21 September 2024

Sebarkan salam dan hentikan ucapan kebencian

Featured

Reducing the impact of landslides

By Dr Mohd Talha Anees Almost half of Peninsular Malaysia...

Let’s go for smarter healthcare to stop heart attacks

By Assoc. Prof. Dr. Khor Sook Mei Heart attacks remain...

Mengukur kemiskinan asnaf dengan tanda aras multidimensi

Oleh: Dr. Muhammad Nooraiman Zailani Isu kemiskinan amat sukar untuk...

The treasure in non-coding RNAs

By Assoc. Prof. Dr. Lim Yat Yuen For decades, scientists...

He is the epitome of a leader

By Mohammad Tariqur Rahman The leadership qualities of Prophet Muhammad...

Share

Oleh: Dr. Alwani Ghazali

Walaupun tiada definisi khusus bagi ucapan kebencian (hate speech), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengertikannya secara umum sebagai:

“sebarang bentuk komunikasi sama ada kata-kata, tulisan atau perbuatan yang menyerang atau menggunakan penghinaan, atau bahasa diskriminasi terhadap seseorang atau suatu kumpulan atas dasar siapa mereka — sama ada berdasarkan agama, etnik, kewarganegaraan, bangsa, warna, keturunan, jantina mereka atau apa juga faktor yang membentuk identiti mereka.”

Dalam konteks Malaysia mutakhir ini, ucapan kebencian telah terpapar dan tular di pelbagai pelantar media sosial sebelum bermulanya kempen pilihanraya umum ke-15 lagi, Ucapan kebencian ini wujud dalam pelbagai bentuk sama ada tulisan, video pendek, atau visual. Ia mengandungi unsur-unsur yang provokatif yang memburukkan sesetengah etnik, mengungkit sejarah Malaysia, melabel dengan label buruk serta penghinaan, atau memanggil dengan panggilan hodoh yang kadangkala disertai carutan.

person holding space gray iPhone X
Pengguna media sosial jangan mudah meluah perasaan sehingga mengetepikan adab dan tatasusila. Gambar hiasan dari Unsplash.

Perlu dinyatakan bahawa ucapan kebencian tersebut tidak cuma dibuat oleh penyokong satu blok parti sahaja, sebaliknya dilakukan oleh semua blok. Dengan yang demikian, tulisan ini tidaklah bertujuan menuding jari pada satu pihak atas dasar berat sebelah. Sebaliknya, tulisan ini bertujuan untuk menyedarkan tentang kesan dan akibat ucapan kebencian pada orang lain tidak kira dari mana ucapan itu datang.

Ucapan kebencian mampu menghilangkan tolak ansur sesama anggota masyarakat, membibitkan permusuhan, serta mencetuskan kemarahan. Kemarahan pula boleh membawa kepada keganasan terhadap pihak yang dibenci. Dalam rantaian proses yang melibatkan luapan emosi tersebut, kebencian terhadap golongan sasaran dirasakan munasabah.

Menurut suatu laman sesawang oleh King Abdullah Abdulaziz Centre for Interreligious and Intercultural Dialogue (KAICIID), terdapat beberapa faktor yang berpotensi merubah kata kebencian kepada pelakuan ganas iaitu pertama, suasana yang kondusif untuk melakukan keganasan; kedua, seorang jurucakap yang berpengaruh; ketiga, ucapan atau perbuatan yang disebar luas; keempat, pendengar atau penonton yang percaya mesej kebencian tersebut; serta kelima, target yang kebiasaannya merupakan golongan yang terpencil dalam masyarakat.

Apa yang berlaku di negara kita pada ambang PRU-15 adalah sangat membimbangkan. Bukan sahaja ada pihak yang mengucapkan kata kebencian dan hasutan, malah terdapat video tular yang mengandungi unsur ancaman terhadap pihak lain untuk mengulangi sejarah berdarah iaitu Peristiwa 13 Mei. Yang lebih dikesali, ucapan tersebut keluar daripada bibir individu yang dianggap pemimpin.

Tidak lama selepas tularnya video tersebut, tular pula imej gambit dan alat senjata lain yang menyahut ‘seruan’ dan semangat tersebut di kalangan muda-mudi. Persoalannya, adakah berbaloi untuk kita sesama rakyat Malaysia memperjudikan keamanan sosial yang kita kecapi?

Agama dan agamawan sebagai penawar kebencian

Mana-mana agama di dunia ini sangat terhubungkait dengan kedamaian dan keamanan, apatah lagi Islam yang menjadi agama rasmi di negara kita. Islam yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah sering mengulang-ulang mesej kedamaian, kasih sayang dan kesatuan.

Rasulullah SAW telah bersabda: “Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, saling bermusuhan, saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari” HR Bukhari No: 5605

Muslim adalah penyebar kedamaian. Dalam keadaan genting di mana kebencian memperanakkan permusuhan, tidak wajar bagi mereka untuk bertindak umpama menyimbah minyak ke api. Dalam hal ini, sama ada sebagai penghasil kandungan (content creator) mesej kebencian dan hasutan, atau sebagai penyebar mesej tersebut; kedua-dua perbuatan tersebut sama-sama tidak memberi untung pada kemanusiaan.

Ironinya, banyak kempen PRU-15 yang sarat kebencian dan hasutan baru-baru ini telah dihasilkan oleh Muslim serta turut disebarkan oleh bukan sebarangan Muslim malah guru-guru agama atas dasar mempertahankan Islam. Walhal Islam tidak sama sekali dapat dipertahankan dengan perkataan yang hodoh.

Keadaan ini bukan sahaja tidak menyumbang pada pembelaan Islam seperti yang dimahukan, bahkan imej Muslim yang membawa ajaran terbaik itu turut menjadi lekeh kerana terpalit dengan perbuatan Muslim sendiri.

five boys standing outdoor focus photography
Budi pekerti dan adab yang mulia harus pupuk sejak kecil lagi. Gambar hiasan dari Unsplash.

Sosok Nabi Muhammad SAW terkenal dalam masyarakatnya dengan kemuliaan budi pekerti, adab yang tinggi, kata-kata yang sopan dan hormat dalam apa jua keadaan. Sifat-sifat ini adalah konsisten sejak sebelum diangkat menjadi utusan Allah. Peristiwa menyatukan kabilah-kabilah di Mekah supaya bersama-sama mengangkat hajarul aswad untuk meletakkan di tempatnya semula adalah suatu simbol penyatupaduan yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW buat kita.

Agamawan sebagai golongan berilmu tentang hakikat ini sewajarnya meredakan api kemarahan dan kebencian masyarakat terhadap satu sama lain, jauh sekali untuk terlibat menularkan mesej-mesej kebencian yang tidak berasas.

Mulai saat ini, marilah kita sebarkan salam, tularkan ucapan kasih sayang dan perpaduan supaya mesej ini mendominasi media sosial lalu mengatasi segala ucapan kebencian, hasutan dan permusuhan.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di aghazali@um.edu.my