Sekumpulan 30 orang pelajar jurusan Pengurusan Sukan dari Pusat Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM) telah meluangkan masa di beberapa lokasi pelancongan sukan di Pulau Langkawi, Kedah, baru-baru ini.
“Walaupun Pulau Langkawi sudah sedia dikenali sebagai antara tarikan pelancong utama di negara kita, namun masih banyak lagi aspek pelancongan sukan yang boleh diteroka oleh pengunjung dari dalam dan luar negara,” kata Dr. Teo Eng Wah, pensyarah kanan di Pusat Sukan dan Sains Eksesais, UM yang juga merupakan penasihat program.
Antara lainnya, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai sistem pengurusan yang diguna pakai oleh pemain industri pelancongan yang berkaitan sukan dan rekreasi di Langkawi. “Pemilihan Pulau Langkawi sebagai lokasi rujukan untuk kursus kami ini adalah sangat bertepatan, kerana terdapatnya sumber tarikan semula jadi yang banyak, dan boleh diolah sebagai produk pelancongan berbentuk sukan dan rekreasi. Dengan pulau-pulau kecilnya yang dikatakan berjumlah sebanyak 99 buah di sekeliling Langkawi, panorama pantainya dan alam semulajadinya yang indah, dan penduduknya yang mesra, telah membantu menyiapkan sebuah struktur sokongan yang sangat kuat untuk industri pelancongan di sini,” kata Mohammad Syawal Mior, salah seorang peserta program.
Para peserta telah dibawa ke sebuah gimnasium Muay Thai kepunyaan seorang jurulatih rakyat tempatan di Pantai Cenang, dan menghabiskan masa mendalami aspek pengurusan dan pemasaran gimnasium. “Ini adalah kali pertama saya mengunjungi sebuah gimnasium Muay Thai, dan mencuba sebuah sesi latihan. Tidak sangka ia amat menyeronokkan! Saya pasti, dengan komitmen dan teknik pengurusan yang betul, sesebuah produk rekreasi seperti gimnasium ini mampu memberikan impak sosioekonomi yang mampan kepada komuniti di sekelilingnya,” kata Jasmine Lai Pui Yee, pelajar jurusan Pengurusan Sukan yang menjadi peserta program.
Mereka turut mengunjungi Pulau Payar, yang terletak lebih kurang 30km dari Pulau Langkawi, dan melakukan aktiviti-aktiviti rekreasi air yang disediakan, seperti berenang, kayak, dan ‘snorkel’. “Untuk saya, peluang untuk ‘snorkel’ bersama rakan-rakan di Pulau Payar ini merupakan kemuncak pengalaman saya di program ini. Airnya yang bersih, dengan pemandangan bawah laut yang berwarna-warni, amat mengujakan saya dan rakan-rakan. Jelas sekali, Pulau Langkawi mempunyai kelebihan tersendiri dalam penawaran produk pelancongan sukan, terutamanya yang berasaskan aktiviti air,” kata Mohammad Syawal lagi.
Menariknya, para peserta turut diminta melakukan beberapa tugasan akademik untuk disiapkan semasa program berlangsung. “Mereka diminta untuk mengatur temubual bersama penduduk tempatan, pegawai dari agensi berkaitan, dan lain-lain pemegang taruh yang berkaitan bagi tujuan pengumpulan data. Data ini kemudiannya akan dianalisis dan digunakan sebagai sebahagian dari aspek penilaian untuk kerja kursus mereka,” kata Dr. Teo lagi mengakhiri temubual.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Nur Nadirah Azmi di erazellite@gmail.com