Oleh Norbani Che Ha
Pada 16 September tahun ini, seluruh rakyat Malaysia menyambut ulang tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-92 dengan penuh rasa syukur dan kebanggaan. Sambutan ini bukan sahaja memperingati jasa serta pengorbanan wira negara, tetapi juga mengingatkan kita bahawa imej ATM adalah maruah negara yang mesti dijaga sepanjang masa.
ATM bukan sahaja organisasi ketenteraan; ia adalah simbol perpaduan dan kedaulatan negara. Identiti ATM terbina melalui falsafah teras, budaya organisasi, kejelasan proses operasi, serta orientasi terhadap pihak berkepentingan – sama ada rakyat, kerajaan mahupun rakan antarabangsa. Apabila identiti ini diterjemahkan dengan konsisten, maka lahirlah imej yang positif, dan imej itulah yang membentuk reputasi ATM di mata dunia
Imej ATM adalah aset strategik negara. Dalam konteks keselamatan moden, kejayaan ATM tidak hanya diukur pada kekuatan persenjataan atau bilangan anggota, tetapi juga pada kemampuan memelihara kepercayaan rakyat. Setiap tindakan anggota – daripada operasi berskala besar hingga misi kemanusiaan – membawa implikasi terhadap reputasi negara. Justeru, imej yang kukuh membolehkan ATM berfungsi bukan sekadar sebagai benteng pertahanan, tetapi juga sebagai aktor moral yang melambangkan integriti dan profesionalisme.
Sambutan ulang tahun ATM memperkukuh lagi naratif ini. Ia bukan sekadar acara rasmi, tetapi wadah untuk menzahirkan penghargaan kepada jasa dan pengorbanan wira-wira negara. Ulang tahun ini juga menjadi kesempatan untuk menghubungkan sejarah kegemilangan ATM dengan realiti cabaran semasa, serta menginspirasi generasi baharu agar terus menyanjung nilai keberanian, disiplin dan patriotisme. Dalam konteks inilah imej ATM sebagai maruah negara lebih terserlah – satu kesinambungan antara warisan dan masa depan.
Pengalaman British Army melalui kempen penjenamaan mereka sejak 2018 boleh dijadikan pengajaran. Kempen yang menekankan kepelbagaian, semangat kekitaan, dan kerja berpasukan berjaya menarik minat generasi muda serta meningkatkan penyertaan anggota baru. Melalui strategi komunikasi yang inklusif dan naratif yang menyentuh emosi, mereka membina imej tentera yang relevan dengan masyarakat moden. ATM juga boleh mengambil inspirasi ini dengan menyesuaikan pendekatan kepada konteks Malaysia.
Dalam era media sosial, storytelling menjadi alat penting untuk membina imej. Namun, ia harus dilaksanakan secara tulen, berpaksikan nilai dan realiti. Bagi generasi muda, imej ATM perlu dikaitkan dengan keberanian, disiplin, profesionalisme, serta peranan sebagai pelindung rakyat. Dengan cara ini, ATM bukan sahaja menarik minat untuk kerjaya ketenteraan, tetapi juga menanam rasa bangga dan hormat dalam kalangan masyarakat.
Imej ATM adalah cerminan maruah negara. Ia perlu dipelihara melalui identiti yang jelas, komunikasi strategik, dan tindakan yang konsisten dengan nilai teras. Dalam dunia di mana kuasa lembut (soft power) sama penting dengan kuasa keras (hard power), imej ATM sebagai institusi berintegriti dan berwibawa adalah kunci untuk memperkukuh kedaulatan negara serta menjunjung maruah Malaysia di mata dunia.
Prof Dr Norbani Che Ha ialah professor di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di norbanicheha@um.edu.my