Sambutan Hari Raya Korban atau Aidiladha pada tahun ini 1442H adalah merupakan sambutan kali kedua dalam suasana negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Jika tahun sebelumnya, kita sebagai rakyat Malaysia telah merasai suasana yang agak berbeza dalam menyambut hari raya sama ada Hari Raya Puasa ataupun Hari Raya Haji, namun masih boleh untuk merasai kemeriahannya bersama dengan ahli keluarga dan masih ada ruang untuk melakukan ibadah korban dalam suasana berada di kampung halaman.
Tahun 2021 ini adalah tahun yang sangat mencabar bagi semua anggota masyarakat, tidak kira sama ada dari kalangan pemimpin mahupun rakyat bawahan yang perlu menghadapi suasana yang lebih teruk dan lebih menguji emosi dan jiwa semua pihak. Sambutan Hari Raya Aidilfitri atau 1 Syawal 1442H tahun ini lebih mencabar apabila hampir keseluruhan rakyat hanya merayakannya di kediaman masing-masing dan ada sebahagiannya berjauhan daripada ibu ayah dan ahli keluarga. Walau demikian, masyarakat taat dan patuh kepada saranan pihak pemerintah dengan hasrat agar kes penularan wabak Covid-19 ini terus turun atau mengelak daripada berlakunya penyebaran dan jangkitan yang lebih meluas ke seluruh negara.
Pada 11 Jun 2021, pihak kerajaan melaksanakan lagi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0), atas faktor peningkatan kes jangkitan yang semakin banyak. Pun begitu, keadaan masih lagi tidak “menang” apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari berkuat kuasa 3 Julai 2021 sehingga 16 Julai 2021. Termasuk juga beberapa tempat dan daerah yang lain di luar Lembah Klang. Tindakan ini tidak lain melainkan selepas peningkatan yang mendadak kes jangkitan dan kewujudan kluster baharu yang diikuti bersama dengan varian baharu yang lebih mengganas sehingga kes jangkitan baharu yang dicatatkan pada 13 dan 19 Julai 2021 mencecah lebih daripada 11 ribu kes yang merupakan kes jangkitan baharu yang tertinggi berbanding sebelum ini.
Apa pun, peningkatan jumlah kes dan kesan daripada PKP ini telah memberi impak yang besar kepada kehidupan dan sosial masyarakat di Malaysia. Sejak akhir-akhir ini, pelbagai masalah yang timbul dalam masyarakat yang jelas menunjukkan kepada masyarakat semakin tertekan dan bosan, masyarakat semakin terdesak dalam pelbagai perkara. Peningkatan kes bunuh diri atas sebab ekonomi yang menyebabkan stress lalu mengambil jalan mudah untuk menghilangkan nyawa sehingga dalam laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan 631 kes bunuh diri sepanjang tahun 2020 dan 468 kes dalam tempoh Januari hingga Mei 2021 di Malaysia. Demikian juga, berapa ramai masyarakat yang terputus bekalan harian sehingga pelbagai usaha dijalankan termasuklah saranan untuk mengangkat ‘bendera putih’ sebagai tanda sangat memerlukan bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup. Suasana tekanan ini juga turut terkesan kepada para pelajar apabila ada segelintir pelajar yang membunuh diri disebabkan tertekan dengan pembelajaran atas talian dan dibebani dengan pelbagai tugasan seperti yang dilaporkan di akhbar tempatan.
Walaupun begitu, tidak boleh dinafikan oleh usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan pelbagai pihak yang lain khusus melalui Kementerian Kesihatan dan termasuk NGO yang lain yang bertungkus lumus untuk membantu dalam pelbagai aspek dari sudut bantuan keperluan masyarakat, bantuan dalam proses vaksinasi, bantuan sokongan mental melalui kaunseling dan pelbagai bantuan sokongan yang lain dengan tujuan agar dalam membantu masyarakat yang sedang susah dan menghadapi ketegangan serta kesukaran hidup pada masa kini.
Apa yang digambarkan dan dijelaskan di atas adalah merupakan bentuk-bentuk pengorbanan yang perlu dilakukan oleh anggota masyarakat sepanjang pandemik ini berlangsung. Pengorbanan ini masih perlu dikekalkan sehinggalah negara berjaya dalam menangani penularan wabak ini atau sekurang-kurangnya setelah negara mencapai tahap vaksinasi masyarakat sehingga 80% dan ke atas.
Sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun 1442H bersamaan dengan tahun 2021M, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang terpaksa menyembelih anaknya Nabi Isma`il AS menjadi iktibar penting kepada satu bentuk pengorbanan terbesar yang perlu dihadapi oleh baginda AS. Pengorbanan yang ditunjukkan itu sekali gus menjadi salah satu bentuk syariat yang dituntut dan digalakkan untuk berkorban binatang ternakan, mengambil pengajaran daripada satu bentuk yang besar bagi seorang ayah yang terpaksa mengorbankan anaknya sendiri. Pun begitu, si anak dan ayah menghadapinya dalam keadaan redha dan sabar dengan tuntutan tersebut. Firman Allah SWT, yang bermaksud: “(Ibrahim berkata) wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu. (Ismail berkata) wahai bapaku, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Nescaya kamu akan mendapati bahawa aku ini – Insha Allah – tergolong dari kalangan mereka yang sabar”. (Surah al-Saffaat, ayat 102)
Begitu juga hadith yang mengkhabarkan tentang kelebihan melakukan ibadah korban tersebut sebagai bukti kepada ketakwaan seseorang kepada Allah SWT.Diriwayatkan oleh Ummul Mu’minin A’isyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Terjemahan: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Hadith Riwayat al-Tirmidhi (1493)/ Imam al-Tirmidhi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib]
Memandangkan pada ketika ini, sambutan Hari Raya Korban 1442H dan pelaksanaan ibadah ini berada dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih belum reda. Sesiapa yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban tersebut sama ada satu bahagian daripada lembu atau sehingga seekor lembu atau lebih, lakukan ibadah tersebut walaupun kita ketahui bahawa ramai yang tersepit dengan keadaan ekonomi dan pendapatan yang semakin kurang. Atau yang lebih menyayat hati apabila ada yang terus terputus sumber kewangan kerana telah diberhentikan kerja atau tidak dapat lagi menjalankan perniagaan yang diusahakan sehingga terpaksa gulung tikar.
Jadi, bagi sesiapa yang berkesempatan dan berkemampuan untuk melakukan ibadah korban lakukanlah. Gunakanlah kesempatan ini untuk membantu anggota masyarakat yang tenat yang memerlukan kepada bantuan makanan khusus. Mungkin ada anggota masyarakat yang pada ketika ini, tidak dapat makan makanan yang mencukupi atau hanya mampu berlaukkan telor dan kicap semata-mata, atau mungkin telah hampir setahun langsung tidak menjamah daging. Jadi, alangkah baiknya jika kita mengambil peluang tersebut untuk diagihkan kepada golongan berkenaan, agar sama-sama dapat merasakan nikmat Hari Raya Korban pada tahun ini.
Dalam lingkungan yang lain, pada pandangan peribadi mungkin bagi sesiapa yang melaksanakan ibadah korban tahun ini, laksanakan di tempat kita sendiri dahulu dan agihkan daging-daging korban itu dalam lingkungan masyarakat kita. Ini kerana, kenapa perlu untuk dilakukan di luar daripada kawasan kita atau di luar dari negara kita, sedangkan masyarakat setempat kita sendiri juga amat memerlukannya pada ketika pandemik ini. Bantulah anggota masyarakat yang terdekat dahulu. Namun, jika kita ada lagi kemampuan yang lebih dan mahu dilakukan korban di tempat yang lain, maka ia tidak menjadi satu halangan. Perkara ini sesuai dengan apa yang disebutkan oleh Nabi SAW dalam hadith daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, pasti Allah akan menutupnya di dunia dan di akhirat. Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba-Nya menolong saudaranya. (HR Muslim, no.hadith 2699)
Bahkan, dalam riwayat lain, Anas berkata: “Abu Talhah adalah penduduk asal Madinah yang mempunyai kebun kurma yang banyak. Antara kebun kurma yang paling disukainya adalah kebun Bairuha’, yang berdepan dengan Masjid Nabawi di Madinah. Nabi Muhammad SAW juga suka masuk ke kebun itu dan minum air telaganya yang nyaman. Diringkaskan cerita bahawa, ketika beliau menyahut seruan untuk bersedekah harta yang paling dicintainya, maka beliau memaklumkan kepada Nabi SAW untuk menyedekahkan kebun Bairuha’ tersebut bagi kepentingan agama Allah dan hanya mengharapkan kebaikan dan sebagai simpanan di sisi Allah. Lalu, Nabi SAW kemudian bersabda: “Sungguh! Kebun itu adalah harta yang banyak keuntungannya. Aku sudah mendengar apa yang kamu katakan. Pada pendapatku, sebaiknya kebun itu kamu sedekahkan kepada kaum keluarga kamu. Abu Talhah menjawab: Baiklah, wahai utusan Allah, aku akan lakukan itu. Selepas itu Abu Talhah membahagikan kebun Bairuha’ kepada keluarga dan anak saudaranya.” (HR al-Bukhari, no.hadith 1461 dan HR Muslim, 998)
Justeru, dalam menghayati semangat berkorban, marilah kita sama-sama berganding bahu bagi membantu anggota masyarakat kita pada hari ini yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Jangan biarkan saudara terdekat atau jauh terpaksa mengangkat ‘bendera putih’ atau terpaksa mengemis dahulu sebelum dibantu. Atau mengambil jalan untuk membunuh diri kerana terbeban dengan pelbagai tekanan baru kita sedar untuk membantu. Sama-samalah berganding bahu tanpa perlu mengira pangkat dan kedudukan untuk menghulurkan bantuan. Itu juga erti pengorbanan yang perlu dihayati oleh semua pihak, bukan sahaja di pihak pemimpin, bahkan di pihak orang kebanyakan juga perlu sedar untuk sama-sama membantu dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing.
Tidak perlu tunggu untuk kaya baru hendak sedekah dan tidak perlu untuk dilantik sebagai anggota bomba barulah hendak memadamkan api. Jadilah diri sendiri sebagai seorang Muslim yang sedar dan mempunyai semangat untuk berkorban demi manfaat bersama dan orang lain.