Lakar sendiri kejayaan masa depanmu
Oleh Laili Marlina Khaidir
31 Mac 2026 bakal menjadi tarikh keramat buat ribuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara. Debaran menanti keputusan bukan sekadar tentang berapa banyak ‘A’ dalam genggaman, tetapi tentang persoalan yang lebih besar: โKe mana selepas ini?”
Ramai pelajar lepasan SPM kini berdepan dilema sukar: sambung ke universiti, kolej, politeknik, matrikulasi atau terus bekerja, terutamanya di tengah kos sara hidup melonjak pada 2026 ini. Setiap laluan pendidikan mempunyai peluang dan kelebihan tersendiri, bergantung pada situasi kewangan serta matlamat jangka panjang anda, sama ada untuk membina asas profesional kukuh melalui diploma atau ijazah bagi peluang gaji lebih tinggi dan kestabilan kerjaya, atau memulakan kerja awal untuk mengumpul modal sambil mengikuti kursus kemahiran pendek seperti digital marketing atau AI prompt engineering.
Contohnya, Ali, lepasan SPM 2025 dari Kuala Lumpur, memilih untuk bekerja secara part-time di sebuah kedai runcit dengan gaji sekitar RM1,500 sebulan bagi membantu keluarganya. Namun begitu, dalam tempoh tiga bulan, beliau mengikuti kursus di bawah HRD Corp dan berjaya meningkatkan kemahirannya dalam bidang analisis data. Hasil usaha tersebut, beliau berjaya mendapat pekerjaan sebagai Junior Data Analyst dengan gaji RM3,000 sebulan. Kisah ini membuktikan bahawa pembelajaran tidak formal dan peningkatan kemahiran secara berterusan juga mampu mempercepatkan perkembangan kerjaya, terutamanya dalam era ekonomi yang mencabar pasca-pandemik.
Perkara paling penting dalam membuat pilihan ialah memilih bidang yang mempunyai keperluan tinggi dalam negara dan juga di peringkat global pada masa hadapan. Antara bidang yang dilihat terus berkembang dan sangat diperlukan ialah bidang teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan, sains data, tenaga boleh baharu, perubatan dan kesihatan, pendidikan, keselamatan siber, serta bidang berkaitan TVET dan kemahiran teknikal. Bidang-bidang ini bukan sahaja mempunyai peluang pekerjaan yang luas, malah menawarkan kestabilan kerjaya dalam jangka masa panjang.
Dalam membuat pilihan juga, pelajar sering dinasihatkan untuk mengikut minat. Namun, minat bukanlah satu-satunya faktor penentu. Memilih bidang tidak boleh hanya berdasarkan minat atau peluang kerja semata-mata, tetapi perlu seimbang antara kedua-duanya. Minat tanpa pasaran boleh menyukarkan anda mendapatkan pekerjaan, manakala bidang tanpa minat pula berisiko menyebabkan โburnoutโ dan hilang motivasi. Oleh itu, cari jalan tengah dengan menggabungkan minat dan keperluan industri.
Contohnya, minat melukis boleh dikembangkan dalam bidang seperti Reka Bentuk Digital atau Animasi yang mempunyai permintaan tinggi. Minat boleh datang kemudian, apabila kita mula belajar dan mendalami sesuatu bidang. Ramai individu berjaya hari ini bukan kerana mereka berminat pada awalnya, tetapi kerana mereka berusaha bersungguh-sungguh sehingga akhirnya minat itu datang bersama kejayaan dan kepakaran yang dibina.
Jangan sesekali serahkan masa depan anda kepada pengaruh media sosial atau trend semasa yang belum tentu membawa kejayaan. Buat keputusan berdasarkan maklumat, bukan berdasarkan populariti. Sebelum memilih bidang pengajian, pelajar perlu membuat kajian terlebih dahulu tentang peluang pekerjaan, gaji, permintaan industri, laluan kerjaya dan juga cabaran dalam bidang tersebut. Jangan pilih sesuatu bidang hanya kerana kawan atau kerana bidang itu nampak popular, tetapi pilih kerana bidang itu mempunyai masa depan dan peluang yang luas untuk anda berjaya. Masa depan adalah perjalanan peribadi, bukan perjalanan mengikut orang lain.
Selain itu, sokongan dan dorongan ibu bapa juga sangat penting dalam membantu anak-anak membuat keputusan. Ibu bapa perlu memberi panduan, berkongsi pandangan dan pengalaman, namun pada masa yang sama memberi ruang kepada anak untuk membuat pilihan sendiri. Masa depan adalah milik anak-anak, maka keputusan yang dibuat perlulah datang daripada minat, kecenderungan dan kemampuan mereka sendiri, bukan semata-mata pilihan ibu bapa.
Bagi pelajar yang masih tidak pasti bidang yang sesuai, mereka boleh mengambil ujian psikometrik atau ujian personaliti kerjaya bagi melihat kecenderungan minat, personaliti dan kekuatan diri. Ujian ini boleh membantu pelajar mengenali diri sendiri dan memilih bidang yang lebih sesuai dengan potensi masing-masing.
Akhir kata, keputusan SPM hanyalah satu langkah kecil dalam perjalanan hidup yang panjang. Dunia di luar sana tidak hanya bertanya tentang berapa banyak ‘A’ yang anda kumpul, tetapi mereka akan bertanya: “Apa yang anda boleh buat? Sejauh mana anda sanggup belajar?”
Bagi yang cemerlang, tahniah! raikan kejayaan anda, namun jangan leka. Ini baru garisan permulaan, bukan garisan penamat. Dan bagi yang kurang bernasib baik, jangan padamkan api semangat anda. Ramai tokoh korporat dan usahawan berjaya hari ini bermula daripada keputusan yang biasa-biasa, tetapi mereka mempunyai kegigihan yang luar biasa. Masa depan tidak ditentukan oleh keputusan SPM semata-mata, tetapi oleh keberanian anda untuk terus melangkah selepas ini.
Laili Marlina Khaidir ialah Pensyarah Asasi (Fizik) di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan boleh dihubungi di laili.khaidir@um.edu.my