Oleh: Prof. Madya Dr. Nur Amani@Natasha Ahmad Tajuddin
Pengenalan sejarah penyakit tuberkulosis
Tuberkulosis (batuk kering) adalah penyakit berjangkit yang merbahaya, disebabkan oleh organisma dikenali sebagai Mycobaterium tuberculosis (lebih dikenali sebagai TB). TB dikesan oleh ahli arkeologi 9000 tahun dulu di Atlit Yam (bandar yang ditenggelami lautan di kepulauan Mediterranean) melalui ibu dan anak yang dikebumi bersama, manakala sejarah TB mulai didokumentasi sejak 3300 dan 2300 tahun dahulu di India dan China.
TB merupakan punca kematian nombor satu di Malaysia pada tahun 1940an dan 1950an. Pada tahun 2020, sebanyak 1.5 juta orang mati akibat jangkitan TB di seluruh dunia, manakala di Malaysia, dilaporkan insiden jangkitan TB sebanyak 30,000 orang.
Penyakit TB adalah penyakit yang tidak mengenal usia dan mudah berjangkit, namun begitu terdapat rawatan yang terbukti berkesan serta vaksin untuk mencegah jangkitan TB yang teruk, iaitu BCG.
Bagaimana TB merebak
Penyakit TB mudah merebak di kalangan orang yang dijangkiti TB apabila tinggal bersama, atau berada/terdedah bersama di satu-satu tempat untuk jangka masa yang tertentu (contohnya di tempat kerja, atau asrama pekerja). Ia merebak melalui udara, iaitu apabila seseorang batuk, bercakap atau menyanyi.
Seseorang yang mempunyai jangkitan HIV adalah berisiko tinggi menghidap TB (18 kali lebih tinggi faktor risiko), begitu juga di kalangan perokok (1.6 kali faktor risiko), dan pengambilan alkohol (3.3 kali faktor risiko). Risiko jangkitan juga adalah tinggi di kalangan mereka yang mempunyai sistem imuniti yang rendah seperti pengambil ubatan steroid, pesakit kanser, SLE, rheumatoid arthritis, dan kencing manis.
TB walaubagaimanapun tidak merebak melalui perkongsian tandas, ciuman, berkongsi makanan atau minuman, berkongsi pakaian atau tempat tidur, atau menyentuh kain pesakit, atau bersalaman.
TB paru-paru (pulmonary TB, atau PTB) pula boleh berjangkit ke organ lain di dalam tubuh pesakit. Apabila seseorang menyedut bakteria TB ini, ia akan mula merebak di bahagian paru-paru. TB juga boleh merebak ke bahagian anggota badan yang lain seperti tulang belakang, kelenjar limfa, otak, buah pinggang, atau abdomen, namun tidak mudah menjangkiti orang lain.
Simptom TB
Tanda-tanda seseorang dijangkiti TB paru-paru (PTB) adalah:
- Batuk berpanjangan melebihi dua minggu
- Batuk berdarah
- Batuk berkahak yang tidak sembuh setelah mengambil antibiotik
- Berpeluh waktu malam
- Kurang selera makan
- Berat badan menurun
- Pernafasan yang terasa sakit didada terutama apabila menarik nafas yang dalam
- Badan berasa seram sejuk
- Demam berpanjangan
Antara tanda-tanda TB yang merebak ke bahagian anggota badan yang lain (selain daripada yang telah dinyatakan di atas):
- Demam berpanjangan
- Bengkak kelenjar di leher
- Sakit tulang belakang
- Kencing berdarah
- Sakit perut yang berpanjangan
- Cirit-birit yang tidak berhenti dengan rawatan biasa
- Keletihan tanpa sebab
- Jaundis
- Sakit kepala yang tidak berhenti/ semakin teruk
- Perubahan tingkah laku
Mengawal penyakit TB
Cara kawalan jangkitan adalah dengan mengelakkan pendedahan termasuklah dengan menghindari tempat sesak, menghindari pesakit TB sehingga mereka tidak lagi boleh menjangkiti, dan memastikan sistem pengudaraan yang baik.
Apabila anda mempunyai tanda-tanda seperti yang dinyatakan, anda perlu ke klinik kesihatan secepat mungkin untuk membuat ujian saringan TB. Antara ujian yang akan dilakukan adalah x-ray paru-paru, sampel kahak untuk calitan AFB (acid fast bacilli) atau doktor mungkin mengesyorkan ujian Mantoux (Tuberculin skin testing) jika didapati simptom yang tersebut kepada kanak-kanak.
Seseorang yang dijangkiti TB perlu memberitahu ahli keluarga terdekat atau pun rakan serumah/rakan sekerja untuk membuat saringan di klinik kerajaan atau swasta. Ini adalah untuk membendung penyakit ini daripada merebak dengan lebih teruk, dan bagi memulakan rawatan seawal mungkin sebelum bakteria TB merebak ke anggota badan yang lain.
Setelah disahkan menghidap TB paru-paru, anda akan diberikan surat cuti sakit untuk tempoh yang tertentu. Pada masa yang sama, rawatan intensif antibiotik TB akan dimulakan, dan rawatan ini perlu diambil untuk tempoh selama 6 bulan. Untuk jangkitan TB selain daripada paru-paru, tempoh rawatan adalah lebih lama.
Rawatan TB
Rawatan TB dilakukan secara bersemuka oleh doktor dan jururawat terlatih di klinik DOTS (Directly observed treatment) semasa fasa intensif. Rawatan TB di klinik DOTS telah pun terbukti berkesan menyembuhkan jangkitan, berbanding pengambilan ubat secara kendiri. Kini, ubatan TB yang perlu diambil adalah lebih mudah untuk pesakit berbanding zaman dahulu, dan kesan sampingan juga sentiasa diawasi oleh doktor dan jururawat dari semasa ke semasa.
Namun untuk pesakit yang tinggal jauh dari fasiliti kesihatan, atau mempunyai kekangan lain untuk hadir secara fizikal untuk mengambil ubat, kini terdapat alternatif pengambilan ubat di atas talian secara teleconsultation atau video observed treatment (VOT) dan cara sebegini membantu pesakit TB untuk pulih.
Vaksin dan TB
Di Malaysia, vaksin Bacille Calmette Guerin (BCG) diberikan kepada semua bayi yang baru lahir atau kanak-kanak sehingga umur 7 tahun. Ia adalah antara vaksin paling selamat dengan kesan sampingan yang minima. Pemberian BCG adalah usaha untuk mengelakkan penyebaran TB yang serius, termasuklah TB meningitis (radang pada selaput sekeliling otak dan saraf tunjang), terutamanya di kalangan kanak-kanak.
Jangkitan TB di kalangan bayi dan kanak-kanak adalah lebih rumit untuk dirawat, maka dengan pemberian vaksin BCG, kadar jangkitan TB di kalangan kanak-kanak telah menurun di Malaysia.
Bagi mereka yang mempunyai kesan parut di lengan, tidak perlu menerima suntikan semula kerana ia tidak memberi perlindungan tambahan. Suntikan semula (revaksinasi) akan diberikan kepada bayi 3-12 bulan, atau kanak-kanak berumur kurang dari 7 tahun, jika tiada kesan parut di lengan (pinpoint ≤2mm).
Bersempena dengan Hari TB Sedunia yang disambut pada 24 Mac setiap tahun, peluang ini harus diambil oleh setiap golongan masyarakat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai penyakit TB, agar kita sama-sama dapat menghindari dari jangkitan TB dan terus hidup secara sihat.
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di amaninatasha@um.edu.my
Rujukan
Mohd Yaakob MF, Yunus J. Penularan Penyakit Tuberculosis (TB) di Malaysia: Amalan Pencegahan dan Mekanisme Pengawalan di Institusi Pendidikan. Jurnal Sains Kesihatan Malaysia. 01/31 2017;15:131-134. doi:10.17576/JSKM-2017-1501-15
WHO. Tuberculosis. Accessed March 4, , 2022. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/tuberculosis
Division of Tuberculosis Elimination NCfH, Viral Hepatitis, STD, and TB Prevention, Centers for Disease Control and Prevention. Tuberculosis (TB). Centers for Disease Control and Prevention, Accessed March 4, 2022. https://www.cdc.gov/tb/topic/basics/howtbspreads.htm#:~:text=TB%20bacteria%20are%20spread%20through,these%20bacteria%20and%20become%20infected.
Golden MP, Vikram HR. Extrapulmonary tuberculosis: an overview. Am Fam Physician. Nov 1 2005;72(9):1761-8.
Medical Development Division MoHM. Clinical Practice Guideline: MANAGEMENT OF TUBERCULOSIS vol FOURTH EDITION. Malaysian Health Technology Assessment Section (MaHTAS); 2021:97.
Razali A, Bee S, Ahmad N, eds. GARIS PANDUAN PROGRAM IMUNISASI BCG. Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia; 2019. Accessed March 4, 2022.