10 August 2022

UM proaktif melestari program demi kebolehpasaran graduan

Featured

Mohammad Anis Abdul Samad

“Tanjak ini bukan sekadar busana atau fesyen orang Melayu;...

Hijrah memperkasa literasi ilmu dan media

Oleh: Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad Tarikh 1 Muharam menjadi...

UM santuni anak-anak orang asli di Sungai Siput

Sekumpulan 25 orang sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa Universiti...

Nor Sharina Nordin

“Kita perlu ada minat dan sentiasa bersabar dalam kerja-kerja...

Saipol Bari Abd. Karim

Associate Professor Sr. Dr. Saipol Bari Abd. Karim from...

Share

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di dalam ucapannya sempena Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan semalam di Tuaran, Sabah mengatakan kadar pengangguran belia yang berusia 15 hingga 40 tahun di seluruh negara menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh sama pada 2021.

Penurunan signifikan ini tentunya hasil usaha pelbagai agensi, termasuklah institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya (UM), yang secara terus-terusan memandang serius isu kebolehpasaran graduan, menurut Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor, Naib Canselor UM, ketika ditemui.

“Walaupun usaha memastikan kebolehpasaran graduan universiti sentiasa berada dalam kedudukan tertinggi adalah sesuatu yang rumit kerana melibatkan pelbagai faktor di luar kawalan kita, namun saya percaya usaha menyeluruh untuk menanganinya tidak seharusnya terhenti, selaras dengan keperluan negara seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi),” tambahnya.

Di antara langkah penambahbaikan yang dilakukan oleh UM adalah dengan melaksanakan penilaian kebolehpasaran program melalui proses semakan kurikulum secara berkala untuk keseluruhan program pengajian yang ditawarkan oleh UM, setiap 3 hingga 5 tahun. Ini melibatkan hampir 300 program pengajian di pelbagai peringkat, dari asasi, diploma hinggalah ke tahap kedoktoran. Perkara asas yang dilihat pada setiap kali proses semakan kurikulum ialah penilaian kepada kerelevanan sesuatu program akademik yang ditawarkan. Penilaian ini dibuat berdasarkan input dari beberapa aspek utama yang meliputi populariti program, kajian pasaran, bidang tujahan utama universiti, dan maklumbalas dari penilai luar program.

Hasil daripada penilaian kerelevanan inilah yang seterusnya membawa kepada keputusan seterusnya bagi memastikan graduan yang terhasil memiliki nilai kebolehpasaran yang tinggi. Antara keputusan yang dimaksudkan termasuklah penawaran program akademik baharu dan penjumudan program sedia ada yang terpilih, setelah dinilai dengan rapi dari pelbagai sudut. Program-program pengajian yang terlibat dijenamakan semua, atau digabungkan menjadi program yang lebih berdaya saing dengan nama program yang baharu. Maka program dengan nama yang asal akan dijumudkan. Program pengajian baharu yang lebih relevan dan terkini juga ditawarkan mulai sesi 2021/2022, seperti Sarjana Keselamatan Siber, Sarjana Pengurusan Halal, Sarjana Kepintaran Buatan, Sarjana Pentadbiran dan Kepimpinan Sukan, Sarjana Sains Gunaan (Nanoteknologi), dan Sarjana Sains Data.

Namun demikian, perlu dinyatakan di sini yang istilah penjumudan bukanlah bermaksud penamatan program pengajian secara total. Program Sarjana Pentadbiran Awam secara mod penyelidikan contohnya, dijumudkan kerana mengalami pengurangan pendaftaran pelajar yang amat ketara sejak lebih 5 tahun kebelakangan ini. Manakala program Sarjana Pentadbiran Awam secara mod kerja kursus masih lagi ditawarkan sehingga kini.

Untuk makluman, penjumudan program pengajian akan melibatkan ketiadaan penawaran program terlibat kepada pelajar baharu bagi sesi akademik akan datang sahaja, dan bukannya kepada pelajar sedia ada. Bagi pelajar sedia ada, pengiktirafan dan status akreditasi adalah kekal kerana pengiktirafan ini berdasarkan sesi kemasukkan pelajar masing-masing. Ia tidak menjejaskan kebolehpasaran graduan pada masa akan datang kerana status akreditasi adalah berdasarkan kohort pengajian pelajar. Mereka yang sedia ada di dalam sistem pengajian akan dipastikan menamatkan pengajian masing-masing, selaras dengan keperluan akreditasi setiap program yang dinilai oleh MQA atau badan profesional masing-masing.

Menurut Prof. Mohd. Hamdi, nilai kadar kebolehpasaran graduan UM yang kekal tinggi, melebihi kadar purata institusi pengajian di seluruh negara, menunjukkan komitmen universiti di dalam perkara ini. “Dan ini diperkukuhkan lagi dengan inisiatif proaktif UM dalam mereka bentuk Indeks Kelestarian Program (IKP) yang diperkenalkan pada 2021 bagi menjamin kualiti program yang ditawarkan dan graduan yang dilahirkan.”

“IKP merupakan inisiatif yang pertama seumpamanya di negara ini, dan direkabentuk khusus bagi memberi kesan secara langsung kepada kemampanan sesebuah program untuk ditawarkan. Melalui IKP kami percaya setiap program pengajian yang ditawarkan oleh UM bukan hanya berkualiti dan relevan, malah mampu menjamin graduan yang dihasilkan kelak bakal dibekalkan dengan nilai ilmu dan kemahiran yang kompetitif,” kata Prof. Mohd. Hamdi mengakhiri perbualan.

Nota: Artikel ini telah dihantar ke Berita Harian sebagai respon kepada isu penjumudan program akademik di UM yang tersiar di muka hadapan BH pada 17 Julai 2022 (Ed.)