Oleh: Dr. Mohd Khairul Naim Che Nordin
Bulan Ramadan telah meninggalkan kita. Ia bulan yang menyediakan pelbagai keutamaan untuk kita beribadah kepada Allah SWT. Namun beribadah kepada-Nya juga tidak boleh secara bermusim, apatahlagi mengejar keutamaan hanya pada tempoh tertentu dan mengabaikannya pada waktu yang lain. Lafaz tauhid “La ila ha illa Allah” yang menjadi pegangan asas kita mengandungi aspek istighna’ dan iftiqar. Lafaz tersebut menyedarkan kita bahawa Allah SWT dengan segala sifat kesempurnaan-Nya tidak memerlukan ketaatan kepada hamba-Nya tetapi sebaliknya kitalah yang memerlukan ibadah kepada-Nya.
Sehubungan itu, momentum untuk ibadah perlu diteruskan. Namun apakah langkah atau strategi yang kita boleh aplikasikan supaya dapat konsisten melaksanakan ibadah kepada Allah SWT? Ia semestinya bermula dengan hati kerana ia yang akan memandu dan mengawal kecenderungan dan pilihan manusia. Maka bagi Muslim, antara langkah menjaga hati adalah dengan sentiasa memikirkan tujuan hidup, amalan seharian dan ibadah kita kepada Allah SWT. Imam al-Ghazali telah menggariskan beberapa panduan tahap-tahap yang boleh diikuti oleh Muslim untuk mendekatkan diri -Nya.
Peringkat pertama adalah al-musyaratah. Pada tahap ini, setiap Muslim perlu menyedari bahawa kita sendiri yang menentukan keputusan yang kita ingin laksanakan. Atas kesedaran ini, Muslim perlu menetapkan tekad dan keazaman pada hati melalui penetapan syarat tertentu kepada diri untuk melaksanakan amal soleh dan dalam masa yang sama menjauhi seterusnya meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat. Kesedaran ini perlu ada dalam diri setiap mukallaf yang dibebankan dengan tanggungjawab beribadah kepada Allah.
Peringkat kedua pula ialah al-muraqabah. Melalui langkah ini, Muslim perlu menyedari bahawa setiap tingkah laku dan perbuatan kita sentiasa dilihat dan diawasi oleh Allah. Dengan kesedaran ini kita akan sentiasa menjaga setiap aktiviti kehidupan seharian agar selaras dengan tuntutan-Nya. Secara langsung juga kita mengetahui bahawa Allah sangat dekat dengan kita. Sekiranya kita mendapati diri terbabas melakukan maksiat maka kita bersegera bertaubat dan berusaha memperbaiki diri agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Manakala peringkat ketiga ialah al-muhasabah. Setiap muslim perlu sentiasa menyemak dan menghitung semula segala perbuatan dan amalan yang dilakukan. Amal baik yang dilakukan perlu dituruti dengan rasa syukur dan pujian kepada Allah supaya dengan itu mengelakkan diri kepada gejala ujub dan tinggi diri. Memuhasabah amal baik adalah dengan berusaha memastikan amal tersebut konsisten dibuat dan menambah baik mutu amalan tersebut. Manakala perbuatan keji dan buruk yang dilakukan perlu dilihat dengan penuh penyesalan, bertekad penuh azam untuk tidak mengulanginya serta bersegera memohon ampun dan taubat kepada Allah SWT. Muhasabah dengan itu menyedarkan manusia berkenaan kedudukan mereka di sisi Allah.
Peringkat yang keempat pula ialah mu’aqabah. Di tahap ini, muslim perlu berusaha sedaya mungkin menjauhi dosa dan maksiat. Namun sekiranya ia tetap dilakukan maka seseorang perlu mengiringinya dengan ‘iqab atau denda supaya ia menjadi penghalang atau penegah dari maksiat itu diulangi kemudian kelak. Denda diri yang dilakukan pula seharusnya sejajar dengan lunas agama dengan niat ia untuk menahan diri dari mengulangi perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT. Sebagai contoh mendidik diri membaca 10 halaman al-Quran pada hari tertentu sebagai ‘iqab atas kesalahan yang dilakukan kepada Allah SWT.
Peringkat seterusnya pula ialah al-mujahadah iaitu sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dengan azam yang utuh untuk berwaspada dari terjebak melakukan dosa serta beramal dengan amalan soleh setulusnya demi Allah SWT. Tahap ini ialah jihad kita melawan hawa nafsu. Berjihad di medan perang tetap dianggap mulia sama ada kita menang atau kalah, namun jihad melawan nafsu tidak dapat tidak perlu dimenangi kerana jika kita kalah maka kita akan dikategorikan sebagai mereka yang tercela. Jika jihad peperangan ada tempoh tamatnya maka jihad melawan nafsu akan berterusan berlangsung sehinggalah kita menemui ajal. Dan jika jihad peperangan membabitkan sesetengah kumpulan manusia dan dalam masa yang sama sebahagian muslim lain hidup aman dan tenteram maka jihad melawan nafsu pula sebaliknya dilalui dan dihadapi oleh setiap individu tanpa terkecuali. Dengan kefahaman sebeginilah setiap muslim akan melihat bahawa mengawal keinginan hawa nafsu juga adalah satu jihad diri yang tidak boleh diabaikan.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di khairulnaim@um.edu.my