15 February 2025

Reformasi pengagihan subsidi haji

Featured

Bila dia ‘halal’

Oleh: Prof. Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin Vape atau...

Menyantuni mereka di pinggir ibu kota

Pada 29 Disember 2024, Seramai 40 orang pelajar dari...

Beyond these walls

By Dr Noralina Omar It was raining that afternoon. The...

For our future

By: Lee Wai Guan, Dr. Mohd Istajib Mokhtar Imagine a...

Permata Kinabalu perkasakan mereka

Oleh: Muhammad Taftazany Abd Rahman Dalam era globalisasi yang pesat...

Share

Oleh: Dr Mohd Zaidi Md Zabri dan Dr Mohamed Hadi Abdul Hamid

Isu subsidi haji kelolaan Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan polemik yang sering diwacanakan saban tahun. Bahkan polemik ini semakin mendapat perhatian setelah TH terpaksa menaikkan bayaran haji bagi tahun 2022 kepada RM10,980 bagi kumpulan B40 dan RM12,980 bagi kumpulan M40. Namun begitu, kita perlu menelusuri konteks lantas mengekalkan sudut pandang objektif dalam menilai isu kos, subsidi dan bayaran haji.

Sebagai perbandingan, kos haji sedekad lalu (2013) ialah sebanyak RM15,555. Manakala bayaran haji bagi setiap jemaah ialah RM9,980 (untuk rekod, bayaran haji ini kekal lebih sedekad atau 14 tahun sebelum dirasionalisasikan pada 2022). Justeru, Tanggungan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) atau subsidi haji bagi setiap jemaah bagi 2013 ialah sebanyak RM5,575 atau 35.84% daripada kos sebenar.

Meskipun begitu, menurut Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, kos haji bagi tahun 2023 dijangkakan mencecah RM31,000. Dengan mengandaikan pengekalan aturan bayaran haji 2022 untuk tahun ini (RM10,980 bagi kumpulan B40 dan RM12,980 bagi kumpulan M40), tanggungan TH bakal meningkat masing-masing kepada RM20,020 dan RM18,020. Secara statistiknya, kos haji pada 2023 telah pun meningkat hampir 100% berbanding sedasawarsa lalu (RM15,555 pada 2013 dan RM31,000 pada 2023).

Malahan data inflasi rasmi masing-masing dari Bank Pusat Saudi (SAMA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan arah aliran yang hampir sama: kadar inflasi yang meningkat seusai memasuki fasa endemik. Justeru, sekiranya kita bersikap realistik dan menentuluarkan (extrapolate) data kos haji dan inflasi, maka tidak hairanlah kos haji akan terus meningkat bagi musim haji mendatang.

Memaknai erti istito’ah

Para pendeposit TH yang ingin ke tanah suci akan mendaftarkan hajinya dengan simpanan minimum RM1,300 dengan tempoh menunggu giliran haji yang kini sudah pun melebihi 130 tahun. Kendatipun begitu, apabila kita menyingkapi isu subsidi, terdapat satu ‘kejanggalan’ atau anomali yang dikesan dan sehingga kini masih tidak mempunyai kata putus.

Kejanggalan yang timbul ialah apabila tiba giliran haji seseorang bakal haji, beliau akan ditawarkan ke tanah suci dengan dua pilihan berikut: harga subsidi atau harga penuh. Makanya, tidak hairanlah rata-rata bakal haji bakal memilih harga subsidi. Di sinilah berlaku kejanggalan pertama kerana bakal haji sepatutnya membayar harga penuh dan bukannya harga subsidi. Ini kerana syarat wajib haji ialah berkemampuan atau istito’ah. Malahan, lebih janggal lagi apabila bakal haji yang mendapat gilirannya tahun ini, dibenarkan untuk menunaikan haji dengan harga subsidi, sedangkan terdapatnya bakal haji lain yang berkemampuan untuk membayar dengan harga penuh, namun tidak dapat menunaikan haji pada tahun tersebut dan perlu menunggu tahun-tahun berikutnya.

Meskipun terdapat mekanisme rayuan haji yang dilaksanakan oleh TH, namun bakal haji yang merayu hanya dapat menunaikan haji sekiranya kuota asal ‘dilepaskan’ oleh bakal haji yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun tersebut. Sedangkan mereka yang berkemampuan untuk membayar harga penuh bagi pakej haji tahun semasa sepatutnya dibenarkan untuk menunaikan haji dan tidak perlu tertakluk kepada giliran tahun mendaftar.

Dalam erti kata lain, perlu ada satu iltizam bagi pihak-pihak berautoriti untuk mengeluarkan satu ketetapan (atau semoleknya fatwa) untuk mengutamakan bakal haji yang mampu mengerjakan haji dengan bayaran penuh walaupun terkemudian dari segi giliran berbanding bakal haji yang telah mendapat panggilan haji dari TH tetapi hanya mampu ke tanah suci melalui bantuan subsidi TH. Maka pihak TH wajib mengutamakan golongan pertama untuk menunaikan haji berbanding golongan kedua.

Sekiranya dilanjutkan sedikit perbahasan ini, dari segi hukumnya, apakah dibenarkan untuk TH mendahulukan orang yang belum berkemampuan menunaikan haji untuk menunaikan haji melainkan hanya setelah dibantu dengan subsidi TH? Makna kata, jemaah yang naik haji dengan subsidi TH telah ‘mengambil hak’ bakal haji yang sememangnya sudah cukup belanja (istito’ah) untuk ke tanah suci tahun ini tetapi terpaksa memberi laluan kepada jemaah haji ‘bersubsidi.’

Sekiranya kita faham mengenai hakikat tuntutan istito’ah ini, maka istilah canggung ‘jemaah haji B40’ tidak sepatutnya timbul sama sekali. Ini kerana dari segi hukum syaraknya, pendeposit B40 tidak diwajibkan pergi haji sekiranya deposit mereka masih belum mencukupi untuk mengerjakan haji tanpa subsidi.

Rasionalisasi subsidi haji

Oleh yang demikian, TH dicadangkan agar merombak sistem subsidi haji ini dengan memberi keutamaan atau prioriti kepada bakal haji yang benar-benar mampu.
Meskipun begitu, perkara di atas perlu dilaksanakan dengan peratusan atau kuota tertentu tanpa meminggirkan sepenuhnya jemaah haji yang masih memerlukan subsidi. Langkah prioriti ini misalnya boleh diatur gerakkan untuk dalam jangka masa pendek dan sederhana (sebagai contoh: 5 hingga 10 tahun).

Dalam tempoh lima tahun pertama misalnya, TH memberikan laluan penuh kepada bakal haji yang mampu membayar kos haji tanpa subsidi. Logiknya, seusai lima tahun, golongan prioriti ini sudah semakin berkurangan dan pada ketika itu, TH bolehlah memberi tumpuan dan fokus kepada bakal haji yang kurang berkemampuan. Manakala bagi lima tahun seterusnya, TH boleh mengutamakan jemaah dari kumpulan B40 dan M40 yang mampu membayar pakej haji yang hampir meliputi kos haji secara keseluruhan.

Sebagai contoh, TH memberikan keutamaan seterusnya kepada jemaah yang mampu membayar sehingga 80% sehingga 90% daripada kos haji. Penjimatan subsidi ini kemudiannya membolehkan TH untuk melaksanakan mekanisme subsidi bersasar kepada jemaah yang kurang mampu.

Untuk rekod, melalui program subsidi bersasar mengikut kumpulan B40 dan M40 pada tahun 2022 sahaja, TH telah berjaya menjimatkan subsidi sebanyak RM112 juta berbanding tahun 2019 (RM298 juta). Subsidi TH dalam tempoh lima tahun ini juga akan berkurangan dengan drastik iaitu sekitar RM200 juta (RM186 juta bagi tahun 2022).

Justeru, lebihan tunai yang ada sepanjang tempoh lima tahun itu bolehlah diagihkan melalui pulangan hibah yang lebih tinggi untuk bakal haji yang belum menunaikan haji.

Dr Mohd Zaidi Md Zabri merupakan pensyarah kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. Dr Mohamed Hadi Abdul Hamid merupakan pengamal industri kewangan Islam dan Felo Elit di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.