20 April 2025

Hari Asyura, Bani Israil, dan pandemik

Featured

Our very own legacy

By Zuraini Md Ali, Nor Hayati Hussain On World Heritage...

Of hypocrisy and moral crisis

By Haezreena Begum Abdul Hamid The recent statement by the...

Apa lagi ditunggu?

Oleh Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh Syawal 1445 H menyaksikan...

Teman mereka

Oleh Yohan Kurniawan Dalam dunia yang penuh dengan suara, warna...

Menitip peluang

Oleh Dalilah Aziz Bagi ramai pelajar yang bercita-cita menjadi akauntan,...

Share

Hari ke-10 dalam bulan Muharam, yang turut dikenali sebagai hari Asyura, merupakan hari yang menjadi peringatan penting bukan sahaja kepada umat Nabi SAW tetapi turut menjadi hari yang diingati dalam kalangan orang Yahudi dan golongan Syiah.

Perkara ini boleh difahami daripada hadith riwayat Ibn ‘Abbas RA yang menceritakan bahawa setibanya Nabi SAW ke Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, lalu Baginda bertanya: Apakah ini (sebab berpuasa itu)? Mereka menjawab: Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya (hari tersebut) Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa. Lalu Baginda SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu, maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (HR al-Bukhari, no.hadith 4368)

Persoalannya, mengapa orang Yahudi di Madinah berpuasa, juga orang Quraisy semasa jahiliyah berpuasa, bahkan Nabi SAW sendiri semasa berada di Mekah, baginda juga berpuasa?

Berdasarkan kepada penelitian terhadap hadith yang menyebutkan bahawa orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura tersebut, apabila Nabi SAW bertanyakan hal tersebut kepada orang Yahudi, mereka menjadikan hari tersebut sebagai memperingati kisah Nabi Musa AS bersama dengan Bani Israil yang diselamatkan oleh Allah SWT.

Ada juga riwayat yang menyebutkan bahawa pada 10 Muharam, Nabi Musa AS bersama kaumnya Bani Israil dikejar oleh Firaun yang zalim berserta tenteranya sehinggalah Allah menyelamatkan mereka dengan terbelahnya Laut Merah melalui mukjizat Nabi Musa AS sehingga mereka mampu menyeberangnya bagi menyelamatkan diri daripada kezaliman Firaun ketika itu. Peristiwa ini juga menyaksikan tenggelamnya Firaun di dalam Laut Merah bersama kesombongannya.

Oleh sebab itu, Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari ada menyebutkan bahawa antara hikmah (Hari Arafah lebih mulia berbanding Hari Asyura) ialah kerana hari Asyura itu disandarkan kepada Nabi Musa AS, sedangkan hari Arafah pula disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW (disebabkan wuquf di Arafah). (Ibn Hajar, Fath al-Bari, 4/249).

Walaupun mereka, yakni Bani Israil, mengetahui dengan jelas dan faham dengan situasi yang pernah mereka hadapi serta berada dalam pelbagai ujian kepayahan, semuanya tidak memberi “bekas” dalam hati mereka untuk taat kepada Allah SWT. Bahkan, mereka tidak pun mengambil pengajaran daripada ujian kepayahan dalam bentuk wabak tersebut melainkan mereka terus ingkar dan takabbur dengan apa yang mereka miliki sekalipun telah diselamatkan oleh Allah SWT. Berkaitan perkara ini turut dijelaskan dalam firman Allah SWT, surah al-A`raf, ayat 133 yang bermaksud: “(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong, takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.”

Memandangkan pada 10 Muharam tahun 1443H ini kita masih berada dalam suasana pandemik COVID-19 dan belum pun menampakkan kejayaan bagi menangani wabak ini, kita perlu yakin dan pasti bahawa pada suatu ketika nanti pasti wabak pandemik ini akan berakhir. Namun, kita sebagai umat Islam boleh mengambil pengajaran daripada kisah Nabi Musa dan Bani Israil tersebut, di mana jangan sesekali membelakangi Allah SWT dalam apa juga yang kita lakukan. Bahkan, kita sewajarnya bersikap reda dan menerima dengan sewajarnya ujian yang Allah SWT timpakan kepada kita pada masa kini.

Memandangkan ketika ini kita berada dalam bulan Muharam, mengambil pengajaran daripada kemenangan Nabi Musa AS dan Bani Israil dari Firaun tersebut, kita sepatutnya menggunakan peluang hari dan bulan ini untuk berdoa dan memperbanyakkan ibadat kepada Allah SWT agar turut diberikan kemenangan dan dibebaskan daripada wabak pandemik COVID-19 ini juga. Sekali pun kita masih berada dalam suasana wabak, kita perlu memohon kepada Allah SWT agar segera diangkat wabak ini dari negara kita dan seluruh dunia, serta segera memberikan keselamatan dan mengembalikan kesihatan kepada kita semua.

Jadi, tunggu apa lagi, kesempatan tersebut jelas ada di hadapan kita. Gunakanlah peluang dan kesempatan dalam bulan Muharam ini, khususnya pada hari ke-10 Muharam, sebagai salah satu cara dan ikhtiar kita untuk memohon kepada Allah agar mendapat kemenangan dalam mengawal penularan wabak COVID-19 ini.

Para petugas barisan hadapan dari kalangan doktor, pegawai perubatan, seluruh staf kesihatan, pihak keselamatan, termasuklah anggota RELA dan sukarelawan, telah pun bertungkus-lumus selama hampir dua tahun menghadapi pandemik ini. Jadi, kita sebagai anggota masyarakat silalah gunakan kesempatan yang ada untuk sama-sama membantu dengan kuasa doa dan pengharapan kepada Allah SWT. Ayuh, marilah sama-sama kita menyahut peluang dan kesempatan ini agar doa dan munajat kita didengar oleh Allah SWT.

Akhir sekali, marilah kita belajar dengan kata-kata Nabi Musa AS dalam peristiwa hari Asyura yang mana baginda istiqamah dalam perjuangan dakwah sehingga kemudian diberikan kemenangan oleh Allah SWT. Bahkan Allah SWT sendiri mengungkapkan ia sebagai “kemenangan Allah” iaitu apabila hadir setelah kita bertahan dan bersabar semampu yang mungkin.

Firman Allah SWT dalam surah Yusuf, ayat 10 yang bermaksud: “Hingga apabila Rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka.”

Penulisan ini telah pun diterbitkan di BebasNews.com (Ed.)