Oleh: Dr. Mohd Khairul Naim Che Nordin
Dalam ajaran Islam, tuntutan manusia untuk beribadah kepada Allah SWT adalah supaya setiap insan kembali sedar kedudukan mereka di sisi Allah SWT. Ibadah yang dilaksanakan menuntut ketundukan diri seterusnya menyedarkan manusia tentang keutamaan yang perlu mereka dahulukan kepada Allah berbanding keinginan sendiri. Oleh kerana itu, ibadah di bulan Ramadan bukanlah semata-mata amalan zahir iaitu menahan diri dari makan dan minum beserta hal lain yang boleh membatalkan puasa. Sebaliknya ia memiliki hikmah lebih besar iaitu untuk menjinakkan hati manusia supaya tunduk kepada kehendak Ilahi yang selama ini dikawal nafsu sendiri.
Sehubungan itu, mereka yang berjaya melaksanakan ibadah di bulan Ramadan dengan penuh ketulusan hati akan meraih pengampunan dosa oleh Allah SWT seterusnya mengembalikan mereka kepada fitrah. Namun apakah erti ‘kembali kepada fitrah’? Hakikatnya, setiap manusia diciptakan oleh Allah dalam keadaan suci dari noda dan dosa. Jiwa bertuhan yang secara tabiinya ada dalam jiwa setiap insan menonjolkan potensi manusia untuk sentiasa taat kepada Allah SWT. Namun kadangkala keinginan manusia terhadap kehendak duniawi menyebabkan mereka lupa hakikat fitrah kehambaan ini. Kerana itu, manusia memerlukan ketaatan kepada Allah SWT. Maka, kembali kepada fitrah di sini secara ringkasnya adalah kembalinya manusia kepada Allah SWT yang sebelum ini mungkin dilupakan, tidak dijadikan keutamaan atau tidak dilihat penting. Kembali itu pula dalam keadaan tulus sehingga dosa kesalahan yang lalu diampunkan oleh Allah yang Maha Penyayang seperti mana keadaan manusia yang dilahirkan tanpa dosa kepada-Nya.
Dalam surah al-Taubah ayat 8, Allah dengan santunan kasih sayang dan rahmat-Nya mengajak manusia yang beriman untuk kembali kepada-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…” Begitu juga firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 74: “Mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampunan kepada-Nya? Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Perintah dan tuntutan bertaubat ini jika dicermati adalah ajakan Allah dengan penuh lembut kepada manusia serta dalam masa yang sama memberi pengharapan besar bahawa pintu taubat selamanya masih terbuka selagi hayat dikandung badan. Rujuklah juga ayat-ayat lain yang semakna dengannya seperti surah al-A’raf ayat 153, surah al-An’am ayat 154, surah al-Taubah ayat 27 dan lain-lain. Himpunan ayat-ayat ini menunjukkan walau banyak mana pun kesalahan manusia kepada Allah namun Dia sentiasa menerima taubat hamba-Nya.
Namun, meninggalkan dosa maksiat kemudian bertaubat juga bukan perkara yang mudah. Kerana itu ajakan Allah disebut berulang kali sebagai peringatan seperti di atas. Ibn Qudamah di dalam karyanya al-Tawwabin mencatatkan satu kisah berkenaan seorang lelaki yang sering melakukan dosa dan memerlukan bimbingan untuk menghentikan kesalahan tersebut. Lalu beliau menemui Syeikh Ibrahim bin Adham bagi mendapatkan kata nasihat kerana tidak mampu menahan diri melakukan maksiat. Sang Syeikh yang mendengar pengaduan lelaki tadi lantas menyatakan kepadanya jika dia dapat melaksanakan lima perkara, maka dia boleh berterusan melaksanakan maksiat semahunya. Perkara pertama adalah jika dia mampu makan dan minum rezeki yang bukan milik Allah; perkara kedua ialah jika dia mampu melakukan maksiat di dunia yang bukan ciptaan dan milik-Nya, perkara ketiga ialah jika dia mampu melakukan maksiat di luar pengawasan dan pemerhatian Allah; perkara keempat ialah jika dia mampu menahan malaikat dari mencabut nyawanya walau ajal telah datang bagi memberi kesempatan padanya untuk bertaubat; dan perkara kelima ialah jika dia mampu menghalang malaikat Zabaniyah dari menyeksanya dalam api neraka.
Lelaki tadi memberi respons bahawa kelima-lima perkara itu sudah pasti tidak mampu untuk ia lakukan. Lantas Syeikh Ibrahim bin Adham memperingatkannya bahkan juga untuk kita semua bahawa tergamakkah kita derhaka kepada Allah dan dalam masa yang sama kita makan minum kurniaan-Nya serta tinggal penuh keselesaan di muka bumi ciptaan-Nya? Senangkah kita melakukan maksiat dalam masa yang sama kita tahu Dia memerhatikan apa yang kita lakukan? Tenangkah hati kita tika maksiat dilakukan walau kita tahu ajal maut datang secara tiba-tiba? Dan apakah kita mampu menahan azab Allah walhal kita sendiri tahu janji-Nya terhadap mereka yang melakukan kesalahan?
Kisah yang dibawa oleh Ibnu Qudamah ini walau ringkas namun ia cukup memberi kesedaran terhadap diri bahawa jika hati condong untuk melakukan kesalahan maka ingatilah lima perkara yang disebutkan di atas. Ini termasuklah mewaspadai diri hatta dari melakukan dosa kecil. Abdullah ibn Mas’ud dalam athar yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari menyatakan: “Orang beriman menganggap dosanya seumpama batu besar yang akan jatuh ke atas kepalanya ketika dia berada di bawah bukit, tetapi orang fajir (jahat) melihat dosanya seperti seekor lalat yang mahu hinggap di atas hidungnya lalu ditepisnya.” Justeru muslim yang taat bukanlah mereka yang meremehkan dosa sehingga diukur-ukur pula kecil besar sesuatu kemaksiatan; akan tetapi yang benar-benar beriman ialah yang melihat kepada siapa dia lakukan penderhakaan tersebut.
Oleh itu, meraih fitrah di akhir Ramadan sehingga dengan itu melayakkan kita menyambut Aidil Fitri ialah dengan berusaha memanfaatkan masa bermuhasabah dan bertaubat kepada Allah SWT. Taubat merupakan pintu awal manusia untuk kembali kepada-Nya. Ia bermula dengan meninggalkan dosa yang dilakukan, menyesali kesalahan tersebut dan seterusnya berazam dengan penuh tekad untuk tidak mengulanginya lagi. Bagi kesalahan terhadap makhluk pula, maka kita perlu sesungguh mungkin mendapatkan kemaafan atas kesalahan yang dilakukan. Aidil Fitri yang disambut penuh makna bukan sekadar bermaksud cukupnya sebulan kita berpuasa, tetapi ‘makna’ yang dimaksudkan ialah mencapai makna kewujudan manusia iaitu makhluk Tuhan yang hidup dengan jiwa kehambaan dan keimanan. Dengan jiwa kehambaan inilah sifat sombong, bongkak, mahukan kemasyhuran, rasa haloba dan lain-lain mampu dihapuskan.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di khairulnaim@um.edu.my