Kelibatnya yang sentiasa tersenyum apabila melaksanakan tugas, menjadikan kami selesa dengannya. Perkenalan kami bermula sejak bulan Januari 2023, apabila Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaya berpindah ke Aras 5, Bangunan Canseleri, di mana beliau bertugas.
Mesra dengan panggilan Kak Zana, Puan Zainariah Omar, Pembantu Awam di Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Harta Benda (JPPHB), merupakan sebahagian daripada ahli pasukan yang bertanggungjawab menjaga kebersihan di Bangunan Canseleri.
Siapa sangka, empunya wajah yang tidak dimamah usia ini rupanya sudah pun menjangkau usia persaraan pada 22 Mac yang lalu!


Sehari sebelumnya, kami yang tidak mengetahui yang Kak Zana akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada keesokkan hari, menyapa dan berbual santai dengannya seperti biasa. Sedang kami asyik berbual, dengan gaya bersahaja, dia berkata, “Oh, akak ada satu jam saja lagi di UM.”
“Apa maksud akak?” serentak kami bertanya, kebingungan.
“Ini hari terakhir akak bertugas di UM. Bermula esok, akak secara rasmi menjadi seorang pesara,” kata ibu kepada tujuh anak ini sambil tersenyum.
Melopong kami dibuatnya. Perasaan kami bercampur-baur antara kekaguman dengan semangatnya yang bertugas dengan penuh dedikasi sehingga ke tarikh akhir perkhidmatannya, dan keralatan kerana tidak sempat mengenali anak jati Muar, Johor ini dengan lebih rapat.
“Sebenarnya, akak pun tak terasa masa berlalu. Sejak memulakan tugas di UM pada 2005, bermula di Kolej Kediaman Bestari (KK4), kemudiannya di Pusat Kebudayaan pada 2009, dan akhirnya di Canseleri sejak 2013; akak sentiasa dikelilingi rakan-rakan dan persekitaran yang baik-baik. Mungkin itu antara sebab akak sentiasa ‘happy’ bila bertugas, dan tak sedar 18 tahun dah berlalu,” katanya seraya tersenyum menunjukkan sebaris gigi yang tersusun cantik.
Ditanya petua kelihatan awet mudanya, Kak Zana tidak lokek untuk berkongsi tip ini: “Dalam hidup, kita perlu redha; terima ketentuan yang Allah susun untuk kita. Kita yakin Dialah Perancang yang Terbaik, kan? Jadi walau apa pun cabaran, kesukaran dalam hidup kita, kita kena terima; sebab di dalamnya ada hikmah yang Dia dah susunkan untuk kita. Dan bila kita sentiasa ingatkan diri kita mengenai perkara ini, insyaAllah kita akan lebih tenang, dan sentiasa ‘happy’ menghadapi setiap hari kita.
Oh, satu lagi akak nak beritahu: di UM inilah akak rasa akak berubah jadi Zana yang sekarang. Dulu akak pemalu sebenarnya; nak bercakap dengan orang pun gugup. Tapi bermula dengan tugas di dewan makan KK4 itulah, dengan peluang untuk bergaul dengan staf dan pelajar, menjadikan akak lebih berani untuk ke hadapan dan berinteraksi dengan orang lain,” katanya yang berhijrah ke Kuala Lumpur sejak tahun 1983 ini.
Sementelah perbualan kami hanya dua hari sebelum bermulanya Ramadan, kami sempat memintanya membuat sedikit ucapan Hari Raya untuk ditujukan kepada semua warga UM:
“Di kesempatan ini, Kak Zana ingin memohon ribuan kemaafan daripada semua adik-adik staf dan anak-anak pelajar atas segala salah dan silap, kekurangan, dan keterlanjuran kata. Sebak rasanya meninggalkan kampus yang penuh dengan kenangan manis bertugas di sini; terutamanya bersama rakan-rakan yang sudah akak anggap sebagai ahli keluarga sendiri. Semua gelak tawa, gurau senda, dan tangisan kita bersama akan akak kenang sampai bila-bila.
Untuk yang beragama Islam, moga kita semua termasuk di kalangan orang-orang yang sentiasa bersyukur dan diterima semua amalankita di sepanjang bulan Ramadan. Moga Syawal yang bakal menjelma ini meningkatkan lagi rasa kesyukuran kita. Kepada yang bukan beragama Islam, marilah bersama-sama menikmati suasana Hari Raya dan selamat bercuti.
Ramadan bakal meninggalkan kita,
Syawal yang mulia menjelang tiba
Aidilfitri bahangnya terasa,
Disambut dengan penuh ceria.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.”

📸 Gambar oleh Mohd. Fadhli Yong @mohdfadhliyong untuk CCC (2023).