15 February 2025

Rakyat Prihatin, Minda Merdeka

Featured

Menyantuni mereka di pinggir ibu kota

Pada 29 Disember 2024, Seramai 40 orang pelajar dari...

Beyond these walls

By Dr Noralina Omar It was raining that afternoon. The...

Bila dia ‘halal’

Oleh: Prof. Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin Vape atau...

For our future

By: Lee Wai Guan, Dr. Mohd Istajib Mokhtar Imagine a...

Permata Kinabalu perkasakan mereka

Oleh: Muhammad Taftazany Abd Rahman Dalam era globalisasi yang pesat...

Share

Bulan Ogos adalah bulan merdeka dan bulan patriotik. Menyerap semangat patriotisme, ramai negarawan dilahirkan pada bulan ini. Istimewanya coretan kali ini, berilhamkan daripada intipati khutbah Jumaat yang telah disampaikan oleh khatib di masjid kariah saya. Penghulu segala hari, Jumaat terakhir, sebelum negara kita ini mengecapi tahun ke-64 kemerdekaan di 2021. Apa tajuknya? ‘Malaysia Prihatin’, bersempena tema kemerdekaan pada tahun ini.

Saya amati bait-bait khutbah Jumaat dengan penuh ketekunan. Khatib menjelaskan “prihatin bermaksud mengambil berat dengan memberi perhatian serta cakna terhadap sesuatu perkara”. Menarik, tetapi jika benar-benar diamati perkataan ‘PRIHATIN’ ini, sebenarnya luar biasa! PRIHATIN inilah yang ingin saya bawa bersama pembaca sekalian dalam memahami erti kemerdekaan ketika kita masih digasak dengan angka ganas pandemik Covid-19 selain gelombang dan gejolak politik negara yang tsunaminya masih membadai.

Rakyat Prihatin

Rakyat pada hari ini semakin prihatin dan cakna atas apa yang berlaku di sekeliling mereka. Rakyat semakin mengambil berat permasalahan yang berlaku dari sebesar-besar isu di dalam negara malah sehingga sekecil-kecil isu di persekitaran kejiranan mereka. Rakyat Malaysia juga cukup prihatin, mengambil tahu dan berminat segala yang berlaku kepada pentadbiran negara. Mengapa ini terjadi? Kerana pada revolusi 4.0 ini, robot kecil di tangan mengisi mata dan pemikiran kita dengan maklumat dunia tanpa batas.

Rakyat dilimpahkan dengan lonjakan maklumat yang terlalu banyak dan maklumat ini pula terlalu pantas bergerak dan tersebar. Sehinggakan kebenaran terlalu lambat untuk diselidiki, katanya nanti ketinggalan sensasinya. Parah! Inilah yang paling getir, paling takut, paling merbahaya! Budaya kealpaan dan fitnah oleh penjajah minda! Susuk tubuh hebat 1400 tahun lalu telah memberi amaran awal tentang keadaan umat di akhir zaman yang goyah pegangan jati diri sehinggakan mereka mudah terikut-ikut dengan budaya, cara pemikiran dan tindak-tanduk tidak baik. Setelah kita bebas merdeka tanggal 1957 yang lalu, kini kita terkunci pula dengan jiwa yang tidak merdeka!

Minda Merdeka

Merdeka yang sepatutnya pada hari ini adalah merdeka minda iaitu merdeka dari anasir dan pemikiran negatif yang membawa kepada hati yang tidak bersih. Sebarang permasalahan yang berlaku di dalam negara, jika kita tidak mempunyai minda yang merdeka maka ia akan membawa sangkaan tidak baik dan fitnah berleluasa yang membawa kepada kepincangan yang lebih kronik lagi.

Berdasarkan dapatan kajian yang saya lakukan, ekonomi merupakan indikator utama yang mempengaruhi keprihatinan rakyat ke atas gelagat dan tingkah laku dalam memberi respons terutamanya masyarakat di bandar. Mereka melihat bahawa faktor ekonomi secara tidak langsung melibatkan kehidupan dan kelangsungan hidup mereka.

Kestabilan politik negara berkorelasi dengan pertumbuhan ekonomi negara yang berhubung pula dengan kesejahteraan rakyat. Buktinya, lihatlah persekitaran pandemik hari ini, bagaimana politik dan ekonomi bergerak balas dan bagaimana rakyat bertindak balas.

Rakyat pada hari ini sangat berkira apabila melibatkan material dan ekonomi. Rakyat prihatin dan lantang menyuarakan hak mereka jika dicabuli. Kenapa berlaku? Jawapan yang saya peroleh berdasarkan kajian survei yang saya jalankan, selari iaitu ekonomi. Rakyat akan lebih berkira apabila ekonomi mereka terganggu atau diganggu.

Dikesempatan ini ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana saya ada menerima geran penyelidikan dari pihak kementerian untuk mengkaji para peniaga kecil semasa pandemik. Apa yang saya hendak kongsikan di sini adalah pengalaman enumerator kami semasa menjalankan kajian di lapangan.

Prihatin positif dan minda merdeka ini terpancar dari para peniaga kecil. Ini cerita realiti.! Kemesraan semasa soal selidik langsung tidak menggambarkan keresahan ekonomi akibat pandemik yang melanda. Meskipun gerainya sekadar meja lipat, peniaga ini tidak berkira. Dihimpit dengan kenaikan harga kos, tetapi majoriti masih tidak menaikkan harga jualan dengan alasan ingin membantu dan tidak mahu membebani pelanggan. Subhanallah. Sendiri kesempitan, tetapi masih mengutamakan orang lain.

Meskipun duit itu penting tetapi nilai kemanusiaan jauh lebih tinggi. Jika berhadapan dengan situasi terdesak antara diri sendiri atau beri sedekah kepada yang lebih terdesak, mereka memilih untuk memberi sedekah! Alasan paling kukuh majoriti mereka adalah meniaga untuk menyara keluarga dan mereka sangat-sangat yakin dengan setiap kebaikan mereka, pasti akan dibalas dengan berkali ganda lebih baik. Hebatnya minda dan jiwa merdeka mereka! Itu rezeki besar daripada Allah SWT jika kita melihat dari sudut berbeza. Segalanya berpaksikan agama dan mereka merasakan sedekah sangat menguntungkan. Sentiasa berlapang dada dan bersyukur. Mereka sentiasa bersangka baik.

Apa yang memeranjatkan saya, ya perniagaan mereka merudum di dalam kawalan pergerakan pandemik ini tetapi mereka masih lagi bersyukur dengan rezeki yang diperolehi dan menganggap ini rezeki yang penuh keberkatan dari Allah SWT. Keuntungan bukan keutamaan. Tetapi dikala semua dalam tekanan, mereka memilih untuk bersama meringan. Perniagaan disulami dengan amalan kebajikan tanpa takut kepada kerugian. Inilah yang saya ingin kongsi dan sampaikan kepada pembaca bahawa inilah jiwa dan minda yang merdeka yang patut kita contohi dan contoh ini masih wujud dikalangan peniaga kecil yang berniaga di ceruk kampung dan pedalaman.

Jalan Keluar

Merdeka minda sangat penting hari ini. Dalam keadaan yang mendesak kehidupan semasa pandemik, pegangan agama adalah kuncinya. Umat Islam jika diuji dan bersabar akan beroleh pahala. Jika kita mempunyai minda merdeka seperti ini kita akan menemui jalan penyelesaian bagaimana mengurus masalah kita pada hari ini. Hakikat kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan sama ada bangsa, fikiran atau kebudayaan seperti difahami kebanyakan, sebaliknya menurut perspektif Islam, ia bermakna kebebasan manusia untuk menikmati kehidupan sesuai fitrahnya dan selaras matlamat sebenar penciptaannya oleh Allah SWT.

Bersempena dengan hari kemerdekaan kita yang akan disambut pada tahun ini marilah kita memerdekakan pemikiran kita dengan menunjukkan rasa prihatin yang positif dalam menangani dan memberi respon kepada isu negara.

Salam Merdeka!

Penulisan ini telah diterbitkan sebahagiannya di Utusan Malaysia (Ed.)