4 December 2023

Jihad halal di republik Gangnam Style

Featured

It’s never too late to have braces!

By: Dr. Yasmin Kamarudin, Assoc. Prof. Dr. Saritha Sivarajan Let’s...

It’s not okay for your gum to bleed

Pay attention to the signals your body is telling you. It is not okay to have gum bleeding every now and then. Make that visit to the dentist, so they will examine you and provide the necessary treatment to control your gum bleeding problem.

Will there ever be the next Oxfords, Harvards?

Every nation has their own strength and limitations from socio-economic and geo-political background. Like in any other sectors, advancing strategies for universities should then also be based on their own strength rather than following what others are doing elsewhere.

Bersolidaritilah, walau di mana kita berada

Serangan Israel ke atas Palestin merupakan tragedi kemanusiaan yang...

Be on the lookout for your teeth during festive and holiday seasons

By: Assoc. Prof. Dr. Nor Azlida Mohd. Nor Malaysia’s festive...

Share

Oleh: Dr. Zalina Zakaria

Kemunculan drama ‘Winter Sonata’ dan ‘Autum in My Heart’ pada sekitar tahun-tahun 2002 dan 2003 telah membuka satu ruang yang besar kepada peminat-peminat drama dan filem Korea di seluruh dunia. Tidak habis dengan drama dan filem, gegaran dari muzik k-pop pula menggegarkan peminat-peminat dari seluruh pelosok tanah air sehingga gerak tarinya menjadi ikutan kanak-kanak yang masih di bangku sekolah, malah siulan anak-anak muda, sehinggalah ke yang dewasa.

Menurut Setiausaha Agong Pusat ASEAN-Korea, TYT Lee Hyuk, walaupun negaranya bukanlah negara yang mempunyai jumlah penduduk beragama Islam yang ramai, namun republik ini telah menjadi destinasi pilihan bagi pengunjung-pengunjung Muslim dari seluruh dunia, termasuklah dari Malaysia. Untuk 2017, dilaporkan hampir sejuta pengunjung Muslim telah melancong ke Korea. Dari lebih 300 ribu jumlah keseluruhan pengunjung Malaysia, 60 peratus daripadanya adalah pengunjung Muslim.

Walaupun kelihatan industri perfileman dan muzik Korea seolah-olah telah berjaya menjajah pemikiran generasi muda kita, namun boleh dikatakan perkara ini turut mempunyai impak sebaliknya yang bermanfaat kepada negara. Susulan dari kunjungan demi kunjungan pelancong Muslim ke Korea, termasuklah dari Malaysia, senario ini telah mencetuskan sebuah industri baru yang diceburi oleh kedua-dua negara. Pertumbuhan industri halal dan aktiviti-aktiviti berkaitan mula kelihatan rancak dengan sokongan pelbagai pihak. Kerajaan Korea contohnya, telah memberikan insentif untuk menyemarak pertumbuhan restoran yang mesra golongan Muslim. Hasilnya, kini terdapat lebih 250 buah restoran berdaftar yang menyediakan produk halal di seluruh Korea.

Potensi di Korea

Potensi industri halal bukan sahaja dirasai oleh pemain industri bidang makanan dan minuman di Korea, namun juga turut melibatkan kerjasama penyelidikan halal dari beberapa institusi pengajian tinggi di sana. Selaras dengan reputasi dan pengiktirafan Malaysia sebagai pelopor hab halal global, pelbagai bentuk kerjasama telah dimeterai untuk manfaat kedua belah pihak. Menjadi misi para penyelidik di Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC) untuk menjalin kerjasama penyelidikan dengan pelbagai pihak berkepentingan di seluruh dunia, termasuklah di Korea. Pusat penyelidikan yang ditubuhkan pada 2014 ini menerima kerjasama kepakaran dari penyelidik Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), dan merupakan salah sebuah institusi pengasas Konsortium Institut Halal Malaysia yang ditubuhkan pada 2017. Tiga lagi institusi yang terlibat adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Universiti Putra Malaysia(UPM). UMHRC juga merupakan merupakan salah sebuah badan latihan halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menggunakan modul latihan yang disediakan oleh Majlis Profesional Halal.

Wakil dari UMHRC telah dijemput oleh beberapa organisasi di Korea dalam menjalinkan kerjasama bidang industri halal. Organisasi yang terlibat termasuklah ‘International Halal Certification’ (IHC) Korea, yang beribu pejabat di Seoul. Jemputan IHC yang diterima baru-baru ini adalah di bawah kapasiti tenaga pakar dalam berkongsi pengalaman bagi menjayakan Seminar Kesedaran Halal yang diadakan buat julung kalinya. Dr. Zalina Zakaria, Pengarah UMHRC, dan Dr. Saa’dan Man, felo penyelidik UMHRC, telah meluangkan masa berkongsi pengalaman dan ilmu bersama peserta seminar. Mereka menerangkan mengenai kepentingan pemahaman konsep halal dari sudut keperluan syariah, dan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap pemain industri, dari pengeluar hinggalah kepada agensi pemantauan, dan akhirnya kepada pengguna.

Selain organisasi berkaitan pensijilan dan industri halal, institusi pengajian tinggi Korea juga menunjukkan minat untuk menjalankan kerjasama strategik bersama UMHRC. Universiti Chosun, yang terletak di daerah Gwangju di bahagian barat daya Korea, telah memeterai persefahaman bagi program pertukaran pelajar, dan pembelajaran berkaitan kursus halal. Bandarnya yang terletak hampir 300km ke selatan Seoul ini merupakan bandar kelima terbesar di Korea. UMHRC turut mengambil peluang lawatan ke Gwangju ini untuk menyertai persidangan tahunan anjuran ‘Korean Association of Islamic Studies’ (KAIS) 2018, yang kebetulan diadakan di Universiti Chosun pada edisi kali ini. Menariknya, para peserta persidangan adalah terdiri daripada mereka yang berkepakaran dalam pelbagai bidang pengajian Islam dan fasih berbahasa Arab, biar pun tidak beragama Islam.

Sebuah lagi institusi pengajian tinggi Korea, Busan University of Foreign Affairs, melalui Institut Pengajian Mediterraneannya pula berminat dengan proses persijilan halal. Bandar Busan yang terletak di tenggara Korea merupakan bandar kedua terbesar selepas Seoul. Permeteraian persefahaman di antara kedua-dua universiti ini bakal melihat lebih banyak pertukaran bermanfaat yang bakal menambah baik industri halal sedunia untuk jangka masa panjang.

Masa depan

Kerjasama yang sedang, dan bakal, dijalin dengan pelbagai pihak di Korea telah memberikan satu ruang yang sangat unik kepada penyelidik Malaysia bagi memahami kehidupan masyarakat Korea. Peluang keemasan ini tidak seharusnya dilepaskan untuk kita fahami keinginan mereka menyantuni keperluan golongan Muslim menerusi kepatuhan syariah berkaitan penyediaan dan pengurusan industri pemakanan. Terlalu banyak manfaat, baik dari aspek keuntungan pelaburan perniagaan, mahu pun pembinaan modal insan, yang boleh dituai hasil daripada kolaborasi yang dirancang.

Pernyataan minat dari pelbagai pihak Korea ini adalah tidak memeranjatkan setelah mereka diberi pendedahan mengenai definisi industri halal, kerana pelbagai aspek berkaitan, seperti keselamatan, kebersihan, dan kualiti dalam segenap aspek pengurusan industri juga merupakan parameter yang dititik beratkan dalam budaya Korea itu sendiri. Ramai pengkaji berpendapat perubahan drastik yang dilalui Korea setelah tamatnya Dinasti Joseon di penghujung kurun ke-19 berkait rapat dengan disiplin rakyatnya yang mengagungkan integriti, disiplin, dan kualiti dalam setiap aspek kehidupan. Pendedahan konsep halal yang Islamik dan inklusif kepada masyarakat Korea akan hanya membuka lebih banyak peluang interaksi di antara mereka dengan negara-negara lain yang majoriti rakyatnya beragama Islam.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, UM, dan Pengarah, Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC).