Siapa sangka empat wanita menawan ini merupakan penyelidik kejuruteraan muda yang sedang menempa nama dalam bidang masing-masing?

Dr. Hanee Farzana Hizaddin merupakan pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Kimia, dan bidang penyelidikannya merekabentuk pelarut kimia bakal memberi impak yang besar di dalam industri. “Kumpulan penyelidikan kami telah merekabentuk pelbagai pelarut bagi menyisih bendasing di dalam larutan kimia.
Keupayaan ini akan membantu industri kelapa sawit contohnya, menghasilkan proses penulenan yang lebih menjimatkan dan berdaya saing,” kata alumni Universiti Malaya ini, yang ijazah kedoktorannya diselia oleh penerima Merdeka Award 2015, Prof. Emeritus Dr. Ir. Mohd. Ali Hashim.
“Untuk tahun 2023, kami akan fokus kepada rekabentuk pelarut karbon dioksida, kerana ingin menyahut cabaran COP26 dan COP27 yang mensasarkan penurunan peningkatan suhu global di bawah 2 darjah Celsius,” katanya yang pernah bercita-cita menjadi seorang guru ini.

Dr. Siti Nurmaya Musa, yang pernah bercita-cita untuk menjadi pemandu pelancong semasa kecil, merupakan pensyarah dan penyelidik di dalam bidang pengurusan operasi dan prestasi pengeluaran.
“Penyelidikan saya tidak mengkhususkan kepada mana-mana industri, tetapi buat masa ini saya dan rakan-rakan penyelidik di Universiti Malaya sedang membangunkan pusat penyelidikan industri aeroangkasa bagi menyokong hasrat kerajaan di dalam agenda RMK-12,” katanya yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur ini.
Mantan Ketua, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan UM ini juga merupakan antara penerima beberapa geran penyelidikan antarabangsa, dan yang terkini ialah geran Horizon 2020 daripada Kesatuan Eropah. “Saya dan rakan-rakan penyelidik bakal menghabiskan masa selama 6 bulan di Poland kelak bagi menimba pengalaman terbaik dalam membangunkan penyelidikan berkaitan aeroangkasa,” kata alumni University of Wisconsin ini.

Sama seperti Nurmaya, Dr. Nurin Wahidah Mohd. Zulkifli juga merupakan pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan UM, namun pengkhususan penyelidikannya adalah di dalam pembangunan pelincir enjin, terutamanya menggunakan sumber boleh baharu.
“Permintaan industri dan pengguna untuk pilihan yang lebih mesra alam semakin tinggi, apabila pemahaman mengenai kelestarian alam sekitar semakin diterima. Selain pembangunan enjin kenderaan yang lebih ‘hijau’, penyelidikan untuk membangunkan pelincir enjin yang ‘hijau’ juga semakin rancak.
Saya sangat positif yang Malaysia bakal menjadi salah seorang pemain industri yang penting dalam usaha negara memenuhi komitmen yang dimeterai, baik semasa COP26 dan COP27, mahu pun inisiatif SDG di bawah PBB,” kata anak jati Kodiang, Kedah ini, yang pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pemain bola sepak pada satu masa dahulu.

Berasal dari Kuala Lumpur, Ir. Dr. Khairunnisa Hasikin merupakan pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan UM. Bidang penyelidikannya agak meluas, terutamanya yang melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI). “Dari analisis isyarat fisiologi tubuh bagi membantu proses diagnosis penyakit, sehinggalah meramal kadar pencemaran alam sekitar menggunakan penderia yang dibangunkan sendiri, kesemuanya boleh saya proses bagi mendapatkan maklumat baharu yang bermanfaat.
Ramai orang gerun memikirkan yang komputer mungkin akan menggantikan manusia pada masa akan datang, terutamanya apabila melihat keupayaan AI pada masa ini. Kehadiran ChatGPT baru-baru ini juga tidak membantu dalam mengurangkan perasaan ini. Namun sebagai penyelidik, saya dan pasukan saya yakin yang kita perlu sama-sama meneroka manfaat yang ditawarkan oleh AI bagi membantu tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini,” kata ibu kepada dua anak ini.
Walaupun mempunyai latar belakang pendidikan dan pengkhususan penyelidikan yang berbeza, namun setiap daripada wanita hebat ini sentiasa inginkan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka di Fakulti Kejuruteraan.
“Kepada semua pelajar kami: Selamat menghadapi peperiksaan semester 1, sesi 2022/2023.
Jangan gagal kalau tak nak tengok muka kami lagi!” ucap mereka serentak, bersama deraian tawa yang memecah kesunyian studio kami petang itu.

📸 Photos by Mohd. Fazli Zainordin for CCC (2023).