Pengumuman peralihan Fasa 2 oleh Perdana Menteri Malaysia bagi negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya baru-baru ini adalah satu titik perubahan yang disambut baik oleh warga kedua negeri tersebut. Dengan kadar vaksinasi lengkap bagi dewasan yang telah melebihin 70 peratus di negara ini secara umumnya memberi satu progres yang positif ke arah imuniti berkelompok sekali pun penularan wabak COVID-19 masih mencatatkan kes yang tinggi.
Fasa 2 memperlihatkan banyak sektor-sektor ekonomi dan bukan ekonomi dibuka atau diberikan lebih kebebasan di dalam beroperasi. Ia baik bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi tempatan di samping memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat untuk beraktiviti di luar rumah. Masjid dan surau adalah tempat yang memerlukan kepada satu SOP baru yang lebih mesra jemaah memandangkan ia telah lama dilihat sepi dan tidak imarah.
Menambah bilangan berjemaah
Sejak beberapa bulan yang lepas, bilangan jemaah yang diizinkan ke masjid telah dihadkan antara 30 hingga 100 jemaah berbeza mengikut jenis surau dan masjid. Dalam masa yang sama saiz masjid dan surau tersebut adalah berbeza-beza. Apabila pakar telah mengesahkan bahawa menerusi penjarakan dan penjagaan SOP yang betul berkesan di dalam mengekang penularan wabak ini, dilihat lebih baik supaya jumlah itu dinilai semula atau ditingkatkan sekurang-kurangnya separuh kapasiti masjid.
Meraikan kelonggaran rentas daerah serta aktiviti-aktiviti kekeluargaan yang sudah semakin ‘meriah’ dan ‘bebas’ sudah tiba masanya pihak berkuasa perlu melonggarkan SOP di rumah Allah agar rumah ibadat ini akan kembali diimarahkan sekurang-kurangnya Solat Fardu Jumaat. Rasanya, peningkatan jumlah jemaah di masjid tidak jauh bezanya dengan SOP yang membenarkan pawagam beroperasi semula.
Mesra vaksin dan tidak bervaksin
SOP hadir berjemaah di masjid telah dialami lebih dari setahun oleh penduduk di negara ini. Dalam tempoh tersebut, SOP dan disiplin dari para jemaah telah banyak membantu mengekang penularan wabak terutamanya di masjid dan surau. Sebelum kempen vaksinasi lagi SOP ini telah dilaksanakan dan terbukti keberkesanannya. Oleh itu, mengekalkan masjid sebagai tempat umum yang boleh dihadiri tanpa syarat vaksinasi penuh adalah satu perkara yang wajar.
Tanpa menafikan ikhtiar sebagai perkara yang dituntut di dalam Islam, tidak memestikan kehadiran jemaah tanpa vaksin bakal mengundang kebahayaan yang pasti kepada jemaah yang lain. Kaedah fiqah jelas mengatakan pertimbangan maslahat atau kemudaratan itu hendaklah berdasarkan kepada sesuatu yang pasti dan bukan sangkaan yang lemah mahupun persepsi.
Dalam hal ini, SOP telah memainkan peranan yang siginifikan di dalam mengurangkan risiko tersebut menerusi pemeriksaan suhu, penjarakan dan penggunaan sejadah sendiri. Vaksinisasi juga dilihat salah satu usaha tambahan di dalam mengawal risiko jangkitan dan bukanlah satu kewajipan.
Pengimarahan masjid secara berperingkat
Sebelum pandemik, masjid-masjid di bandar terutamanya amat aktif di dalam penganjuran kuliah-kuliah ilmu serta menjadi tumpuan penganjuran majlis akad nikah dan walimah. Suasana seperti itu pasti amat dirindui oleh para jemaah dan anak kariah.
Sepanjang tempoh PKP juga, corong pembesar surau masjid dan surau hanya dibenarkan untuk azan waktu sahaja dan tidak salah sekiranya lantunan bacaan Al-Quran dan bacaan tarhim sebelum Subuh kembali dihidupkan sebagai memohon doa dan keberkatan dari Allah SWT.
Pengimarahan masjid secara berperingkat ini amat penting bagi menghidupkan kembali tempat ahli kariah mencari ketenangan dan kekuatan rohani di dalam mendepani hidup di zaman mencabar ini. Selain itu, aktiviti-aktiviti tersebut secara tidak lansung akan mengukuhkan kembali ekonomi masjid bagi merancang dan melaksanakan aktiviti di masa hadapan.
Ketabahan AJK Masjid / Surau dipuji
Perlaksanaan SOP di peringkat awalnya dilihat seperti satu yang ‘luar kebiasaan’ terutamanya bagi institusi masjid yang tidak pernah ditutup mahupun dihadkan bilangannya. Kini, ia telah difahami oleh rata-rata masyarakat di Malaysia. Disebabkan SOP yang ada kalanya berubah-ubah mengikut pindaan yang dilakukan oleh pihak yang berautoriti, kecelaruan maklumat juga sering berlaku apabila maklumat tidak dikemaskini.
Berkaitan dengan perlaksanaan SOP di masjid dan surau, ahli jawatankuasa serta pengurusan institusi tersebut diumpamakan seperti barisan hadapan bagi memastikan SOP dipatuhi. Di dalam melaksanakan amanah tersebut, kadang-kadang berlaku salah faham dan isu teknikal yang barangkalinya mengundang konflik antara mereka dan jemaah yang hadir.
Untuk makluman, ketika waktu sebelum pandemik juga konflik juga boleh berlaku di masjid dan surau apatah lagi di waktu-waktu yang menegangkan ini. Situasi seperti ini menagih kebijaksanaan para AJK untuk mengawal dan memastikan ia diselesaikan dengan baik. Pepatah melayu ada mengatakan ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
Menjaga sensitiviti semua pihak
Hidup selama setahun enam bulan di zaman pandemik adalah satu pengalaman baharu bagi seluruh manusia di dunia hari ini. Ia mendatangkan kesan dan impak yang berbeza-beza bergantung kepada individu, organisasi, institusi mahupun negara. Rumah-rumah ibadat khususnya masjid dan surau juga tidak terlepas dari menerima tempiasnya.
Baru-baru ini, tular mengenai mengenai isu pemilihan jemaah yang boleh hadir untuk bersolat Jumaat di sebuah masjid utama di negara ini yang mengundang pelbagai reaksi dari orang awam. Pertama sekali, mensensasikan berita seperti ini hanya mengundang suasana negatif sedangkan solat dianjurkan untuk membersihkan diri serta mengukuhkan perpaduan. Kemudian, memberi komen serta kritikan yang tidak disulami dengan adab memberi pendapat juga boleh menyinggung perasaan beberapa pihak yang akhirnya mengeruhkan keadaan yang sedia ada.
Kembali semula kepada matlamat solat yang disebut sesetengah ulama sebagai Shilah yang bermaksud hubungan kerana ia membina menerusi solat hubungan dengan Allah dan manusia akan terpelihar, tetapi di dalam isu ini, bagaimanakah kita menjaga hubungan dengan Allah dan manusia jika ia menatijahkan ketidakpuashatian di kalangan kita?
Kesimpulan
Rakyat meyakini bahawa kerajaan dan badan-badan berautoriti sentiasa prihatin mengenai keperluan masyarakat muslim kepada peranan yang dimainkan oleh institusi masjid dan surau. Sesuai dengan penciptaan manusia yang memiliki roh dan jasad begitu jugalah dengan keperluan mereka yang dahagakan kepada makanan jasmani dan rohani.
Mudah-mudahan para pemimpin dan alim ulama sentiasa diberikan hikmah di dalam merancang SOP baru untuk masjid dan surau demi kebaikan dan keharmonian umat Islam di Malaysia.
Penulisan ini telah diterbitkan BebasNews (Ed.)