9 October 2025

Tidak muncul

Featured

Growing ESG

By Dalilawati Zainal ESG is no longer just about compliance....

Tidak muncul

Oleh Nor Nazrina Mohamad Nazry Ceritanya begini, pada pagi Selasa...

Getting them ready

By Dayana Jalaludin and Zubir Azhar We now live in...

Seindah alunannya

Oleh Muhammad Ridha Ali Huddin Alunan bacaan al-Quran pastinya membuatkan...

Klinik pergigian bergerak UM santuni anak yatim Rumah Kasih Ulu Inas

Pada 23 September 2025, buat julung kalinya, Jabatan Pergigian...

Share

Oleh Nor Nazrina Mohamad Nazry

Ceritanya begini, pada pagi Selasa yang tenang, seorang pelajar lelaki kemas mengenakan pakaian seragam sekolah dan melambaikan tangan kepada ibu sebelum pergi. Tetapi, pelajar ini tidak pernah sampai ke kelas. Ke manakah anak ini? Yang pasti, dia bukan keseorangan. Walaupun kebanyakan pelajar sentiasa hadir ke sekolah, namun ada juga yang tidak pergi dan selalunya tanpa pengetahuan ibu bapa. Merujuk kepada dasar pengurusan disiplin, kelakuan ini digelar ponteng sekolah dan bagi sesetengah keluarga mahu pun sekolah, ianya merupakan satu amaran yang bersifat senyap.

Data kebangsaan pada tahun 2022 menunjukkan kebimbangan yang perlu diatasi oleh semua pihak. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey, NHMS) mendapati satu daripada empat remaja, iaitu 25.6% menyatakan bahawa mereka tidak hadir ke sekolah tanpa kebenaran sekurang-kurangnya sehari dalam tempoh 30 hari lepas. Dapatan tinjauan ini turut memaparkan faktor-faktor seperti remaja yang lebih berusia dan anak-anak yang tidak tinggal bersama kedua ibu bapa, menyebabkan golongan ini sering ponteng sekolah.

Gejala ponteng sekolah bukan setakat satu isu disiplin tetapi ia juga berkait rapat dengan isu pembelajaran dan kesejahteraan anak-anak kita. Di peringkat antarabangsa, inisiatif Attendance Works yang diketuai oleh Hedy N. Chang, menerangkan bahawa ponteng sekolah dan ketidakhadiran yang kronik adalah dua perkara yang berbeza. Ponteng sekolah boleh didefinisikan sebagai ketidakhadiran tanpa alasan, manakala ketidakhadiran yang kronik ialah tidak hadir pada hari sekolah sebanyak 10% atau lebih atas pelbagai alasan. Walau bagaimanapun, kehilangan kemampuan akademik, kesan daripada kedua-dua keadaan ini adalah sama. Oleh itu, rekod kehadiran yang dicatatkan oleh guru kelas setiap hari boleh membantu menjejaki pelajar-pelajar yang kerap tidak hadir ke sekolah secara diam.

Di negara kita, peperiksaan besar yang penting yang dikelolakan oleh Kementerian Pendidikan membuka perspektif yang berbeza. Pada tahun 2023, seramai 373,525 orang calon atau 97.4% daripada keseluruhan yang mendaftar hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan jumlah ini meningkat berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian kehadiran ini merupakan intervensi di setiap peringkat, melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah. Walau bagaimanapun, masih ada lagi calon yang tercicir dan tidak hadir, dan setiap calon ini memiliki kisah peribadi yang kompleks.

Sementara itu, analisa data terhadap kelakuan anak-anak remaja di negara ini mendedahkan bahawa secara konsisten, ponteng sekolah berkait rapat dengan pengalaman menjadi mangsa buli, diancam secara fizikal dan terlibat dengan tabiat merokok dan pengambilan dadah. Jelaslah di sini, gejala ponteng sekolah ini boleh berlaku disebabkan faktor-faktor lain juga. Dalam erti kata lain, ketidakhadiran ke sekolah boleh dikatakan sebagai simptom kepada situasi negatif lain yang sedang melanda mereka.
Justeru itu, apakah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah dan keluarga? Antaranya ialah:

  1. Dapatkan maklumat ketidakhadiran anak sepantas mungkin: Semakin cepat ibu bapa mengetahui anak-anak tidak sampai ke sekolah, semakin bagus tindakan yang boleh dilakukan. Di negara kita, sudah menjadi kewajipan untuk merekod kehadiran harian para pelajar secara konsisten. Oleh itu, notifikasi awal setelah ketidakhadiran diketahui boleh membantu mengesan keberadaan mereka
  2. Guna data untuk mengambil berat, bukan menyalahkan: Kerangka tindakan sekolah oleh Attendance Works mencadangkan bahawa data ketidakhadiran kronik boleh dirujuk untuk memulakan langkah awal dalam menyelesaikan gejala ponteng sekolah. Misalnya, ambil cakna apabila jumlah hari tidak hadir ke sekolah ialah 5% sebelum jumlah itu mencapai 10% dan lakukan perbincangan ahli keluarga yang menyokong sesama sendiri
  3. Jadikan persekitaran sekolah bermakna untuk hadir: Maklumat NHMS menerangkan ponteng sekolah makin kerap berlaku apabila umur anak-anak remaja semakin meningkat. Ini bermakna pelajar-pelajar di sekolah menengah atas mempunyai potensi untuk tidak hadir ke sekolah. Lantaran itu, hubungkan mereka dengan aktiviti yang jelas objektifnya, lebih daripada gred akademik seperti pembelajaran berasaskan projek atau khidmat kepada komuniti.
  4. Wujudkan jaringan keselamatan di sekeliling pelajar yang takut ke sekolah: Disebabkan gejala ponteng berkait rapat dengan isu buli, sistem kehadiran perlu menjurus kepada protokol anti-buli dan sokongan kesihatan mental. Misalnya, rekod kehadiran yang senyap dan selamat, dan juga sokongan rakan sebaya boleh membantu mereka untuk hadir ke sekolah
  5. Selarikan hubungan dan akibat antara sekolah dan rumah: Amalan pengeluaran surat amaran bagi ketidakhadiran dilihat berkesan dalam sistem pendidikan di negara kita. Usaha ini sebaiknya diikuti dengan langkah-langkah pemulihan seperti sesi kaunseling dan lawatan ke rumah sekiranya perlu, untuk memanjangkan hubungan antara sekolah dan rumah

Bagi ibu atau bapa di luar sana, rutin pemantauan harian yang ringkas dapat menolong anak-anak kita. Antaranya ialah ambil gambar anak di pintu masuk sekolah di mana ramai ibu bapa telah melakukannya dan semak portal ibu bapa dan sekolah atau mesej daripada pihak sekolah selewat-lewatnya pada pukul 9.30 pagi. Bagi guru-guru pula, pastikan rekod kehadiran dikemaskini dalam 10 minit pertama dan majukan mesej ketidakhadiran dengan segera, bukan di hujung waktu persekolahan.

Para pakar dalam pendidikan bersetuju bahawa ketidakhadiran kronik merupakan amaran berjaga-jaga, ia menggambarkan bahawa golongan pelajar ini sedang menghadapi masalah pembelajaran dan akhirnya, boleh membawa kepada keciciran pendidikan. Amaran ini bukanlah bertujuan untuk memarahi mereka sewenang-wenangnya tetapi permulaan untuk mengubah dan menyelesaikan masalah ini bersama.

Negara kita telah dilengkapi sistem data yang baik, dasar dan garis panduan yang jelas, dan juga komitmen kepada kebajikan pelajar yang utuh. Walau bagaimanapun, menutup jurang antara ‘meninggalkan rumah dengan pakaian seragam sekolah yang kemas’ dan ‘hadir ke kelas’ memerlukan kerja berpasukan yang selaras dan bertimbang rasa. Justeru itu, sebaiknya, lagi cepat kita bertindak pada setiap pagi, lagi sedikit anak remaja kita hilang di pintu pagar sekolah.


Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di nazrina@um.edu.my

Previous article