Oleh: Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad
Bulan Rabiul Awal setiap tahun tidak asing lagi bagi umat Islam di seluruh dunia sebagai bulan mengingatkan kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Kelahiran baginda SAW adalah merupakan rahmat terbesar bagi semua umat manusia dek kerana baginda SAW tidak diutus melainkan membawa rahmat sekalian alam. Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”
Sempena dengan bulan Maulidul Rasul, saban tahun pelbagai program yang diadakan dalam semua peringkat sama ada di peringkat sekolah, universiti sehingga dalam masyarakat melalui masjid dan surau. Program-program tersebut bentuk ceramah, kuliah perdana, webinar, seminar dan sebagainya.
Dalam mengenang Nabi SAW, sudah pasti pelbagai aspek yang boleh dijadikan sebagai qudwah dan ikutan. Pelbagai aspek tersebut meliputi aspek keperibadian dan akhlak baginda, kepimpinan, kemasyarakatan, muamalat harian, mendepani musuh, toleransi dengan orang bukan Islam dan pelbagai kaum dan sebagainya lain. Sesuai dengan apa yang difahami daripada al-Quran dalam surah Al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
Jadi, dalam menghayati keperibadian baginda SAW pada masa kini, antara aspek yang boleh dilihat dan dijadikan sebagai role model adalah berkaitan dengan sifat integriti baginda SAW sebagai seorang pemimpin agung sepanjang zaman. Sifat kepimpinan baginda terbukti jelas apabila berjaya dalam mengasaskan Kerajaan Islam Madinah selepas menghadapi pelbagai halangan dan rintangan daripada pihak musuh Islam dari pelbagai sudut. Kemuncaknya sehingga baginda SAW diperintahkan Allah SWT untuk berhijrah meninggalkan tanah air Makkah al-Mukarramah menuju ke Yathrib (yakni Madinah) selepas penentangan yang hebat dari kaum kafir Quraisy ketika itu. Namun, keadaan itu sama sekali tidak mematahkan semangat Nabi SAW dan orang Islam. Berkat kepada kesungguhan dan kesabaran baginda SAW dalam memimpin umat Islam pada ketika itu, dan kejayaan baginda dalam mempersaudarakan antara golongan Muhajirin (dari Mekah) dengan golongan Ansar (di Madinah), telah meletakkan batu asas kepada pembinaan Kerajaan Islam yang stabil.
Bagi melihat kepada sifat integriti Nabi SAW, boleh dilihat kepada beberapa keadaan dan peristiwa yang berlaku serta bagaimana baginda menghadapinya sehingga menonjolkan keteguhan baginda dalam membuktikan sifat integriti tersebut. Sejak kecil lagi, baginda SAW telah mendapat gelaran “al-Amin” yang bermaksud seorang yang dipercayai dalam kalangan masyarakat Quraisy. Gelaran ini telah menjadikan baginda SAW membesar menjadi seorang pemuda yang jujur dan amanah sehingga pada ketika itu tiada siapa yang boleh dipercayai lebih daripada Muhammad Al-Amin. Baginda telah dipilih untuk menyelesaikan pertelingkahan dalam meletakkan kembali Hajar Aswad di tempatnya di sisi Kaabah selepas peristiwa banjir besar di Mekah yang menghanyutkan dan meruntuhkannya. Bahkan, apabila baginda dicadangkan oleh Abu Talib kepada Khadijah binti Khuwailid untuk menjadi orang yang dipercayai dalam urusan perniagaan, Khadijah serta merta menerima cadangan tersebut yang menggambarkan bagaimana nilai kepercayaan masyarakat kepada baginda.
Sikap integriti Rasulullah SAW boleh juga dilihat kepada usaha merasuah baginda SAW oleh golongan kafir Quraisy yang dicadangkan oleh ‘Utbah bin Rabi’ah. ‘Utbah adalah seorang pembesar Quraisy yang bijak dan berpandangan jauh lalu memberi cadangan agar ditawarkan kepada Nabi SAW sama ada diberikan sejumlah harta yang banyak sehingga menjadi seorang yang paling kaya daripada kalangan mereka, atau diberikan pangkat dan jawatan yang diingini sehingga boleh menjadi ketua dan raja kepada mereka. Jika semua itu ditolak, ‘Utbah mengatakan bahawa mereka sanggup untuk membelanjakan harta kekayaan yang ada bagi mencari tabib bagi merawat Nabi SAW sehingga sembuh. Keterangan ini ada disebutkan dalam Sirah Ibn Hisyam. Sikap integriti yang tinggi yang ada pada Nabi SAW, dengan mudah sahaja baginda menolak segala tawaran tersebut yang berniat semata-mata untuk memberhentikan usaha dakwah baginda SAW. Kita melihat bahawa baginda seorang yang sangat tetap pendirian, terus memikul amanah dengan penuh integriti sebagai Pesuruh Allah, demi untuk memastikan segenap manusia menjadikan Islam sebagai agamanya. Jika kita sebagai seorang pemimpin berada pada situasi ini, adakah kita mampu untuk terus menetapkan pendirian sedemikian? Berapa ramai dalam kalangan pemimpin kita yang goyah dengan nikmat keduniaan ini.
Dalam pada itu, sesuatu yang menarik juga untuk kita hayati tentang sifat integriti baginda SAW adalah melalui hadith Mu`awiyah bin Abi Sufian yang berkata bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya aku “Qasim” (yakni pembahagi) dan Allah yang memberi.” (HR al-Bukhari, no. hadith 27). Hadith ini mempunyai maksud yang sangat penting bagaimana Nabi SAW mahu mendidik sifat integriti kepada para Sahabat. Ia ada kaitan dalam perbincangan berkaitan dengan harta rampasan perang di mana hanya Nabi SAW sahaja mempunyai hak untuk membahagikan harta rampasan perang (ghanimah) tersebut. Sehinggakan dalam hadith yang lain, ada menyebutkan daripada riwayat Abu Hurairah RA ada menyebutkan tentang seorang lelaki yang terkorban dalam Peperangan Khaibar dan orang ramai mengatakan bahawa orang tersebut telah mati syahid. Lalu Nabi SAW bersabda: “Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang ambilnya (oleh lelaki yang terbunuh itu) pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”. Apabila orang ramai mendengar kenyataan tersebut, maka seorang lelaki datang membawa seutas atau dua utas tali (yang telah diambil tanpa pembahagian yang di izin) kepada Nabi SAW. Lalu baginda SAW bersabda lagi: “Seutas atau dua utas tali juga (boleh menyebabkan masuk) dalam neraka.” (HR al-Bukhari, no. hadith 6707). Lihatlah bagaimana kerana “sehelai seledang”, yang diambil disebabkan hilang integriti dan tidak amanah, sekalipun nampak seolah-olah satu nilaian yang kecil, tetapi telah menyebabkan dicampak ke neraka. Dalam erti kata, bagaimana Nabi SAW tegas dalam memastikan nilai integriti dalam kalangan Sahabat terus pasak secara kukuh.
Demikian juga, apabila kita mempelajari ilmu hadith (‘Ulum al-Hadith), Nabi SAW telah mendidik pada Sahabat menjadi generasi yang terbaik yang pernah ada di atas muka bumi. Sesuai dengan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain RA, berkata bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda, yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku (ketika Nabi SAW masih hidup). Kemudian kurun selepas daripada mereka (zaman para Sahabat) dan kemudian kurun selepas daripada mereka (zaman tabiin).” (HR al-Tirmizi, no.hadith 2221).
Sehingga para Sahabat yang meriwayatkan hadith diletakkan dalam status “al-‘Adalah atau al-‘Udul” iaitu bersifat adil. Adil yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada maksud para sahabat sangat berintegriti dalam periwayatan hadith sehingga mereka sama sekali tidak akan berdusta atas nama Nabi SAW. Justeru, semua riwayat yang dibawa boleh para Sahabat Nabi SAW boleh diterima tanpa sebarang prasangka. Para Sahabat menjadi generasi terbaik itu tidak lain melainkan kepimpinan yang hebat daripada baginda SAW dari pelbagai sudut dan aspek. Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara mendapat tujuan ajar dari pimpinan Nabi SAW melalui wahyu Allah SWT. Tambahan lagi apabila, Nabi SAW turut meletakkan satu asas yang sangat penting dalam kepimpinan, apabila dalam riwayat daripada Ibn ‘Umar RA daripada Nabi SAW bersabda: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab ke atas kepimpinannya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggung jawab ke atas rakyatnya, seorang lelaki (suami) adalah pemimpin ke atas keluarganya, dan dia bertanggung jawab ke atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggung jawab ke atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggung jawab ke atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggung jawab atas kepemimpinannya.” (HR Muslim, no. hadith 3408). Hadith ini sangat penting apabila memperincikan keperluan dalam menjalankan amanah kepimpinan dengan penuh integriti dalam semua peringkat, kerana setiap kepimpinan itu akan dipertanggungjawabkan. Dalam erti kata bahawa ia adalah tanggungjawab yang sangat berat.
Realiti kita pada hari ini, dalam laporan media massa dan kecoh juga di media sosial, terdapat banyak laporan tentang pegawai kerajaan atau institusi tertentu yang pecah amanah, menerima rasuah, tidak melakukan tugas dengan jujur, mengambil kesempatan terhadap jawatan yang dimiliki, menyalahgunakan kuasa, mengguna pakai duit rakyat dan sebagainya lagi. Bahkan, pada masa kini jawatan sebagai ‘pemimpin’ itu dilihat sebagai milikan kuasa dan lubuk kepada kekayaan yang mana situasi ini bukan merupakan satu integriti yang diajar oleh Nabi SAW. Lebih menyedihkan lagi apabila bagi negara kita yang majoriti umat Islam ini, kedudukan Malaysia berada pada tangga 62 daripada 180 buah negara lain dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021. Kedudukan ini menyaksikan negara kita telah merosot berbanding tahun 2020 berada di tangga 57. (Utusan, 25 Januari 2022; SinarHarian, 25 Januari 2022). Negara-negara yang menjuarai indeks tersebut rata-rata dari negara bukan majoriti Islam seperti Denmark, Finland, New Zealand, Norway, Singapura, Sweden, Switzerland, Belanda, Luxembourg dan Jerman. Di mana kedudukan negara-negara Islam dan majoriti umat Islam yang lain?
Sedangkan, apabila kita sebagai Muslim, Islam sangat menitik beratkan integriti dan Nabi SAW telah mendidik umat baginda untuk berakhlak dengan akhlak yang baik yang mampu membentuk sifat integriti tersebut. Baginda sendiri juga telah menunjukkan contoh dan tauladan yang baik untuk kita ikuti, tetapi kenapa masih ramai lagi yang ingkar. Justeru itu, dalam hadith riwayat Abdullah bin ‘Amr RA, Rasulullah SAW bersabda: (maksudnya): “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (HR Ahmad, no. hadith 6984 dan Ibnu Majah, no.hadith 2313). Hadith ini memberikan gambaran ancaman yang sangat berat bagi golongan yang telah hilang integriti yang sanggup menggadaikan maruah diri dan tanggungjawab demi kepentingan peribadi. Layaknya dijauhkan daripada rahmat Allah SWT dan dibalas dengan dosa.
Oleh yang demikian, usahlah kita memandang sebelah mata dalam soal integriti ini, lebih-lebih lagi apabila melibatkan tindakan yang salah sehingga menggadaikan amanah dan tanggungjawab semata-mata untuk memuaskan diri sendiri. Ambillah pengajaran daripada Nabi SAW dan hayati lah sirah baginda SAW, di mana sejak kecil sehinggalah baginda menjadi pemimpin agung, sikap integriti itulah yang menjadi tunjung utama yang utuh tanpa goyah. Hasilnya, Islam terus bertapak kukuh, terus berkembang dari masa ke semasa dan pernah mencapai zaman kegemilangannya. Nikmat Islam itu jugalah yang kita kecapi pada hari ini.
Salam Maulidur Rasul 1444H
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di khadher82@um.edu.my