4 December 2024

Hijrah titik tolak keluar dari pandemik

Featured

Beyond the blessing

By Dr Cherish How As the Year of the Dragon...

Elak terperangkap dengan cinta ekspres

Oleh: Dr. Norsafatul Aznin binti A. Razak Dalam era moden...

Memperkasa mereka

Kesihatan mental remaja adalah salah satu aspek yang penting...

Algorithms of abuse

By Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid Human trafficking is the...

Getting them on

By Ts Elman Mustafa El Bakri As 2024 draws to...

Share

Muharram adalah bulan pertama dalam dua belas bulan kalendar Hijrah yang diusulkan oleh Saidina ‘Umar al-Khattab pada zaman pemerintahannya. Permulaan tahun hijrah pada bulan Muharram, mendorong ramai yang beranggapan bahawa hijrah Nabi SAW turut berlaku pada 1hb Muharram.

Realitinya, hijrah Nabi SAW bukanlah berlaku pada bulan Muharram, sebaliknya pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan di dalam Kitab al-Rahiq al-Makhtum bahawa Nabi SAW meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke-14 daripada kenabiannya; bersamaan 12 atau 13 September 622M. Baginda SAW bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, bermula malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda bersama Saidina Abu Bakr al-Siddiq beredar meninggalkan gua dipandu jalan oleh Abdullah bin Uraiqith. Baginda SAW tiba di Quba’ pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama penghijrahan berlaku, bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda SAW berada di Quba’ selama empat hari, bermula Isnin sehingga Khamis. Pada Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda SAW tiba di Madinah.

Walaupun hijrah Rasul SAW tidak berlaku pada bulan Muharram, tetapi peristiwa hijrah adalah yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh dan tahun Hijrah, senada dengan ungkapan Saidina ‘Umar al-Khattab yang masyhur, “Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh”.

Saidina ‘Umar, dan disokong kuat Saidina ‘Uthman dan Saidina ‘Ali selanjutnya mencadangkan tahun Hijrah dimulakan dengan bulan Muharram; atas asbab ia dikategorikan sebagai bulan haram iaitu bulan yang dihormati oleh masyarakat Arab, dan sekaligus diharamkan berperang dan bulan kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadat haji.

Sementelah pula, berdasarkan Kitab Fathul Bari, Syarah Sahih Bukhari dan Kitab Manaqib al-Ansar, pemilihan bulan Muharram ini dilihat sebagai teras permulaan keazaman untuk berhijrah, bermula daripada termeterainya perjanjian Aqabah pada bulan Zulhijjah sebagai pemangkin berlakunya hijrah.

Sorotan sirah tersebut bukan sekadar mengingati tarikh 1 Muharam dalam kalendar Islam setiap tahun sebagai sambutan peristiwa hijrah. Tetapi, hijrah yang terbaik adalah perubahan daripada apa jua aspek negatif dan batil, kepada yang lebih positif dan hak, dalam setiap aspek kehidupan.

Istilah Hijrah

Maksud hijrah umumnya membawa maksud meninggalkan atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain yang lebih baik. Hijrah turut mengungkapkan pengertian yang memperlihatkan satu bentuk perpindahan dari negara bukan Islam ke negara Islam yang bermatlamat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT; perpindahan dari negara yang banyak berlakunya fitnah dan mudarat ke negara yang lebih selamat dan aman.

Bahkan, pemaknaan hijrah dalam konteks yang lebih luas dijitukan sebagai perubahan akhlak yang buruk kepada akhlak yang baik sehingga menatijahkan keperibadian yang mulia.

Tuntasnya, hijrah adalah proses menuju keindahan dan kemuliaan, berjuang kepada kebenaran, semangat untuk mengubah cara berfikir dan meningkatkan akhlak, meninggalkan segala sifat yang negatif dan meninggalkan keburukan dan bersegera melakukan perkara yang mulia dan positif.

Justeru, hijrah atau transformasi ini adalah satu proses yang memerlukan masa dan menuntut pengorbanan yang membuahkan kejayaan. Untuk mencapai natijah sedemikian memerlukan beberapa elemen utama yang perlu dihayati dan diamalkan untuk memangkinkan kejayaan hijrah.

Kejayaan Hijrah

Azam dan tekad untuk berhijrah memerlukan elemen kekuatan secara mental dan fizikal. Sehubungan itu, kesediaan untuk berubah merupakan elemen utama yang membuahkan kejayaan. Seseorang yang ingin berhijrah sewajarnya memiliki keazamaan dan kesediaan yang tinggi untuk berubah.

Kesediaan ini tidak mungkin terbina melainkan dengan penguasaan ilmu pengetahuan yang jitu, selain tekad yang padu dan usaha bersungguh-sungguh beserta niat yang ikhlas yang berupaya membangkitkan motivasi ke arah kemajuan dan kecemerlangan.

Perubahan ke arah kebaikan seumpama itu, wajar bermula daripada diri individu Muslim senada dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (al-Ra’d, ayat 11).

Sejarah membuktikan bahawa sesuatu bangsa dan masyarakat yang berjaya sentiasa bersedia dengan perubahan dan penghijrahan, namun tetap mengekalkan jati diri dan budaya bangsa. Sehubungan dengan itu, penyegaran dinamika Muslim-Mukmin melalui proses transformasi manusiawi yang memberikan jiwa dan citra baru kepada diri; seperangkat nilai-nilai dinamik yang terpancar daripada ajaran Islam bersendikan nilai ilmu akidah, syariah dan akhlak dan nilai ilmu yang dijelmakan menerusi keintelektualan Islam itu menatijahkan Muslim-Mukmin berjiwa merdeka yang sujud, ruku’ dan setia mutlaknya hanya kepada Allah, memiliki kemuliaan status dan martabat keinsanannya, dan menjadi khayr ummah kerana imannya dan akhlak mulianya.

Sementelah pula, dalam situasi pandemik COVID-19; kewajaran perubahan diri secara mental, spiritual dan fizikal amat dituntut agar fenomena ini segera terurai.

Bertitik tolak daripada kerencaman ilmu dan intelek tersebut, sifat sabar dan reda amat dituntut bagi menatijahkan kejayaan hijrah diri setiap Muslim khususnya. Sifat sabar dan reda adalah tunjang kepada proses hijrah. Setiap Muslim dan Mukmin sewajarnya meneguhkan sifat sabar dan reda dalam dalam berhadapan segala ujian dan musibah yang menimpa negara dan dunia.

Perasaan negatif seperti lemah semangat, berdukacita, berputus asa, bersedih secara berlebihan, apatah lagi menyalahkan takdir perlu disingkirkan daripada minda dan sebaliknya kita wajar sentiasa bersikap positif dan saling berusaha mengikuti segala bentuk peraturan dan langkah bagi membendung COVID-19 dan sekaligus nyahkannya segera daripada negara.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu bersungguh-sungguh dalam perkara yang memberi manfaat kepadamu, mohonlah pertolongan daripada Allah SWT dan jangan kamu berasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, janganlah pula kamu mengungkapkan: kalau aku berbuat itu dan ini, nescaya jadi begini. Sebaliknya ucapkanlah: itu adalah ketentuan Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi. Sebenarnya perkataan ‘kalau’ itu membuka pintu kepada perbuatan syaitan.” (Riwayat Muslim)

Kita juga sedia maklum bahawa masyarakat dunia sedang berdepan ujian yang sama iaitu penularan wabak COVID-19. Beberapa langkah dilaksanakan kerajaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), SOP pengkebumian jenazah, SOP peribadatan di masjid dan surau, rawatan dan kuarantin bagi individu yang terlibat.

Perihal tersebut selaras dengan Hadith Nabi SAW “Wabak taun adalah kotoran yang dikirimkan Allah SWT kepada sebahagian Bani Israil dan juga masyarakat sebelum kalian. Jika kalian mendengar ada wabak taun di suatu negeri, janganlah kalian memasuki negeri tersebut. Namun, apabila wabak taun itu tersebar di negeri kalian, janganlah kalian keluar dari negeri kalian menghindari dari penyakit itu.” (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim).

Menurut Ibnu Qayyim, tindakan Nabi SAW melarang umatnya memasuki ke daerah wabak adalah satu bentuk pencegahan yang dianjurkan oleh Allah SWT; antara lainnya mencegah diri agar tidak terkena dengan wabak yang menular. Larangan keluar daripada lokasi wabak juga mengandungi hikmahnya yang tersendiri dan antaranya; menggalakkan pergantungan dan bertawakal kepada Allah melalui usaha menjauhi tempat wabak, tabah dan reda menghadapi segala ketentuanNya; mendapatkan keselamatan yang merupakan keperluan kehidupan dunia dan akhirat; tidak hampiri pesakit sehingga boleh mengakibatkan jatuh sakit dan penyebar penyakit kepada individu dan ahli keluarga yang lain dan galakan kawalan dan kebersihan diri.

Ujian dan hikmah

Kita sedia maklum bahawa sepanjang tempoh pandemik ini, kesabaran umat Islam diuji dengan pelbagai cabaran seperti kesakitan, hilang punca pendapatan, krisis dan keganasan rumahtangga, bunuh diri dan sebagainya.

Namun, sebagai Mukmin hendaklah sentiasa bersabar dan berdoa kepada Allah SWT untuk memohon perlindungan, mempertingkatkan keimanan dan diberi kekuatan mengharungi ujian yang menimpa.

Selanjutnya, dikukuhkan dengan sifat reda yang memberi maksud agar sentiasa berlapang hati dan dada ketika menerima ketentuan Allah SWT dan bersangka baik terhadap segala aturanNya, walaupun bertentangan dengan keinginan diri sendiri.

Bagi individu yang beriman, segala keputusan yang ditetapkan oleh Allah SWT dianggap sebagai ketetapan yang paling sempurna.

Individu Muslim dan Mukmin yang bersikap positif; tidak akan bersikap keluh kesah dan bersangka buruk terhadap ujian yang menimpa. Sebaliknya, melihat ujian itu dengan penuh hikmah dan menganggapnya sebagai rahmat dan petunjuk daripada Allah SWT dalam meneruskan kehidupan.

Muslim dan Mukmin perlu sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan dan anugerah kejayaan dalam kehidupan dan sama sekali tidak membuahkan perasaan riak dan ‘ujub tetapi memperkukuhkan lagi keyakinan dan pegangan ajaran. Begitulah sebaliknya, Muslim dan Mukmin yang berjaya ini terus bersyukur dan berlapang dada menerima segala ujian dan musibah dalam kehidupan dan sedikit pun tidak berputus asa dan tidak berasa kecewa sehingga mengheret mereka dalam kalangan individu yang tidak bersyukur.

Sifat syukur inilah yang paling utama dan mulia dalam berdepan dengan segala ujian Allah kerana terus yakin bahawa ada hikmah di sebalik segala derita dan terus berkeyakinan pastinya ada cahaya di hujung terowong, pastinya ada pelangi selepas hujan.

Ini bererti, sekalipun sambutan awal Muharram sekali lagi tidak disambut sepertimana kelazimannya dan seolahnya kelihatan suram; hakikatnya kemeriahan Muharram adalah penghayatan, pemahaman dan pelaksanaan tuntutan hijrah yang sebenar sempena1443 Hijrah ini.

Setiap peristiwa yang berlaku adalah dengan kehendak dan keizinan Allah SWT. Semoga dengan apa yang berlaku hari ini dapat mentransformasi diri kita agar berhijrah kepada kehidupan lebih baik, perlu bersedia untuk melakukan perubahan dalam kehidupan sekiranya tekad keluar daripada kemelut yang berlaku dan mempastikan sentiasa berada dalam lingkungan rahmat serta keredaan Allah SWT.

Berusahalah mematuhi segala peraturan, bersegera mendapatkan vaksin dan sentiasa patuh melaksanakan kehidupan dalam norma baharu yang telah ditetapkan. Ini merupakan antara penghijrahan yang dituntut daripada kita semua ketika ini bagi memastikan rantaian virus ini dapat diputuskan. Kita tidak boleh lagi mementingkan diri, sebaliknya menggembeling tenaga dan kekuatan yang tersisa akibat pandemik dalam usaha kembali kepada kehidupan yang lebih normal, baik dan lebih segar.

Para kepimpinan tertinggi negara wajar berkorban dan tidak mementingkan diri sehingga pihak kerajaan dilihat lemah dan tidak dapat memberikan tumpuan kepada usaha mensejahterakan rakyat.

Penghijrahan sikap, minda dan berani mencuba apa jua bentuk bidang dan perkara baharu merupakan satu-satunya cara untuk membaiki kehidupan dalam suasana yang cukup mencabar ketika ini. Semua perubahan, penyesuaian dan penghijrahan itu adalah untuk kebaikan bersama.

Hijrah itu mempunyai nikmat yang cukup besar terutama untuk kita kembali bangkit daripada pelbagai kemelut dan cabaran yang dihadapi. Muharram kembali menongkahi arus dan terus bangkit memutuskan rantaian virus dengan keazaman yang tinggi. Momentum ini yang wajar terus hidup dan segar dalam minda dan sikap kita dalam mendepani mehnah COVID-19 di permulaan tahun Hijrah 1443 ini.

Selamat menyambut Maal Hijrah.

Penulisan ini telah dihantar untuk pertimbangan penerbitan di Utusan Malaysia (Ed.)