita menjangkakan mereka akan sengaja melambatkan perkembangan demi menunggu kita atau kita yang perlu mengejar masa di dalam era revolusi yang paling tidak menentu setakat ini?
Jawapan yang paling ringkas dan bernas ialah penguasaan dan penghayatan ilmu. Ilmu yang dimaksudkan bukan sahaja ilmu mengenai teknologi itu sendiri bahkan ia menjangkau dari itu. Ilmu yang dimaksudkan termasuk etika pengawalan teknologi, ilmu berkaitan impak dan implikasi teknologi berkenaan, kaitan teknologi dengan individu dan sosial serta perihal yang berkaitan dengannya. Mengapa ia penting? Tidak lain dan tidak bukan kerana kita adalah khalifah Allah yang dikurniakan akal untuk mengawal dan memakmurkan bumi dan bukannya makhluk yang dikawal dan dirosakkan oleh ciptaan mereka sendiri sebagai manifestasi kepada firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 30:
Sesungguhnya Aku ingin menjadikan manusia sebagai khalifah (pengganti Allah) di muka bumi.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di shahid82@um.edu.my
Nota: Artikel ini telah diterbitkan di Berita Harian (Ed.)