Di dalam bulan Safar ini, wujud kepercayaan dalam kalangan masyarakat Islam tentang kewujudan sial di mana banyak pantang larang dan tindakan yang tidak boleh dilakukan dalam bulan tersebut. Antaranya kesialan yang dikaitkan dengan bulan ini adalah bulan Safar sebagai bulan yang diturunkan bala dan bencana serta perkara-perkara yang tidak baik. Bahkan dikaitkan bulan ini dengan kecelakaan dan keburukan khususnya pada hari Rabu terakhir dalam bulan ini. Oleh sebab itu, kita mesti pernah mendengar permintaan agar Mandi Safar bagi menolak bala atau ada larangan dalam kalangan orang tua-tua agar tidak melangsungkan akad perkahwinan dalam bulan Safar kerana boleh menyebabkan perpisahan antara pasangan tersebut pada masa akan datang.
Apabila menyebutkan tentang bulan Safar ini, bukan sahaja kepercayaan itu wujud dalam kalangan masyarakat Melayu Islam, tetapi telah ada sejak zaman Jahiliah lagi. Buktinya apabila, Nabi SAW ada menyebutkan perkara ini dalam hadith. Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Terjemahan: “Tidak ada penyakit yang berjangkit (dengan sendiri), tidak ada tiyarah (kesialan atau kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat), tidak ada kesialan (bala bencana) dalam bulan Safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.” (HR al-Bukhari no.hadith: 5770, status: Hadis Sahih).
Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, ketika membincangkan hadith ini, pada ungkapan “tidak ada kesialan pada bulan Safar” itu memberi dua tafsiran iaitu tidak menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan haram adalah bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ini yang telah dilakukan dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah berdasarkan kepada pandangan Imam Malik dan Abu ‘Ubaidah. Sedangkan tafsiran kedua iaitu merujuk kepada safar adalah binatang yang ada dalam perut seseorang iaitu ulat atau cacing. Jadi, orang Arab Jahiliyyah percaya bintang tersebut akan dapat membunuh tuan punya perut dan ia lebih berbisa dan berjangkit berbanding penyakit kulit berdasarkan pandangan al-Mutarrif, Ibn Wahb, Ibn Habib, Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama termasuk pandangan Imam Muslim sendiri. (Imam al-Nawawi, al-Minhaj, 13:379)
Memandangkan dalam suasana pandemik COVID-19 yang belum berakhir ini, jangan kita kembali beranggapan bahawa akan berlaku peningkatan jangkitan yang lebih besar dan keadaan akan bertambah teruk apabila hadirnya bulan Safar ini. Demikian, ada yang mengatakan bahawa sekalipun telah mendapat 1 atau 2 dos vaksin, namun kadar peningkatan jumlah kes COVID-19 yang positif masih meningkat dan berada pada paras dalam lingkungan 20 ribu setiap hari. Perkara ini sesuatu yang menakutkan. Tambahan pula, apabila berada pada hari Rabu terakhir dalam bulan tersebut yang dikatakan lebih banyak bencana dan keburukan akan berlaku yang mungkin akan meningkatkan lagi jumlah jangkitan tersebut. Kepercayaan ini sewajarnya tidak wujud dalam kalangan orang Muslim yang beriman kepada Allah dan beriman dengan qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT. Bahkan, Allah SWT sahaja yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dalam menentukan kebaikan atau keburukan, ketenangan atau ketegangan, bahagia atau derita, kegembiraan atau kesedihan dan sebagainya lagi. Pihak kita sebagai hamba Allah, perlu meletakkan kebergantungan dan tawakkal kepada-Nya sahaja selepas berusaha.
Bahkan, amalan-amalan yang bersifat kepercayaan karut, yang tiada asasnya atau yang bertentangan dengan fitrah dalam beragama sewajarnya ditinggalkan. Demikian juga, amalan sedemikian tidak perlu lagi diamalkan dan diteruskan lagi walaupun atas nama adat dan budaya. Ini kerana, jika adat dan budaya itu bercanggah dengan syariat seperti kepercayaan sial tertentu, ada unsur pemujaan kepada kuasa ghaib atau makhluk tertentu, atau kepercayaan kepada roh dan kebangkitan roh daripada kubur dan sebagainya lagi, yang jelas bercanggah, maka amat ditegah untuk dipraktikkan. Firman Allah SWT menerusi surah al-Tawbah ayat 51:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang ditetapkan Allah bagi kami, Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan – dengan kepercayaan itu – maka kepada Allah jua hendakmya orang yang beriman bertawakal”.
Dalil tersebut menunjukkan bahawa kita wajib berpegang dengan aqidah yang betul dengan tidak menyandarkan sesuatu bulan itu membawa kesialan dan sebarang musibah itu tidak akan mengenai makhluk kecuali dengan izin Allah SWT.
Setiap Muslim mesti yakin dan percaya bahawa setiap sesuatu yang berlaku sama ada dalam bentuk kebaikan atau keburukan mempunyai hikmah tertentu di sisi Allah SWT. Tambahan lagi, segala perkara dalam bentuk wabak penyakit, kesakitan, keuzuran tertentu, kematian dan sebagainya bukanlah perkara yang sia-sia. Tetapi ia sebenarnya mempunyai manfaat kepada hambaNya yang menghadapi ujian kepayahan tersebut. Daripada ‘Aisyah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa suatu keletihan dan penyakit (yang terus menimpa), kerisauan dan kesedihan, gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya, melainkan Allah akan menghapus dosa-dosanya”. (HR al-Bukhari, no.hadith 5640).
Bahkan, Islam tidak meletakkan garis panduan yang jelas dalam menghadapi apa juga musibah dan wabak yang berlaku dengan baik. Merujuk kepada keperluan untuk berusaha menghadapinya dan menanganinya dengan baik. Bukan diserahkan kepada sesuatu kepercayaan sahaja. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Sa’d Ibn Abi Waqqash R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya. (HR al-Bukhari, no.hadith 5728)
Oleh yang demikian, bulan Safar bukanlah bulan pembawa sial dan begitu juga dengan penularan wabak pandemik COVID-19 ini bukanlah sebagai bala tetapi ujian daripada Allah SWT kepada semua hamba-Nya. Ujian ini untuk mendidik manusia berfikir mencari penyelesaianya, bersabar dalam menghadapinya, berkerjasama saling bantu membantu antara satu sama lagi, meneruskan keteguhan dalam ibadah dalam suasana yang berbeza dan terus sentiasa mengingati serta berdoa kepada Allah SWT memohon pertolongan-Nya. Anggapan sial dan bala ini semestinya perlu diubah dengan menghayati kisah dan peristiwa agar makna dan ibrahnya dapat diambil dan dijadikan sebagai rujukan serta panduan dalam meneruskan kehidupan. Bukan meletakkan kesialan sebagai kayu ukur dalam menempa kehidupan.
Justeru, marilah kita sama-sama mempasakkan keyakinan yang teguh kepada Allah SWT dan bersangka baik dengan apa yang berlaku pada ketika ini, kerana semua itu berada di bawah pengetahuan Allah SWT. Senantiasalah kita membaca doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kerana Nabi SAW dalam riwayat Abdullah bin ‘Amru RA bersabda: “Sesiapa yang berpaling daripada melakukan sesuatu hajat kerana beranggapan akan bernasib sial maka dia telah melakukan syirik.” Lalu Nabi SAW meminta agar berdoa dengan doa:
اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau. (HR Ahmad, no.hadith 7242)
Penulisan ini sudah diterbitkan di BebasNews (Ed.)