8 September 2026

Kemanusiaan

Featured

Inheritance

The gifts they leave behind By Nahrizul Adib Kadri Every Sunday...

Dyslexia

The reading difficulty we may be missing By Dr. Faizanah...

Kemanusiaan

Mahasiswa UM perkasa komuniti Pulau Tidung, Indonesia Seramai 22 pelajar...

Browses

The joy of not looking By Ng Kwan Hoong On a...

Menyulami

Mahasiswa Universiti Malaya perkasa literasi kewangan pelajar SM Sains...

Share

Mahasiswa UM perkasa komuniti Pulau Tidung, Indonesia

Seramai 22 pelajar Universiti Malaya (UM) yang menyertai Misi Kemanusiaan Antarabangsa Indonesia 3.0 (MKAI 3.0) di bawah Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) berjaya mengukuhkan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi pelbagai aktiviti pendidikan, konservasi, kesihatan dan silang budaya di Pulau Tidung, Kepulauan Seribu, Jakarta dari 28 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Misi ini didahului dengan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebelum diteruskan dengan aktiviti di Pulau Tidung. Pemilihan Pulau Tidung sebagai lokasi MKAI 3.0 didorong oleh peranannya sebagai destinasi pelancongan yang menjadikan sektor pelancongan antara sumber ekonomi utama masyarakat setempat. Namun begitu, hasil tinjauan awal melalui Recce 1.0 yang dijalankan pada Disember 2025 mendapati komuniti Pulau Tidung berdepan beberapa cabaran yang berpotensi mengekang pembangunan sektor tersebut. Antara cabaran yang dikenal pasti ialah tahap literasi digital yang masih rendah, khususnya dalam penggunaan media sosial dan platform digital untuk mempromosikan tarikan pelancongan Pulau Tidung. Selain itu, penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan sebahagian masyarakat setempat juga masih terhad, sekali gus menyukarkan komunikasi dengan pelancong antarabangsa serta akses kepada peluang pembangunan diri. Cabaran-cabaran ini menjadi antara faktor utama pemilihan Pulau Tidung sebagai lokasi MKAI 3.0 bagi memperkasa komuniti setempat dan menyokong pembangunan pelancongan mampan.

Bagi menangani cabaran yang dikenal pasti serta memanfaatkan potensi Pulau Tidung sebagai destinasi pelancongan, MKAI 3.0 melaksanakan lima modul utama yang merangkumi aspek pembangunan komuniti, pendidikan, alam sekitar, kesihatan dan silang budaya, iaitu keusahawanan digital, pelancongan holistik, konservasi paya bakau, kesihatan awam serta gastronomi dan sukaneka warisan.

Modul keusahawanan digital memberi pendedahan kepada remaja di Pulau Tidung mengenai penggunaan aplikasi seperti Canva dan TikTok bagi mempromosikan produk serta perkhidmatan tempatan. Aspek pendidikan pula disokong melalui pengenalan asas bahasa Inggeris bagi membantu para pelajar berkomunikasi dengan pelancong yang berkunjung ke Pulau Tidung.

Modul pelancongan holistik pula memberi penekanan terhadap potensi sektor pelancongan di Pulau Tidung dengan mengambil kira aspek komuniti, alam sekitar dan pengalaman pelancong. Kedua-dua modul ini melibatkan pelajar daripada dua buah sekolah, iaitu SMKN 61 Jakarta dan SMPN 241 Jakarta. Dalam aspek konservasi pula, para sukarelawan bersama Pusat Budidaya dan Konservasi Laut (PBKL) melaksanakan penanaman pokok bakau di pesisir pantai Pulau Tidung Kecil serta mempelajari jenis dan kepentingan ekosistem paya bakau dalam memelihara kawasan pesisir.

Modul kesihatan awam pula menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, manakala modul gastronomi dan sukaneka warisan mengetengahkan interaksi masyarakat melalui makanan, permainan dan budaya tradisional kedua-dua negara.

Aspek silang budaya turut menjadi antara pengisian utama MKAI 3.0 menerusi aktiviti rewang bersama Pemberdayaan dan Kesejahteraan Keluarga (PKK) Kelurahan Pulau Tidung dalam menyediakan makanan tradisional Malaysia, iaitu char kuetiau dan nasi lemak untuk diagihkan kepada kira-kira 100 orang penduduk. Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan cita rasa Malaysia kepada masyarakat setempat, malah mewujudkan ruang interaksi dan kerjasama secara langsung antara sukarelawan UM dan komuniti Pulau Tidung.

Malam Kebudayaan pula menampilkan persembahan Tarian Zapin, Tarian Cina serta Tarian Etnik Borneo Sabah dan Sarawak oleh pasukan MKAI 3.0, di samping dua persembahan tarian tradisional daripada pihak Pulau Tidung. Pertukaran persembahan ini menjadi simbol persaudaraan serumpun yang meraikan kepelbagaian budaya serta persamaan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia.

Pengarah MKAI 3.0, Muhammad Amirul bin Nasrul Edie, 22, pelajar Sarjana Muda Kewangan dari Kuala Lumpur, berkata pengalaman melaksanakan misi di kawasan luar bandar membuka mata sukarelawan terhadap jurang akses pendidikan dan teknologi.

โ€œKami melihat sendiri perbezaan kemudahan antara masyarakat bandar dan luar bandar. Pengalaman ini menyemarakkan semangat kami untuk terus membantu dalam memastikan tiada golongan yang tercicir, di samping memelihara kelestarian alam dan budaya tempatan,โ€ katanya.

Sementara itu, Nur Iman Qistina binti Adzni, 20, pelajar Sarjana Muda Mikrobiologi dan Genetik Molekul dari Selangor, menyifatkan misi ini sebagai pengalaman yang membuka mata serta meningkatkan rasa syukur terhadap kemudahan pendidikan dan teknologi yang dinikmatinya.

โ€œSaya berharap aktiviti yang dilaksanakan dapat membantu masyarakat Pulau Tidung dalam membangunkan potensi ekonomi pelancongan mereka kerana kawasan ini mempunyai keindahan semula jadi dan komuniti yang sangat mesra,โ€ katanya.

Manakala Mohd Haziq Aqil bin Hass, 21, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Sosial dari Sarawak, berkata penglibatannya dalam pelbagai aktiviti kesukarelawan di negeri Sarawak sebelum ini memberi pengalaman yang berbeza apabila menyertai MKAI 3.0.

โ€œSaya memang aktif dalam aktiviti kesukarelawan di Sarawak, namun pengalaman MKAI 3.0 amat berbeza kerana kali ini saya berpeluang membantu masyarakat di negara jiran serta berinteraksi secara lebih dekat dengan budaya dan komuniti Pulau Tidung. Walaupun terdapat sedikit perbezaan bahasa dan budaya, ia bukan penghalang untuk kami saling memahami dan bekerjasama,โ€ katanya.

Sementara itu, Iman Balkis binti Mohd Yaakob, 21, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, yang sebelum ini turut menyertai MKAI 2.0, berkata pengalaman tersebut mendorongnya untuk kembali menyertai misi yang sama.

โ€œSelepas menyertai MKAI 2.0, saya ingin merasai pengalaman ini sekali lagi. Alhamdulillah, sepanjang berada di Pulau Tidung bersama ahli kumpulan yang bersungguh-sungguh, prihatin dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, saya sekali lagi berasa bersyukur dan gembira setelah berjaya menyelesaikan misi ini. Tidak dilupakan juga sokongan luar biasa daripada pihak HEP yang banyak membantu menjayakan misi kami. MKAI 3.0 sememangnya sebuah pengalaman yang sangat bermakna dan akan saya ingat sampai bila-bila,โ€ katanya.

Persiapan MKAI 3.0 telah bermula sejak November 2025 menerusi pelbagai usaha pengumpulan dana termasuk aktiviti jualan dan penganjuran Festival MKAI 3.0 bagi memastikan kelancaran pelaksanaan misi.

Secara keseluruhannya, MKAI 3.0 berjaya mencapai objektifnya dalam membantu komuniti Pulau Tidung, menjalin hubungan baik serta memberi ruang kepada sukarelawan untuk memahami budaya dan kehidupan masyarakat setempat. Misi ini turut memupuk nilai kesukarelawanan, empati, keprihatinan dan semangat saling membantu, sekali gus memperkukuh ikatan persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia.


Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) merupakan penganjur program ini dan boleh dihubungi di sukarelawan@um.edu.my untuk maklumat lanjut.

Previous article