9 February 2026

Siti Fatimah, Jahara Bebe dan rakan-rakan

Featured

The right way

Corporate crime without economic sabotage: Why Malaysia is now...

Damaging

Slowing down the fast fashion crisis By Audrey Kang Nian,...

Healthier

We need smarter ways to keep people out of...

Kekal berjuang

Mengalah bukan menyerah kalah Oleh Nur Shahidah Pa'ad Dalam kehidupan yang...

Timely interventions

Smart audits and data analytics can combat public sector...

Share

“Setiap kali ada event di Dewan Tunku Canselor, kamilah pasukan yang bertanggungjawab memastikan kebersihannya. Dari dalam sehinggalah ke luar,” kata Puan Siti Fatimah Wook ketika ditemui di perkaranagan Dewan Tunku Canselor, baru-baru ini.

“Selalunya kami buat ‘waterjet’ ni sebulan sebelum konvokesyen; tapi kita akan buat juga lagi kalau ada keperluan tambahan. Yang penting, DTC berada dalam keadaan terbaik untuk terima tetamu dari seluruh negara.

Macam buat kendurilah, kan? Tuan rumah kenalah pastikan keadaan rumah cantik untuk terima tetamu dan raja sehari. Ini pulak kita yang akan terima kedatangan Tuanku; mestilah nak buat cantik-cantik,” terang wanita berasal dari Kelantan ini lagi.

Berkongsi mengenai pengalamannya yang telah bertugas di UM sejak 2006, Siti Fatimah tidak menyembunyikan keseronokkannya bertugas bersama rakan-rakan yang memahami. “Kami ni dah macam adik-beradik. Merekalah yang paling memahami saya. Kami saling sokong-menyokong antara satu sama lain.

Walaupun kadang-kadang ada perselisihan faham; tapi kami tidak ambil masa yang lama untuk senyum kembali dan meneruskan tugas demi amanah yang diberi,” katanya lagi.

“Di mana kita bertugas, di situlah rezeki yang sudah dituliskan untuk kita. Jadi bertugaslah dengan penuh integriti, jika kita inginkan keberkatan dalam rezeki dalam pendapatan kita ini,” pesan Siti Fatimah apabila ditanya mengenai rahsia motivasinya datang bekerja setiap hari.

Tersenyum mendengar jawapan tersebut, rakannya Jahara Bebe pantas mencelah: “Itu bukannya rahsia, Siti. Kita sepasukan memang sudah diterapkan dengan nilai keberkatan rezeki ni, walaupun berbeza pegangan agama.

Kalau betul nak tahu satu rahsia, akak boleh kongsikan,” kata Puan Jahara, sambil matanya melilau ke kiri dan ke kanan, seolah-olah ingin memastikan tiada orang lain yang mendengar.

“Rahsia apa tu kak?” tanya jurugambar kami, ingin tahu.

Separuh berbisik, anak jati Kuala Lumpur ini menyambung: “Akak jual barang, dik. Barang baik. Adik nak beli ke?”

“Err… boleh jugalah. Kalau saya mampu nak beli. Gaji pun cukup-cukup je ni kak. Maklumlah masuk awal hari tu,” jawab jurugambar kami, serba salah.

“Dengarlah dulu:

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.

Apa macam? Nak beli? Akak jual ni?” tanyanya, sambil raut mukanya menahan ketawa.

Lalu berderailah gelak tawa kami di perkarangan DTC petang itu mendengar ‘jualan’ Puan Jahara.

📸 Gambar oleh Mohd. Haizal Ismail untuk CCC (2022). Video temuramah boleh didapati di saluran YouTube Universiti Malaya.