Oleh: Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh
Mencari rezeki adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia terutamanya apabila ada orang-orang yang mesti disara seperti anak-anak dan semua yang terletak di bawah tanggungan seseorang. Bagi seorang Muslim ianya bukan sekadar kewajipan mencari rezeki, bahkan sumber mendapatkannya juga mestilah daripada jalan yang halal. Perkara ini menjadi asas utama kerana setiap hasil yang didapati daripada apa jua sumber pendapatan akan menentukan keberkatan rezeki tersebut. Seterusnya, akan memberikan kesan yang sangat besar kepada keberkatan hidup secara keseluruhannya.
Manakala daripada perspektif Islam bolehlah kita memahaminya daripada mafhum hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan firman-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. ’Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?”. [Hadis Riwayat Muslim]
Apabila merujuk kepada maksud daripada hadis di atas, dapat difahami bahawa suasana-suasana itulah sebenarnya yang mampu mengundang keberkatan di dalam rezeki yang didapati. Perkara-perkara ini pula secara langsungnya amat bertepatan dengan suasana yang wujud dalam bulan Ramadan. Maka, keberkatan rezeki yang hendak dicapai itu memang telah wujud secara langsung dalam suasana seperti bulan Ramadan. Sehubungan itu juga, rezeki yang diperolehi dalam bulan Ramadan ini dianggap sebagai berkat kerana ianya bukan sahaja dari segi kuantiti yang banyak, bahkan berlipat ganda berbanding bukan lain.
Mungkin ada yang kurang bersetuju dengan peningkatan kos yang berlaku pada bulan Ramadan. Namun, pada masa yang sama kita melihat ianya sebagai rezeki yang melimpah ruah bagi sesetengah pihak khususnya para peniaga. Mungkin ada yang merujuk kepada rezeki pada bulan Ramadan dengan ungkapan ‘rezeki sebulan, boleh makan setahun’. Sekiranya ia adalah daripada sumber yang halal dan berlangsung pada bulan yang penuh keberkatan, maka tidak dapat dinafikan ianya adalah satu daripada tanda rezeki yang halal dan berkat.
Memanglah di luar kemampuan kita untuk menentukan rezeki yang berkat atau tidak berkat. Namun, perkara-perkara yang dinayatakan memberikan gambaran umum dan beberapa kriteria yang penting. Di samping beberapa tuntutan lain agar menambahkan lagi keberkatan rezeki. Antaranya yang paling penting ialah mengeluarkan zakat bila cukup syaratnya, perbanyakkan istighfar, menambahkan ketakwaan kepada Allah SWT melalui kebaikan-kebaikan yang dilakukan dan banyakkan bersedekah. Malah, amalan bersedekah juga menambahkan rezeki. Bersedekah juga tidak sekali-kali mengurangkan harta. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Harta tidak berkurang kerana bersedekah”. [Hadis Riwayat Muslim]
Tegasnya, sebagai seorang Muslim kita meyakini bahawa rezeki adalah milik Allah SWT. Dialah yang akan mengurniakan kepada kita rezeki mengikut kehendakNya. Dalam konteks ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”. [Surah Saba’, ayat 39]

Penulis merupakan Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan.