Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Tanggal 19 November akan menyaksikan satu proses pemilihan pemimpin yang mewakili rakyat sama ada dalam peringkat parlimen dan juga dewan undangan negeri (DUN). Pemilihan dalam tempoh lima tahun sekali ini menyaksikan munculnya 1001 parti politik dan calon bebas sama ada yang bergabung dalam kumpulan yang berbentuk pakatan, barisan malah ada individu yang bergerak secara sendirian. Senario ini menambah warna warni pesta PRU15.
Pertarungan sengit pelbagai penjuru dilihat menambah kerancakan PRU kali ini. Setiap pihak menawarkan calon-calon yang didakwa mempunyai kualiti yang baik dan berintegriti, malahan tiap kumpulan mempunyai pendokong dan penyokong yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat, sama ada golongan agamawan, profesional dan berbagai latar belakang.
Namun, budaya memaki hamun, menfitnah, mencari aib musuh, serangan fizikal, janji manis dan dakwaan palsu menjadi senjata kepada sesetengah kalangan dalam kempen yang dijalankan. Tidak kurang juga isu perkauman turut dimanipulasi untuk meraih sokongan. Lebih parah lagi, terdapat pihak yang mengeksploitasi sentimen agama hingga mempromosikan budaya “takfir” terhadap pihak lawan. Hal ini menimbulkan kerunsingan dan kekeliruan dalam kalangan, khususnya pengundi muda yang pertama kali mengundi. Sedangkan proses pemilihan ini adalah sebahagian daripada ijtihad politik, dan terbuka kepada benar dan salah.
Jika ditoleh ke belakang, PRU14 telah meninggalkan sejarah hitam dengan pelbagai peristiwa ekoran ketidakstabilan kerajaan yang berkuasa. Tindakan melompat parti secara beramai-ramai dan pembentukan pakatan sementara untuk membentuk kerajaan telah menyaksikan berlakunya peralihan kepada tiga perdana menteri dalam satu penggal. Lebih malang lagi, ketidakstabilan ini turut mempengaruhi sektor ekonomi negara.
Lantaran itu, dalam proses pemilihan yang bakal dilakukan, terdapat beberapa kriteria penilaian boleh dipertimbangkan di samping instrumen maqasid syariah (objektif Syariah) dapat diaplikasikan. Dalam instrumen maqasid Syariah, terdapat tiga peringkat keutamaan, iaitu ada daruriyat (keperluan asas), hajiyat (keperluan biasa) dan tahsiniyat (kehendak).
Dalam peringkat keperluan asas (daruri), terdapat lima keperluan utama yang perlu diambilkira dalam penilaian yang akan dilakukan, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Keperluan yang pertama adalah memelihara agama. Bagi memelihara agama, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan perlu dipertahankan dan agama-agama lain boleh dipraktikkan dengan damai dan harmoni. Selari dengan itu, bagi menjaga agama, pemilihan calon dan parti perlu dibuat terhadap mereka yang dapat menjaga kesucian agama, terutamanya Islam, mampu mewujudkan keharmonian beragama dengan agama lain.
Dalam konteks masyarakat majmuk, keharmonian hidup bersama dalam kepelbagaian kaum dan agama ini merupakan nadi utama kehidupan. Sebaliknya, calon dan parti yang mempergunakan agama, menyerang kesucian agama dan menimbulkan kegelisahan beragama perlu ditolak.
Keperluan yang kedua adalah memelihara nyawa. Bagi menjaga nyawa, jaminan keselamatan nyawa dan mengelak kehilangan nyawa rakyat perlu menjadi pertimbangan dalam pemilihan calon dan parti. Ini kerana situasi yang tidak aman seperti peperangan, konflik, pertumpahan darah, perubahan iklim serta serangan penyakit merbahaya boleh menyebabkan kekacauan dan ketidak tenteraman dalam kalangan masyarakat. Dengan itu, pemilihan perlu dibuat terhadap calon dan parti yang dapat menjaga keselamatan nyawa rakyat, keamanan dan kestabilan sosial. Di samping itu, isu sekuriti makanan, kesihatan awam dan jangkitan penyakit, kesihatan mental perlu dititikberatkan oleh pihak yang berkenaan. Ini kerana apabila pandemik berlaku, ramai yang menjadi korban sama ada dalam bentuk serangan virus, kekurangan bekalan makanan dan bunuh diri akibat tekanan. Justeru itu, calon dan parti yang hendak dipilih perlu cakna isu yang melibatkan nyawa rakyat. Sebaliknya, calon dan parti yang tidak prihatin dan tidak menghulurkan bantuan wajar ditolak.
Keperluan yang ketiga adalah memelihara akal. Bagi menjaga akal, ia perlu dipelihara dari perkara yang boleh melemahkan dan merosakkan akal. Penjagaan ini melibatkan pengambilan makanan berkhasiat dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Dengan itu, perkara yang merosakkan akal seperti minuman berbahaya, dadah dan hiburan yang merosakkan akal perlu dihindarkan. Bagi memelihara akal, pemilihan calon dan parti perlu dibuat terhadap mereka yang mementingkan penjagaan akal. Seperti jaminan makanan yang berkhasiat, dan memperkasakan sistem pendidikan peringkat rendah, menengah dan tinggi. Terdapat ramai pihak yang terkesan akibat pandemik, terutamanya golongan pelajar. Ramai yang tercicir dan ketinggalan. Keadaan ini sangat membimbangkan. Sebaliknya, calon dan parti yang tidak menawarkan pakej penjagaan akal wajar ditolak.
Keperluan asas yang keempat adalah memelihara keturunan. Ia penting bagi membentuk rakyat yang sihat, mempunyai keturunan yang sah dan mempertahankan institusi keluarga. Di samping itu, kebajikan golongan warga tua, ibu tunggal dan kanak-kanak perlu dilindungi. Apabila rosak keturunan disebabkan perbuatan zina, liwat, lesbian, gay, biseksual dan seumpamanya, ia akan merosakkan keutuhan institusi keluarga dan struktur sosial menjadi kacau bilau. Dengan itu, bagi menjaga keturunan, calon atau parti yang menyokong kepada seks luar nikah dan seks luar tabii perlu ditolak.
Keperluan asas yang kelima adalah memelihara harta. Bagi menjaga harta, ekonomi perlu diuruskan dengan baik, tanpa amalan rasuah dan pecah amanah, malah setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran dan keadilan ekonomi bersama. Setiap calon dan parti yang ingin dipilih perlu mempunyai pelan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 yang jelas, juga integriti dan ketelusan. Selain itu kebajikan rakyat perlu diutamakan dan mereka tidak dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi, inflasi dan kenaikan harga barang yang menjadi ancaman kepada survival rakyat.
Tegasnya, pemilihan pemimpin merupakan satu persoalan penting dalam Islam kerana ia melibatkan kepentingan dunia dan agama. Bahkan dalam Islam, ketika kita ingin bermusafir turut ditekankan tentang pentingnya pemilihan pemimpin. Dalam hadis baginda SAW: Jika ada tiga orang bermusafir, maka hendaklah mengangkat salah seorang untuk menjadi ketua (HR Abu Daud). Lebih-lebih lagi dalam urusan keduniaan yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara, kita perlu memilih pemimpin yang dapat menjadi suara dan mewakili kita dalam peringkat negeri dan parlimen.
Setiap kita bertanggungjawab melaksanakan amanah pemilihan pemimpin yang baik dan berintegriti. Pemilihan calon dan parti yang bertanding berada dalam ruang lingkup ijtihad fiqh, dengan membuat pertimbangan di antara maslahah dan mafsadah di samping menilai dari aspek maqasid Syariah. Justeru, pilihlah calon yang tepat dan janganlah sampai ke tahap mentakfirkan orang Islam yang lain disebabkan perbezaan dalam pemilihan calon dan parti.
Penulis merupakan Professor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di emel: mohdanuar@um.edu.my