Krisis pandemik COVID-19 bukan sahaja memberi kesan terhadap kesihatan awam, malah ianya turut menjejaskan banyak aspek dalam kehidupan keseluruhan rakyat Malaysia. Golongan anak muda Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak terkecuali dalam menerima kesan krisis yang sekaligus menjadikan kumpulan rentan ini semakin terpinggir.
Jika sebelum ini mereka perlu berhadapan dengan pelbagai halangan yang menyekat penyertaan penuh dan berkesan dalam masyarakat, krisis pandemik COVID-19 telah menambah kesukaran yang semakin mengecilkan lagi ruang dan peluang anak muda OKU untuk menikmati hak sama rata dengan mereka yang bukan OKU.
Walaupun hak bagi anak muda OKU dalam akses kepada pendidikan, pekerjaan, pengangkutan, kemudahan awam dan sosial adalah dijamin dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685), malah diperkukuhkan lagi dengan komitmen Malaysia melalui Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berkenaan Hak Orang Kurang Upaya, namun halangan sikap, persekitaran, maklumat dan polisi sedikit sebanyak telah menafikan hak OKU dalam mengakses keperluan asas yang telah diperuntukkan. Ketidaksamarataan akses kepada kehidupan bermasyarakat ini telah menjadikan anak muda OKU dikategorikan sebagai anak muda minoriti dan terpinggir, seperti yang terkandung dalam Dasar Anak muda Malaysia (DBM).
Dalam memastikan hak golongan anak muda OKU terhadap akses kepada pendidikan, pekerjaan, pengangkutan, kemudahan awam dan sosial yang lebih baik di negara ini, banyak inisiatif yang telah diambil oleh pelbagai pihak, sama ada pihak kerajaan, swasta mahu pun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Garis Panduan Perlaksanaan Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya di Universiti Awam, Dasar 1 Peratus Pekerja OKU di Sektor Awam, Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU), dan penubuhan pusat-pusat Kehidupan Berdikari merupakan antara inisiatif pihak kerajaan dalam memastikan nasib golongan anak muda OKU lebih terbela.
Selain itu, peranan pihak swasta dalam menawarkan peluang pekerjaan dan biasiswa pendidikan kepada anak muda OKU turut menyumbang kepada pemerkasaan golongan ini. Inisiatif ini turut dibantu oleh NGO yang menawarkan program latihan kemahiran dan khidmat sokongan kepada anak muda dan ahli keluarga OKU. Sememangnya diakui, inisiatif-inisiatif ini sedikit sebanyak telah mengubah nasib ramai anak muda OKU di negara kita.
Namun begitu, kemunculan bahana pandemik COVID-19 secara tiba-tiba di seluruh dunia menjelang Mac 2020 telah mengganggu-gugat hampir keseluruhan rangka kerja pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini. Situasi pandemik yang berpanjangan dan berlanjutan sehingga sekarang kembali meletakkan kehidupan anak muda OKU dalam keadaan sukar.
Anak muda OKU Penglihatan yang bekerja sebagai juru urut contohnya, telah hilang mata pencarian melalui pelaksanaan pelbagai siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak menyenaraikan pusat urut sebagai sebahagian daripada sektor ekonomi Perkhidmatan Perlu. Anak muda OKU Pendengaran yang tinggal di rumah pula tidak dapat mengakses maklumat berkaitan COVID-19 di media massa arus perdana, kerana tidak semuanya menyediakan juru bahasa isyarat. Manakala anak muda OKU Autisme pula menghadapi kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana khidmat sokongan psikologi yang terhad.
Cabaran-cabaran yang semakin menyesakkan semasa krisis pandemik COVID-19 ini menyebabkan anak muda OKU semakin terdedah kepada isu kesihatan mental seperti tekanan, kerisauan melampau, dan kemurungan. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kurangnya para profesional yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan isu kesihatan mental bagi anak muda OKU, selain kurangnya modul yang komprehensif bagi menangani isu tekanan dan kerisauan melampau dalam kalangan anak muda OKU.
Menyedari hal ini, sebuah pasukan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), telah bergabung dengan rakan penyelidik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi menyumbang kepakaran dalam menjalankan program-program pemerkasaan kesejahteraan psikologi dan persediaan kerjaya untuk anak muda OKU di Malaysia. Projek penyelidikan mereka yang bertajuk “Empowering disabled youths’ psychological wellbeing for career development (MRUN2019-1D)” ini telah dibiayai sepenuhnya oleh geran penyelidikan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah Program Malaysia Research University Network (MRUN).
Penyelidikan ini telah berjaya menjalankan pelbagai program dan aktiviti libatsama komuniti dengan pelatih atau anak muda OKU di sebuah pusat latihan perindustrian dan pemulihan. Antara program-program pemerkasaan kesejahteraan psikologi yang dijalankan adalah Program Rehabilitasi Estim Kendiri, Ceramah Motivasi Diri, dan Kelompok Sokongan Sosioemosi dan Psikososial. Kesemuanya dilaksanakan menggunakan bahasa perantara yang mudah difahami, agar mesej yang jelas dapat disampai dan dipraktikkan oleh peserta.
Manakala program-program yang berfokus kepada persediaan ke alam kerjaya merangkumi Karnival Kerjaya Malaysia, Ceramah Kerjaya, Bengkel Menulis Resume, Mock Job Interview, dan pameran kerjaya. Kesemua program yang dijalankan ini bertemakan slogan, We Care, We Love, We Empower!, kerana sasaran impak adalah merangsang rasa prihatin masyarakat terhadap anak muda OKU, memupuk rasa sayangi diri (self-compassion), dan menggalakkan pemerkasaan komuniti anak muda OKU meski pun dalam suasana pandemik.
Di samping menjalankan pelbagai jenis program dan aktiviti, pasukan penyelidik MRUN2019-1D ini juga telah berjaya menghasilkan sebuah modul terapi kognitif bagi menangani tekanan dan kerisauan melampau dalam kalangan anak muda OKU. Pembinaan modul terapi kognitif berasaskan pendekatan kaunseling kelompok rehabilitasi ini bukan sahaja melatih para peserta dengan kemahiran untuk menangani tekanan dan kerisuan melampau, malah ianya turut memperkasakan mereka untuk kehidupan berkerjaya.
Keberkesanan modul ini telah dibuktikan melalui sesi intervensi yang dijalankan bersama anak muda OKU di sebuah pusat latihan dan pemulihan di Selangor. Selain itu, bagi tujuan menyebarluas kepakaran dan penggunaan modul ini, satu sesi training-of-trainer (TOT) turut diadakan kepada Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat yang telah dikenal pasti.
Projek penyelidikan ini merupakan sebuah inisiatif bagi membantu golongan anak muda OKU yang terdedah kepada isu kesihatan mental akibat dari cabaran-cabaran yang dihadapi dalam kehidupan, terutamanya yang menjurus kepada tempoh pandemik. Diharapkan anak muda OKU dan para profesional yang berkaitan dapat memanfaatkan hasil kajian ini melalui kerjasama pintar antara pihak universiti dan komuniti supaya anak muda OKU menerima khidmat sokongan psikologi yang sewajarnya.
Bagi memastikan nasib anak muda OKU terus terbela, golongan ini perlu menjadi sebahagian dalam inisiatif pemulihan semasa dan pasca pandemik COVID-19. Oleh itu, amat perlu untuk anak muda OKU mempersiapkan diri dengan kemahiran menangani tekanan dan kerisauan melampau, dan seterusnya mampu memperkasakan diri bagi membina kehidupan yang lebih baik. Khidmat sokongan psikologi dari para profesional juga perlu untuk memastikan anak muda OKU dapat mengharungi keadaan pandemik yang mencabar seterusnya bangkit dengan lebih yakin untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara melalui apa jua saluran dan kaedah.
Penulisan ini telah diterbitkan di Berita Harian, Utusan Malaysia dan BebasNews (Ed.)