Oleh: Prof Madya Dr Nosizana Mohd Salleh, Prof Madya Dr Nor Azlida Mohd Nor
Populasi warga emas di Malaysia terus meningkat dan kumpulan ini berisiko untuk mendapat pelbagai masalah kesihatan termasuk kesihatan pergigian disebabkan perubahan fisiologi dalam proses penuaan serta amalan gaya hidup. Dalam aspek kesihatan mulut, warga emas berisiko untuk kehilangan gigi akibat masalah gusi dan kerosakan gigi. Masalah kehilangan gigi di kalangan warga emas membawa kepada penggunaan gigi palsu. Terdapat dua jenis gigi palsu; i) gigi palsu penuh untuk mengganti semua gigi yang hilang, ii) gigi palsu separa untuk menggantikan beberapa gigi yang hilang, samada di rahang atas atau di rahang bawah mahupun kedua-duanya sekali. Bahan yang digunakan bagi menghasilkan gigi palsu juga berbeza mengikut kesesuaian dan kemampuan pesakit.
Jangka hayat gigi palsu bergantung pada transformasi gusi, tulang rahang dan perubahan pada permukaan gigi palsu. Jika terdapat perubahan pada rongga mulut pesakit, penggunaan gigi palsu yang sama untuk jangka masa yang panjang akan memberi impak negatif kepada kesihatan mulut. Secara umumnya, pesakit disarankan untuk mengganti gigi palsu setelah 7-10 tahun menggunakannya (atau mengikut keperluan pesakit). Dalam tempoh ini selalunya berlaku perubahan fisiologi pada rongga mulut dan transformasi struktur gigi palsu, yang mungkin mengakibatkan gigi palsu tidak lagi sepadan dan berlakunya perubahan pada rupa paras pemakai. Antara tanda bahawa gigi palsu yang telah terlalu lama digunakan apabila gigi palsu mula menjadi longgar dan mudah terkeluar ketika menggunakannya. Gigi palsu dapat berfungsi dengan baik sekiranya ia kekal berada di rahang ketika pesakit berkomunikasi mahupun mengunyah makanan. Namun begitu, gigi palsu yang longgar menyebabkan pesakit tidak dapat mengunyah dan bertutur dengan baik. Sekaligus menjejaskan pertuturan, di tambah pula dengan perasaan tidak selesa dan kurang yakin untuk berinteraksi. Kadangkala pesakit menggunakan alternatif seperti pelekat gigi palsu (denture adhesive) untuk mengatasi masalah gigi palsu yang longgar, namun ianya berfungsi untuk sementara waktu sahaja Gigi palsu yang bermasalah boleh menyebabkan rasa sakit ketika menggigit dan mengunyah makanan serta boleh membawa kepada kesan ulser/luka di bahagian gusi berdekatan gigi palsu akibat tekanan yang berterusan di kawasan tersebut. Kajian menunjukkan kekurangan zat makanan dan pengambilan nutrisi yang rendah dikalangan warga emas berkait rapat dengan pemakaian gigi palsu yang bermasalah.
Permukaan gigi palsu juga boleh berubah warna, mempunyai kesan hakisan dan calar jika digunakan dalam tempoh masa yang lama. Gigi palsu juga berisiko untuk mengalami perubahan warna dan bentuk terutamanya melalui tabiat merokok, pengambilan berterusan beberapa jenis makanan dan minuman berwarna serta bergantung kepada cara penjagaan. Adakala, bahagian gigi pada gigi palsu boleh terpisah dari bahagian tapak gigi palsu. Penggunaan gigi palsu yang retak ataupun patah perlu dielakkan kerana ia boleh menyebabkan pesakit tertelan serpihan gigi palsu. Masalah gigi palsu ini boleh diselesaikan di klinik gigi dengan cara membaiki atau menggantikannya dengan gigi palsu yang baru.
Selain itu, jangka hayat gigi palsu juga bergantung kepada cara pemakaian dan penjagaan gigi palsu tersebut. Gigi palsu yang tidak dibersihkan dan dibiarkan kotor boleh menyebabkan pengumpulan plak yang mengandungi bakteria dan infeksi pada tisu mulut. Masalah yang berterusan, ia boleh mendatangkan kesan negatif pada tisu mulut, dan gigi yang masih ada bagi pemakai gigi palsu separa. Gigi palsu perlu di keluarkan dari mulut dan dibersihkan sekurang-kurangnya sehari sekali. Pemakai juga perlu berkumur-kumur untuk membuang sisa makanan dari mulut. Permukaan gigi palsu perlu di gosok dengan berus untuk menghilangkan sisa makanan dan plak. Sekiranya pesakit menggunakan pelekat gigi palsu, pastikan ianya di bersihkan dengan sempurna samada di bahagian gusi mahukan pada permukaan gigi palsu tersebut. Selain itu, gigi palsu tidak boleh di pakai berterusan untuk tempoh 24 jam sehari, ia perlu dikeluarkan dan direndam di dalam bekas berisi air pada waktu malam untuk mengekalkan bentuk gigi palsu dan merehatkan tisu mulut. Pesakit tidak digalakkan memakai gigi palsu sewaktu tidur, ini kerana tekanan yang berpanjangan pada gusi dan tulang di bawah gigi palsu boleh mempercepatkan penyusutan tulang. Selain itu tidur dengan menggunakan gigi palsu boleh menjejaskan aliran air liur, peningkatan bakteria di dalam mulut dan akhirnya boleh memberi risiko untuk keadaan yang di panggil keradangan berpunca dari gigi palsu (denture stomatitis). Keadaan ini menyebabkan gusi dan lelangit menjadi radang kemerahan, bengkak, mulut berbau dan menyebabkan ketidakselesaan kepada pemakai gigi palsu.
Justeru itu, pengamal pergigian juga bertanggungjawab untuk memberi nasihat kepada pesakit yang memakai gigi palsu tentang cara penjagaan yang betul dan mengenalpasi tanda-tanda gigi palsu bermasalah. Bagi warga emas yang tidak mempunyai keupayaan untuk menguruskan diri, adalah menjadi tanggungjawab ahli keluarga atau penjaga untuk memastikan gigi palsu sentiasa dalam keadaan bersih dan membawa mereka mendapatkan rawatan lanjut sekiranya di perlukan. Kajian saintifik menunjukkan, gigi palsu yang berfungsi dengan baik boleh memberi impak positif kepada kualiti hidup warga emas.
Penulis merupakan pensyarah dan penyelidik Fakulti Pergigian, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di azlida@um.edu.my