Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar
Aidilfitri merupakan hari umat Islam meraikan kemenangan setelah berjaya kembali kepada fitrah kemanusiaan dan kehambaan menerusi asuhan madrasah Ramadan. Secara harfiah, “aidil” berasal dari perkataan arab ‘aid iaitu perayaan. Manakala “fitri” pula bermaksud fitrah. Menerusi kombinasi dua kalimah ini, secara mudahnya aidilfitri bermaksud hari raya fitrah. Perayaan fitrah ini disambut oleh umat Islam seluruh dunia tanpa mengira kulit bangsa dan batas negara. Semuanya bergembira meraikan kejayaan mematuhi perintah Tuhan, terutamanya dalam melaksanakan ibadat berpuasa dan pelbagai amalan di bulan Ramadan dengan penuh keinsafan sebagai tanda kesyukuran.
Anas bin Malik r.a berkata: “Nabi SAW telah datang ke Madinah dan ketika itu penduduknya memiliki dua hari raya untuk bergembira pada masa Jahiliyah. Lalu baginda berkata: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan sesuatu yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis riwayat al-Nasa’i).
Kegembiraan duniawi dan ukhrawi
Namun, maksud bergembira pada hari raya bukanlah berseronok seolah-olah tidak lagi perlu mematuhi perintah Tuhan, tetapi meneruskan nilai kefitrahan manusia yang telah diterapkan sepanjang 30 hari di bulan Ramadan. Oleh itu, cara menyambut dan cara bergembira pada hari raya Aidilfitri ini telah disyariatkan Tuhan dan diajarkan Nabi SAW dengan penuh hikmah dan barakah agar umat Islam dapat mengisi perayaan Aidilfitri dengan maqasid atau matlamat yang sebenar; iaitu seimbang antara kegembiraan duniawi dan ukhrawi. Pada hari raya Aidilfitri, umat Islam disyariatkan untuk melakukan ibadah khusus seperti menunaikan zakat fitrah, solat sunat hari raya dan bertakbir. Umat Islam juga disunatkan bergembira dengan memakai pakaian yang indah-indah dan berwangi-wangian.
Menurut Imam Syafie r.a dalam Kitab al-Umm: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis. Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”
Memahami fitrah insani
Ironinya, umat Islam dasawarsa ini nampaknya semakin tersasar dalam meraikan aidilfitri. Mereka tidak lagi mempeduli dan memahami maqasid hari raya iaitu kembali kepada fitrah. Umat Islam seharusnya menginsafi diri dan meneliti semula apakah yang dimaksudkan dengan fitrah. Menurut definisi literal, fitrah difahami sebagai tabiat semulajadi. Tetapi secara epistemologi konseptual, fitrah memberikan mafhum yang lebih luas mencakupi dimensi ketauhidan, kebenaran, keikhlasan dan kesucian serta ketaatan.
Konsep fitrah diklasifikasikan kepada dua aspek iaitu aspek internal (emosi, spiritual, & intelektual) dan aspek eksternal (budaya, sosial & fizikal). Justeru, fitrah manusia dapatlah difahami sebagai suatu tabiat semulajadi manusia secara internal dan eksternal yang didasari nilai-nilai ketauhidan, kebenaran, keikhlasan, kesucian dan ketaatan. Menerusi nilai-nilai yang murni ini, potensi manusia dapat ditingkatkan lagi ke tingkat tertinggi menerusi panduan agama (hidayah al-diniyyah), petunjuk akal (hidayah al-aqliyah), isyarat panca indera (hidayah al-hissiyah) dan dorongan hati nurani (hidayah al-ghariziyah).
Aidilfitri sudah tidak patuh fitrah lagi
Tetapi, realiti sambutan Aidilfitri pada alaf revolusi industri 4.0 ini tidak lagi selari dengan konsep fitrah. Berpakaian indah pada hari raya bukan lagi atas dasar sunnah tetapi kerana fesyen dan bermegah-megah. Malah, sambutan hari raya aidilfitri ini diraikan selama 30 hari sepanjang Syawal sedangkan hari raya aidilfitri yang sebenarnya hanyalah sehari iaitu pada 1 Syawal. Sehinggakan pakaian indah dibeli dan ditempah secara mewah dan berlebihan untuk dipakai sepanjang Syawal. Perayaan ini juga seolah-oleh hari membalas dendam setelah 30 hari berpuasa lantas digantikan dengan 30 hari yang penuh dengan majlis rumah terbuka dengan pelbagai hidangan dan menghasilkan banyak sisa makanan, termasuklah sisa makanan yang masih elok untuk dimakan. Sedangkan amalan berlebih-lebihan dalam berfesyen dan makan ternyata tidak selari dengan fitrah manusia bahkan merupakan tabiat syaitan.
Malah, dari pakaian dan makanan berlebihan inilah menjadi punca yang signifikan kepada pencemaran alam dan perubahan iklim yang disumbangkan oleh industri tekstil dan industri tani. Tanpa sedar, menyambut hari raya aidilfitri yang tidak patuh syariah dan tidak patuh fitrah sebenarnya telah mencemarkan bumi, mencemarkan fitrah insani dan mencemarkan aidilfitri itu sendiri.
Fitrahkan diri fitrahkan Bumi
Oleh yang demikian, setiap individu muslim sebenarnya memikul tanggungjawab besar untuk berusaha kembali kepada tujuan sebenar sambutan aidilfitri. Kesedaran ini perlulah didasari panduan agama dan diterjemahkan melalui kecerdikan akal, kekuatan panca indera dan keluhuran hati nurani. Untuk mengamalkan hari raya yang sebenar, sifat-sifat mahmudah seperti bersyukur perlukan disuburkan dalam sanubari. Erti fitrah perlu sentiasa disematkan di akal dan hati. Segala perbuatan yang menjejaskan nilai ketauhidan, kebenaran, keikhlasan dan kesucian serta ketaatan hendaklah dijauhkan. Apabila konsep fitrah ini diterapkan dalam diri, tidak akan ada lagi pembaziran makanan dan pakaian yang mencemarkan bumi. Dalam erti kata yang lain, konsep fitrah hendaklah dipraktikkan dan menjadi asas kepada amalan aidilfitri lestari. Antara amalan tersebut termasuklah:
● Mengelakkan pembaziran makanan dan pakaian raya.
● Tidak membuang sampah seperti sampul raya merata-rata.
● Tidak menyalakan lampu raya setiap masa.
● Sentiasa menjimatkan penggunaan barangan elektrik.
● Mengelakkan penggunaan beg plastik
● Tidak menggunaan bekas makanan polisterin di rumah terbuka.
● Merancang perjalanan pulang ke kampung.
● Mengutamakan perkongsian kenderaan ketika berziarah.
Berubah adalah fitrah
Kita perlu sedar hakikat bahawa manusia itu secara fitrahnya berpotensi, bersedia dan mampu melakukan perubahan ke arah ketauhidan, kebenaran, keikhlasan dan kesucian serta ketaatan. Allah berfirman dalam Surah al-Rum ayat 30 yang bermaksud: “Turutilah agama Allah, iaitu agama yang Allah ciptakan manusia dengan keadaan bersedia secara fitrah untuk menerimanya”. Rasulullah SAW pula bersabda mafhumnya: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah sehingga dia mampu untuk berfikir dan memilih sama ada menjadi orang yang bersyukur atau orang yang kufur.” Justeru, sebagai muslim yang berakal, pilihan berada di tangan kita untuk meraikan aidilfitri secara bersyukur atau mengikut jejak orang kufur.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan dalam bidang sosio-perundangan Islam di Program Sarjana Sains Kelestarian, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di ista.ajib@um.edu.my