21 September 2024

Hijrah memperkasa literasi ilmu dan media

Featured

Reducing the impact of landslides

By Dr Mohd Talha Anees Almost half of Peninsular Malaysia...

Mengukur kemiskinan asnaf dengan tanda aras multidimensi

Oleh: Dr. Muhammad Nooraiman Zailani Isu kemiskinan amat sukar untuk...

Let’s go for smarter healthcare to stop heart attacks

By Assoc. Prof. Dr. Khor Sook Mei Heart attacks remain...

The treasure in non-coding RNAs

By Assoc. Prof. Dr. Lim Yat Yuen For decades, scientists...

He is the epitome of a leader

By Mohammad Tariqur Rahman The leadership qualities of Prophet Muhammad...

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad

Tarikh 1 Muharam menjadi titik permulaan kepada pengiraan tahun dalam kalender Islam. Manakala, peristiwa hijrah Nabi SAW dalam umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah al-Munawarrah menjadi latar belakang peristiwa penting dalam sejarah Islam sebagai pemulaan kiraan tahun dalam kelendar tersebut. Kini, pada pertengahan tahun 2022, maka telah mencecah 1444 tahun daripada tahun pertama hijrah diasaskan. Walaupun, tarikh 1 Muharam bukanlah merupakan tarikh penghijrahan Nabi SAW atau tarikh tibanya Nabi SAW dan para Sahabat Muhajirin ke Kota Madinah, namun hasil perbincangan para sahabat yang diketuai oleh Khalifah Islam ketika itu, Saidina Umar bin al-Khattab, telah bersepakat meletakkan 1 Muharam sebagai permulaan bulan, dan tahun peristiwa Hijrah Nabi SAW sebagai tahun permulaan sekalipun tarikh sebenar Rasulullah SAW berhijrah bermula pada 27 Safar tahun 13 Kenabian dan tiba di Madinah (ketika itu Yathrib) pada pada 12 Rabiul Awwal tahun tersebut.

Walaupun pada hakikatnya, umat Islam senantiasa dekat dan hidup dengan ajaran yang Nabi SAW apabila segala ibadah yang diajarkan oleh Baginda SAW menjadi tujuan utama kehidupan dan matlamat yang perlu dicapai untuk bertemu dengan Allah SWT dan pesuruh-Nya, Nabi Muhammad SAW. Rentetan daripada jauhnya jarak antara umat Islam kini dengan Nabi SAW, maka pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi umat Islam kini sejajar dengan perkembangan teknologi digital sehingga hangat pelbagai isu dibincangkan dan diviralkan dengan pelbagai tujuan dan matlamat.

Antara isu penting kini adalah isu penghinaan terhadap Islam secara umumnya dan penghinaan terhadap Nabi SAW secara khususnya yang boleh dikatakan sering ditimbulkan bagi tujuan merendahkan Nabi SAW dan ajaran yang dibawa. Pelik tapi benar, realiti hari ini apabila orang Islam sendiri yang mengaku sebagai Muslim, mengaku menghafal al-Quran, mengaku belajar agama, mengaku tidak meninggalkan solat dan sebagainya lagi, tetapi pada masa yang sama menghina Nabi SAW, mempertikaikan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW, menghina ajaran Islam dan sebagainya lagi. Bagaimana perkara ini boleh datang daripada individu yang mengaku beragama Islam? Kes yang heboh dan viral sebelum ini adalah tentang pengakuan seorang wanita bernama Siti Amira Abdullah, dari Kuala Kangsar, Perak, yang mengaku sebagai orang Melayu, beragama Islam, menghafal 15 juzuk al-Quran, kemudian bertempat di Kelab Komedi Crackhouse, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, beliau telah menanggalkan tudung dan baju kurung sehingga yang tinggal adalah skirt pendek dan baju singlet. Rentetan itu pula seorang lelaki berumur 35 dari Pulai Chondong, Kelantan, dalam video dalam akaun Facebooknya, telah menghina orang Melayu Islam dan melemparkan kutukan kepada Nabi SAW. Beliau adalah seorang Islam dan mengakui sebagai seorang Muslim.

Tidak serik dengan hal tersebut sahaja, sepanjang tempoh pandemik sebelum ini, kita ada dihidangkan dengan dakwaan seorang wanita yang menggunakan nama “Sittar An Nur” Ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) telah mendakwa mendapat mimpi terakhir yang diturunkan kepada dirikan untuk panduan umat manusia. Bahkan, beliau menyatakan bahawa dirinya ada keistimewaan kerana mampu meramalkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan seperti akan berlaku berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh. (Mstar, 27 September 2021). Demikian juga, dalam tempoh yang sama, timbul ajaran Agama Melayu atau Islam Melayu yang dibawa oleh Ibu Yati. Beliau mendakwa bahawa Islam yang ada pada masa kini adalah Islam Arab, yang bukan Islam sebenar. Lalu dalam ucapan syahadah turut ditambah ungkapan Melayu berkenaan. Bahkan, jika lihat kepada kemunculan ajaran sesat yang dipelopori oleh orang Islam sendiri juga telah banyak berlalu sebelum ini seperti Tuhan Harun, Nabi Umat Melayu, Kerajaan Langit, Kabinet Bayangan dan banyak lagi. Apa yang menghairankan adalah segala dakwaan dan ajaran sesat berkenaan datangnya daripada orang Islam sendiri.

Rentetan daripada itu juga, dalam dunia maya hari ini, lahir pula dari kalangan content creator yang menyediakan pelbagai bahan untuk tatapan netizen melalui media sosial hari ini seperti youtube, facebook, intagram, tiktok dan sebagainya. Perkara yang menjadi isu pada hari ini adalah sebahagian daripada content creator khusnya dari kalangan Muslim, seolah-olah telah hilang nilai “Islam” dalam diri mereka. Manakan tidak, apabila ada yang membuat content (kandungan) dengan menarik secara rambang tudung atau jilbab yang dipakai oleh wanita tanpa sebarang rasa bersalah.

Tidak kurang juga ada yang menggadaikan maruah diri tanpa segala silu di media sosial untuk mendedahkan aurat, berjoget secara live dan sebagainya lagi. Bahkan ada yang menggunakan medium maya ini untuk menghina orang lain, menipu orang, memandang rendah, mencaci dan sebagainya lagi. Persoalannya, adakah kita pada hari ini telah kembali ke zaman jahiliah? Di manakah nilai Islam yang sepatutnya bertapak secara mendalam dan dihayati dengan sebenar-benarnya. Dalam erti kata, setiap daripada kita yang bergelar Muslim senantiasa ada batasnya dan sentiasa menjaga diri daripada sebarang perkara yang merosakkan dan menjatuhkan diri sendiri. Bahkan, jauh sekali untuk menghina Islam, menghina Allah dan Rasul-Nya kerana Islam yang kita ada dalam diri ini sepatutnya telah mampu untuk menjaga dan memelihara diri kita.

Justeru, segala isu yang timbul dalam masyarakat kita pada hari ini, secara peribadi adalah disebabkan oleh akal yang tidak dipandu dengan pimpinan wahyu atau bahasa lain adalah disebabkan kekurangan ilmu pengetahuan agama yang sebenar. Tidak dinafikan bahawa, realiti pada hari ini ada “ustaz segera” yang bermaharajalela mengeluarkan fatwa dan pandangan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Tidak kurang juga turut membentuk “group” yang berideologikan dengan ideologi yang dibawa oleh orang yang dikatakan sebagai ahli agama atau ustaz itu. Wujud pula unsur label melabel antara pengikut dengan guru dan kumpulan yang tidak sealiran pemikiran dan tidak sependapat.

Rata-rata kita boleh katakan bahawa punca dan titik utama adalah disebabkan kurangnya literasi ilmu agama yang sebenar dalam kalangan anggota masyarakat pada hari ini. Boleh jadi juga, wujud pelbagai literatur agama, tetapi tidak berbekas ke dalam diri penuntut ilmu disebabkan tidak fokus kepada proses menimba ilmu, atau disebabkan mendahulukan “populariti” yang didukung oleh “followers” yang ramai berbanding dengan berusaha untuk mendalami ilmu agama secara khususnya dengan lebih mendalam. Bahkan, bukan hanya dibaca, tetapi perlu kepada proses berguru daripada guru yang mursyid, bukan bergantung kepada pandangan akal semata-mata. Termasuk juga dalam konteks literasi media pada hari ini, sewajarnya juga diperkukuhkan dalam setiap individu Muslim.

Literasi media adalah merujuk kepada keupayaan individu dalam mengakses, memahami, menganalisis dan menilai sesuatu kandungan mesej atau maklumat yang diperoleh daripada media serta kematangannya dalam mengendalikan platform daripada media tersebut. Dalam erti kata bahawa, seseorang itu mempunyai pengetahuan yang dapat menilai dan menentukan status berita atau maklumat (ilmu) yang diperoleh itu sama ada benar atau tidak dan sama ada boleh disebarkan ataupun tidak. Pengetahuan dan kemampuan ini akan menjadikan semua berita atau maklumat (ilmu) telah diproses dan dinilai dengan baik berdasarkan kepada keupayaan dan kematangan daripada individu tersebut.

Saranan ini, sangat sesuai apabila kita berada pada awal Muharam tahun baharu ini, bagi kita semua, sebagai seorang Muslim untuk menghayati segala pengorbanan daripada Nabi SAW dan para Sahabat yang berhijrah meninggalkan segala-galanya demi untuk meletakkan “tapak yang kukuh” untuk perkembangan Islam. Pelbagai cabaran dan rintang yang terpaksa dihadapi kerana Islam itu semata-mata. Sedangkan kita, khususnya di Malaysia hari ini, rata-ratanya orang Melayu yang telah Islam sejak lahir, tidak perlu berperang, tidak perlu berhijrah meninggalkan harta dan keluarga, tidak perlu menggadaikan apa-apa untuk mendapatkan Islam tersebut. Hijrah kita adalah lebih kepada hijrah dalam membentuk keperibadian Muslim yang sebenar, yang bukan pada nama semata-mata, tetapi hijrah bagi meningkatkan kualiti seorang Muslim yang benar-benar Islamnya. Ia tidak lain melainkan untuk memastikan segala isu-isu penghinaan terhadap agama, penghinaan terhadap Allah dan Nabi SAW, segala ajaran sesat dan menyeleweng dapat dibersihkan dan dipelihara kesucian agama Islam itu dengan sebaik-baiknya. Kalau bukan kita sebagai Muslim, siapa lagi yang akan memastikan kesucian tersebut. Titik tolak kepada usaha ini adalah bermula dengan niat yang ikhlas kerana Allah untuk hijrah tersebut. Oleh sebab itu, dalam hadith Nabi SAW ketika menjelaskan tentang segala amalan seorang hamba itu bergantung kepada niat, maka dikaitkan dengan niat dalam berhijrah, sama ada kerana Allah dan Rasul-Nya atau kerana habuan dunia dan wanita yang ingin dikahwini.

Daripada Amirul Mukminin Umar Al-Khattab RA katanya: ” Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehnya atau kerana seorang wanita yang ingin ia dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang dia hijrah kerananya.” (HR Al-Bukhari, no.hadith 1)

Oleh itu, letakkan azam dan tekad pada tahun ini untuk memastikan bahawa agama dan umat Islam terus terpelihara dengan memperkayakan diri dengan ilmu pengetahuan agama yang sebenar serta mempunyai sikap untuk terus berjuang mempertahankan nilai agama dan sanggup berhijrah kerana agama yang dipertahankan semata-mata mengharapkan rahmat Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 218, yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Salam Maal Hijrah 1444H.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di khadher82@um.edu.my