Oleh: Nur Nadhirah Mustaffa dan Prof. Madya Dr. Hasmahzaiti Omar
Beruang matahari atau nama saintifiknya, Helarctos malayanus merupakan spesies beruang yang tinggal di kawasan hutan tropika di benua Asia Tenggara. Memiliki ketinggian sekitar 110-140 sentimeter dan berat 27-70 kilogram, spesies ini merupakan beruang terkecil di dunia. Beruang ini merupakan antara salah satu spesies mamalia besar yang paling kurang mendapat perhatian di benua Asia Tenggara. Oleh hal yang demikian, tidak hairan kurang maklumat disebarkan mengenai kewujudan haiwan unik ini.
Kini malangnya, haiwan ini dikategorikan sebagai ‘vulnerable’ di dalam IUCN Red List yang bermaksud mempunyai risiko yang tinggi untuk pupus dan populasinya juga semakin berkurangan antara 30% hingga 50% dalam tempoh 30 tahun. Haiwan omnivor ini gemar memakan buah-buahan, akar-akar kayu, serangga, mamalia kecil dan burung.
Beruang matahari juga digelar sebagai beruang madu oleh penduduk tempatan kerana sikapnya yang gemar menikmati madu lebah menggunakan lidahnya yang panjang. Jangka hayat beruang matahari tidak dapat direkodkan dengan tepat. Namun begitu, berdasarkan anggaran dari kajian yang pernah dijalankan jangka hayat haiwan ini sekitar 10 tahun di persekitaran semulajadi. Jangka hayat beruang matahari di dalam kurungan pula boleh mencecah sehingga 36 tahun. Satu kelebihan beruang matahari iaitu ia merupakan haiwan bijak dan mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi.
Populasi beruang matahari semakin berkurangan hari demi hari kerana tindakan manusia yang mementingkan diri sendiri. Di Malaysia, mamalia ini kehilangan habitat akibat daripada pembukaan hutan secara berleluasa yang menyebabkan fragmentasi berlaku. Pada zaman sekarang, semakin banyak hutan ditebang untuk tujuan penanaman kelapa sawit menyebabkan banyak haiwan kehilangan habitat asal.
Selain itu, pembalakan haram dan kebakaran hutan juga menjadi ancaman kepada beruang matahari untuk mengekalkan kemandirian spesies. Mamalia besar ini juga kehilangan sumber makanan dan tempat tinggal. Terdapat kes di mana beruang matahari sesat dan memasuki kawasan petempatan manusia untuk mencari makanan. Hal ini menyebabkan penduduk berasa tidak selamat, malah keadaan menjadi lebih buruk apabila mereka memilih untuk membunuh beruang yang mengganggu kawasan mereka berbanding menghubungi pihak berkuasa untuk menangkapnya. Beruang yang bersifat agresif ini juga dibunuh oleh pengusaha ladang untuk mengelakkan tanaman mereka rosak akibat dimakan oleh haiwan tersebut. Pernah juga dilaporkan beruang matahari terbunuh akibat dilanggar oleh kenderaan di jalan raya.
Selain itu, populasi beruang matahari juga semakin terancam kerana pemburuan haram. Beruang ini diburu untuk tujuan mendapatkan hempedu dan tapak kakinya. Di negara Cina contohnya, pengamal perubatan tradisional percaya bahawa hempedu beruang mampu menyembuhkan penyakit jantung. Hal ini menyebabkan permintaan dan harga hempedu beruang mendapat permintaan tinggi. Namun, kesahihan mengenai perkara ini masih belum terbukti. Keadaan menjadi lebih tragis apabila beruang yang dibela adalah bertujuan mendapatkan organ dalaman untuk dijual di pasaran gelap. Selain itu, tapak kaki beruang pula dijadikan makanan eksotik oleh penduduk dari beberapa buah negara.
Lebih mengejutkan lagi, terdapat manusia yang menjadikan anak beruang sebagai haiwan peliharaan sehingga sanggup membunuh ibunya. Apabila anak beruang mula membesar, barulah pemilik sedar akan bahaya yang menanti dan menyebabkan beruang dikurung dalam sangkar yang tidak bersesuaian. Apabila dikurung di dalam kurungan yang tidak bersesuaian, mereka akan berasa mengalami tekanan kerana ruang yang sempit dan tidak dapat melakukan aktiviti liar seperti memanjat dan memburu makanan. Kajian yang dijalankan oleh Dr. Siti Sarayati Abdul Mawah, iaitu pensyarah dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah merekodkan bahawa beruang matahari yang dibela di dalam kurungan menunjukkan tahap stres yang lebih tinggi berbanding beruang liar.
Berdasarkan ancaman-ancaman yang dihadapi oleh beruang matahari, tidak hairanlah mengapa spesies ini dikategorikan sebagai kumpulan haiwan terancam. Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengawal populasi haiwan ini daripada pupus adalah dengan memberi sumbangan kepakaran dalam bidang penyelidikan kepada Pusat Konservasi Beruang Matahari agar program konservasi haiwan liar ini terus beroperasi dengan baik. Selain itu, sebagai manusia yang mempunyai sifat perikemanusiaan, kita hendaklah membanteras dengan tidak menyokong pengambilan dan penggunaan organ haiwan liar serta tidak memeliharanya sebagai haiwan peliharaan. Kita sebagai masyarakat perlulah melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui tentang aktiviti yang mencurigakan ini.
Sepertimana yang kita ketahui, terdapat beberapa haiwan liar seperti harimau belang, tenggiling, ungka, seladang dan lain-lain kini dikategorikan spesies terancam dan pelbagai usaha kian aktif dilakukan untuk memastikan populasi mereka terus dipelihara dan dipulihara. Usaha untuk mengekalkan populasi beruang matahari masih berada di tahap yang rendah dan seakan-akan tidak dipedulikan oleh masyarakat.
Adakah kemungkinan beruang matahari bakal melalui situasi yang sama berlaku pada badak sumbu Sumatera?
Kesimpulannya, ‘tepuk dada tanyalah selera’. Semua usaha adalah tanggungjawab bersama demi menjaga peninggalan khazanah untuk generasi di masa hadapan.
Penulis adalah dari Program Ekologi Biodiversiti, Insititut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di zaiti_1978@um.edu.my