Kami dekati dua rakan karib ini ketika sedang menunggu giliran untuk mengambil makanan di kafe Akademi Pengajian Islam, seminggu sebelum umat Islam mula berpuasa.
Mungkin kehadiran kami yang mengusung kamera ke sana ke mari, dan salah seorang daripada kami pula bermisai lebat seperti pelakon A. Galak, telah menimbulkan sedikit syak wasangka. Namun kekagetan mereka berdua apabila ditegur kami dilihat beransur hilang, apabila diterangkan tujuan keberadaan kami di situ.
Dan kami percaya sudah berjaya meyakinkan mereka apabila Izzati, yang berkaca mata dan lebih pendiam, mengukir senyuman dan bersetuju dengan permintaan kami untuk ditemubual dan diambil gambar.

“Terkejut juga tadi, sebab tak pernah orang tegur untuk ambil gambar kami sebelum ini,” kata Mumtaz Hayati Mohd. Kamarazali, pelajar Asasi Pengajian Islam ini memulakan perbualan.
“Tapi bila abang terangkan ini hanya untuk media sosial UM, dengan tujuan menggambarkan suasana kampus; kami setuju. Sebab kami datang ke UM ni untuk belajar, bukan nak kejar glamour!” terang anak kelahiran Bentong, Pahang ini lagi seraya tersenyum dan melihat ke arah Noor Izzati Izwana Suhaimin, di sebelahnya.
Walaupun Ramadan kali ini merupakan kali pertama keduanya menjalankan ibadat puasa berjauhan dari keluarga, namun tidak memberikan kesan yang besar kepada mereka.
Izzati, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah berkongsi yang perasaan sayu berjauhan dengan keluarga itu diatasi dengan kehadiran rakan-rakan sekuliah yang baik. “Lebih mengujakan adalah Ramadan kali ini, kami akan sibuk membuat persediaan untuk Maharat Lughawiyyah,” katanya
Serentak kami bertanya: “Apa tu?”
Sambil tersenyum, Hayati menerangkan yang Maharat Lughawiyyah atau Kemahiran Berbahasa Arab adalah salah satu subjek yang perlu diambil oleh kesemua pelajar Asasi Pengajian Islam. “Dan bermula minggu ke-9, serentak dengan minggu pertama bulan Ramadan, kami akan mengadakan pelbagai aktiviti di dalam bahasa Arab. Contohnya menghadiri seminar, menghias dan menjaga reruai, dan pertandingan debat,” katanya.
“Paling ditunggu,” celah Izzati, “ialah pertandingan ‘choral speaking’ antara kelas. Kerana akan dibuat sepenuhnya dalam Bahasa Arab!” katanya dengan penuh semangat.
Melihat kedua rakan karib ini yang begitu bersemangat menyambung perjalanan menuntut ilmu di peringkat yang lebih tinggi setelah menamatkan pengajian di sekolah, mengingatkan kami kepada salah satu nilai teras universiti, ‘Integriti’. Sikap ini bukan hanya hadir apabila kita melaksanakan sesuatu yang diamanahkan, malah akan terus subur apabila kita sama-sama melakukan tugas dengan penuh keseronokan, dan keyakinan ia bakal memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
“Boleh kami kongsi pesanan kepada warga kampus sempena Ramadan yang bakal menjelang?” tanya Hayati, tiba-tiba.
“Eh, tentulah boleh,” jawab kami.
“Kami ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam. Semoga amal ibadat kita ini diterima oleh Allah SWT, dan setiap hajat dikabulkanNya. Kami juga mendoakan semoga setiap daripada kita dapat menjadi insan yang lebih baik dan mampu membawa perubahan kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara,” ucap Hayati, sambil menoleh ke arah Izzati.
“Oh, saya pula nak beri pantun. Boleh, ya? Begini bunyinya:
Negeri Melayu adat terpandang
Syariat Islam jadi pegangan,
Kini Ramadan mulai menjelang
Salah dan khilaf mohon dimaafkan.”

📸 Gambar oleh Mohd. Fazli Zainordin @fazlizainor untuk CCC (2023). Art direction by Latimin Keman.