6 November 2025

Menawan cita

Featured

Psikologi, di sini

Oleh Fonny Dameaty Hutagalung Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu...

Disiplin emosi

Oleh Muhamad Azamuddin Mohamad Ali Isu disiplin murid bukanlah fenomena...

Menawan cita

Nur Iffa Batrisyia melihat dunia melalui lensa yang berbeza “Kadang-kadang,...

Sugary nice

Let’s bring Mary Poppins home By Ng Kwan Hoong “A spoonful...

Bukti kesungguhan

Oleh Sabri Sulaiman Persidangan ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala...

Share

Nur Iffa Batrisyia melihat dunia melalui lensa yang berbeza

“Kadang-kadang, bila saya tengok imej darah di bawah mikroskop; terus saya teringat gambar-gambar makro yang saya ambil. Ada simetri, ada corak, ada ceritanya sendiri. Macam seni yang tersembunyi,” ujar Nur Iffa Batrisyia Jamil, pelajar tahun kedua jurusan Sains Bioperubatan di Universiti Malaya (UM).

Anak sulung dari dua orang adik-beradik ini berasal dari Kajang, Selangor. Mewarisi ketegasan ibunya yang bekerja sebagai guru dan kelembutan ayahnya yang kini bersara, Batrisyia merupakan figura pelajar perubatan yang lincah, berdikari, dan penuh dengan keinginan untuk menjelajah dunia, baik melalui kamera mahupun mikroskop.

“Saya mula minat hematologi semasa di Pusat Asasi UM (PASUM). Ada satu sesi makmal biologi, kami melihat bentuk-bentuk sel darah yang pelbagai rupa… dan saya terus terpikat. Ada banyak cerita sebenarnya di sebalik setiap titisan darah tu. Macam sebuah potret kesihatan manusia, kan?”

Antara sains, seni dan sukarelawan

Di sebalik impian untuk menjadi seorang pakar hematologic pada suatu hari nanti, Batrisyia adalah seorang pelajar yang aktif dalam pelbagai cabang aktiviti kampus. Sebagai Timbalan Ketua Akademik dan Intelektual dalam Persatuan Sains Bioperubatan di Fakulti Perubatan UM, beliau banyak terlibat dalam perancangan seminar, pameran dan sesi bimbingan pelajar.

“Dalam bidang kesihatan, ilmu sahaja tidak mencukupi. Kita masih perlu belajar cara berkomunikasi, cara mengurus, cara memimpin yang baik dan efisien,” katanya yang juga merupakan Setiausaha Projek EMBRACE di Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah UM dan antara wakil mahasiswa yang terpilih ke Malaysian Youth Delegation Climate Conference tahun ini.

“Saya bukanlah seseorang yang pandai bercakap secara spontan di hadapan orang ramai, tapi saya suka merancang, mencatat, dan menyediakan keperluan di belakang tabir. Bila semuanya berjalan lancar, itu adalah satu kepuasan yang tak ternilai,” kata alumni SMK Convent Kajang ini lagi.

Batrisyia juga merupakan bendahari program komuniti Pustaka Seni Bahasa dan ahli biro videografi Secholian Multimedia di Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah UM, dan turut menjadi sebahagian daripada pasukan yang menjayakan ‘National Biomedical Science Gathering’ di peringkat kebangsaan. Keaktifannya membuktikan bahawa seseorang pelajar sains bioperubatan juga mampu mencipta ruang untuk sisi kreatifnya berkembang, baik dalam bentuk fotografi, video dokumentari, mahu pun seni persembahan.

Dapur, kamera dan mikroskop

Antara kaedah Batrisyia mencari ketenangan selepas melalui hari yang panjang adalah melalui hobinya, iaitu fotografi dan memasak.

“Kalau stress, dan saya berada di rumah, saya akan memasak atau membuat kek. Lepas tu saya ambil gambar makanan tu elok-elok, dan post dekat story IG. Saya rasa itu juga satu bentuk terapi, dari hasil tangan sendiri.”

Tetapi minat fotografi Batrisyia sebenarnya lebih mendalam daripada sekadar gambar makanan atau swafoto. Beliau sebenarnya suka mengambil gambar yang mampu bercerita, yang merakam momen-momen tulen dan penuh emosi. Antara gambar kegemarannya ialah saat-saat penting dalam sesebuah perlawanan sukan, seperti saat ‘touch down’ dalam perlawanan ragbi, atau jeritan puas selepas jaringan gol dalam perlawanan bolasepak.

“Saya suka tangkap gambar-gambar candid, terutamanya yang tak disuruh senyum. Masa orang sedang buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh, atau menikmati suasana program yang diikuti, masa tu kita boleh nampak siapa karakter diri mereka yang sebenarnya,” katanya sambil tersenyum.

Cita-cita dan harapan

Berbekalkan keputusan yang baik semasa SPM dan Asasi, tidak hairanlah Batrisyia menyasarkan pengkhususannya dalam bidang hematologi selepas tamat ijazah kelak.

“Saya nak jadi pakar hematologi yang bukan hanya bekerja di makmal, tapi juga terlibat dalam pendidikan masyarakat, terutama sekali tentang pendermaan darah, penyakit genetik, dan pemahaman asas tentang darah manusia. Negara kita yang bakal menjadi negara menua sebagaimana fenomena yang melanda dunia menjelang 2050 kelak pastinya memerlukan profesional dalam bidang sains bersekutu seperti ini bagi menjamin kualiti hidup rakyatnya,” kata Batrisyia ketika bercerita mengenai cita-citanya.

Beliau juga mengangkat ibunya, Nornairiah Adman, dan aktivis iklim Greta Thunberg sebagai suri teladan. “Ibu saya mengajar saya tentang kesungguhan dan tanggungjawab. Greta pula membuktikan yang usia muda bukanlah penghalang untuk bersuara menyatakan pendapat kita mengenai sebarang isu yang dirasakan penting dan dekat di hati.”

Mesej kepada rakan mahasiswa

Mengakhiri perbualan, Batrisyia menitipkan satu pesanan buat rakan-rakan seperjuangan. “Kadang-kadang kita rasa dunia ini bergerak terlalu laju. Tapi sebenarnya tak mengapa untuk kita berhenti sekejap, mencari apa sahaja yang buatkan kita terasa ‘hidup’. Bagi saya, ilmu itu penting; tapi janganlah sampai mengabaikan hobi, seni, dan pergaulan. Semua itu membentuk siapa diri kita yang sebenar kelak, bukan sekadar pointer CGPA yang tinggi.”

Dari bilik kuliah ke gelanggang bola baling, dari studio multimedia ke makmal hematologi, perjalanan Batrisyia menunjukkan bahawa menjadi pakar sains tidak semestinya kaku. Dalam setiap eksperimen dan setiap klik kameranya, beliau terus mencorak masa depannya, satu warna pada satu masa.


Maklumat lanjut mengenai Nur Iffa Batrisyia boleh didapati melalui Prof. Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri, Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah UM di nahrizuladib@um.edu.my

Previous article
Next article