7 September 2026

Kecurian

Featured

Sacrifices

Who cares for the caregivers? By Dr. Sharmila Thinagar At 6.30...

Pengganti

Apabila jawapan semakin mudah, apa lagi yang perlu dipelajari? Oleh...

Equitable

When everyone has a voice, who gets heard? By Asrul...

Questions

What happens when too few people say no? By Assoc....

Working together

The advantage we never put on our resume By Ts....

Share

Teknologi maju, adab semakin layu?

Oleh Laili Marlina Khaidir

Peluang mengajar di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT), merangkumi universiti awam (IPTA), swasta (IPTS), sehinggalah ke luar negara, memberi saya satu perspektif luas tentang dinamika generasi muda. Namun, di sebalik kemajuan teknologi dan kecerdasan akademik hari ini, ada satu trend membimbangkan yang saban hari semakin membarah: merosotnya adab kesusilaan pelajar terhadap pensyarah.

Jika di bangku sekolah, tingkah laku pelajar mungkin masih terkawal dek penangan rotan atau ketegasan guru disiplin. Namun, sebaik melangkah ke menara gading, “kebebasan” yang dinikmati nampaknya disalahertikan. Tiada lagi mata yang memantau, lalu kompas moral mula pincang. Adab asas seperti bersalam selepas tamat kuliah seolah-olah lenyap. Apakah ini sisa penjarakan fizikal era pandemik yang kemudiannya bertukar menjadi penjarakan adab? Malah, amalan memberi salam ketika berselisih di koridor juga semakin berkurang kerana masing-masing sibuk scrolling telefon pintar sehingga langsung tidak menyedari kehadiran pensyarah.

Namun, cabaran paling hebat sepanjang kerjaya saya adalah apabila bertugas di China. Sebelum ditugaskan di sini, saya sering diomokkan dengan cerita keberadaban tinggi pelajar negara Tembok Besar dalam menghormati guru. Namun, realiti yang saya lalui sendiri ternyata tidak seperti yang dijangka.

Salah satu penyakit paling parah dalam kalangan pelajar di sini adalah ketagihan melampau terhadap peranti. Pantang ada masa terluang terutamanya sebelum kelas bermula mahupun ketika waktu rehat, kebanyakan pelajar akan menghabiskan masa bermain mobile games di telefon bimbit dan komputer riba masing-masing. Keasyikan mereka melayan permainan video ini mewujudkan satu ‘dinding’ yang memisahkan mereka dengan dunia realiti. Untuk mengharapkan mereka berdiri dan memberi sapaan apabila pensyarah melangkah masuk ke kelas? Jauh panggang dari api. Masing-masing hanyut dalam dunia virtual.

Bayangkan, sehingga saya selesai melakukan segala persediaan perkakasan dan nota di hadapan kelas, mata mereka masih tertancap tegar pada skrin. Mereka langsung tidak sedar, atau buat-buat tidak sedar, kehadiran saya di hadapan. Teguran tegas terpaksa dilemparkan. Hanya selepas saya mengarah untuk meletakkan semua peranti, barulah kelihatan sedikit pergerakan lambat daripada mereka.

Apa yang menggusarkan adalah sikap tidak jujur yang menyusup masuk ke dalam ruang akademik. Ada sesetengah pelajar memberikan alasan klise: “Saya pegang telefon untuk rujuk nota syarahan.” Namun, apabila saya berjalan ke belakang dan menjengah ke skrin mereka, helah itu terbongkar. Di sebalik tab nota yang dibuka, jari-jemari mereka sebenarnya masih lincah meneruskan permainan video yang tertangguh.

Bukan itu sahaja, suasana di dalam kelas adakalanya bertukar bingit bukan kerana perbincangan ilmiah, tetapi kerana segelintir pelajar bersembang dengan suara yang amat kuat tentang permainan tersebut. Tindakan mementingkan diri ini akhirnya mengganggu konsentrasi pelajar lain yang benar-benar mahu menuntut ilmu dan mendengar syarahan.

Antara perkara yang paling mencabar untuk dihadam ialah sikap sebahagian pelajar terhadap kehadiran dan tanggungjawab akademik. โ€œDepresiโ€ dan tekanan mental seakan-akan telah menjadi alasan paling mudah untuk tidak hadir ke kelas, kadangkala hanya melalui satu mesej ringkas tanpa sebarang pengesahan daripada doktor, pakar psikiatri atau kaunselor bertauliah.

Kesihatan mental bukan isu remeh dan sememangnya wajar ditangani dengan penuh empati. Namun, empati tidak sepatutnya menjadi lesen untuk lari dari tanggungjawab. Pensyarah bukan tidak peduli, tetapi kami juga tidak boleh membiarkan istilah kesihatan mental dijadikan perisai untuk menutup sikap sambil lewa, ketidakjujuran dan kegagalan memikul amanah sebagai pelajar.

Lebih membimbangkan, budaya menghormati dan bertanggungjawab dilihat semakin terhakis dalam kalangan sebahagian pelajar. Apabila melakukan kesilapan atau hadir lewat ke kelas, ungkapan “maaf” seolah-olah terlalu sukar untuk dilafazkan. Mereka hanya berlalu begitu sahaja di hadapan kelas tanpa sebarang tanda penyesalan atau rasa bersalah terhadap perbuatan yang dilakukan. Jika ucapan maaf yang sekecil itu pun semakin sukar diungkapkan, apakah yang akan tinggal daripada nilai kemanusiaan dan adab apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat kelak?

Kepada para pelajar yang sedang menghitung hari dan bakal melangkah ke pusat pengajian tinggi dalam beberapa minggu lagi, jadikan realiti pahit ini sebagai satu sempadan. Ingatlah, gelaran ‘guru’ itu tidak pernah hilang atau berkurang nilainya apabila mereka bertukar status menjadi ‘pensyarah’ di universiti. Pensyarah juga manusia yang perlu dihormati dan disantuni, sama seperti mana anda menghormati cikgu-cikgu yang mendidik anda di sekolah dahulu. Universiti bukan sekadar tempat mengejar dekan atau mencetak segulung ijazah, tetapi medan melatih jiwa menjadi manusiawi.

Keberkatan ilmu itu mengalir melalui keredaan seorang pendidik. Tanpa adab, segulung ijazah kelas pertama sekalipun tidak akan mampu membeli seulas rasa hormat masyarakat. Oleh itu, bawalah adab dan kesusilaan ini ke mana-mana sahaja kaki anda melangkah, walaupun sehingga ke hujung dunia sekali pun. Jangan biarkan teknologi mencuri kemanusiaan kita, dan jangan biarkan kebebasan kampus meragut jati diri sebagai seorang penuntut ilmu.


Penulis merupakan Pensyarah Asasi (Fizik) di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan boleh dihubungi di laili.khaidir@um.edu.my

Previous article