Pemuda yang sentiasa kelihatan ranggi dan tidak pernah lekang dengan senyuman ini rupanya seorang ayah penyayang kepada puteri berumur tiga tahun!
Anak sulung dari dua orang adik-beradik ini berasal dari Taiping, Perak, dan sudah mula berkhidmat di Universiti Malaya sejak 2016. “Saya bertugas sebagai ahli muzik di sini, dari asalnya Pusat Kebudayaan, kini telah di’upgrade’ ke Fakulti Seni Kreatif,” kata Muhammad Zulhaffiz Mohamad Nordin, Ahli Muzik B21, ketika ditemui baru-baru ini.
“Saya sebenarnya boleh bermain semua alat muzik, terutamanya yang digunakan di dalam kugiran. Dari gitar ke dram ke keyboard, semua saya boleh main Bukanlah pandai macam pro tetapi secara ‘basic’ bagi mengenali secara halus bunyi setiap alat muzik, dan juga sebab pengalaman saya yang banyak bersama kumpulan Kristal semasa saya remaja dahulu,” katanya memulakan perkongsian perjalanan hidupnya.
“Wah, hebat tu,” getus jurugambar kami.
“Rezeki saya bang, dilahirkan dalam keluarga yang meminati muzik. Kebetulan Lan (penyanyi utama kumpulan Kristal) itu pangkat ayah saudara saya, jadi saya dari awal remaja lagi dah mula masuk ke studio muzik. Di situlah berputiknya cinta saya terhadap kerjaya saya pada hari ini,” terangnya panjang lebar.
Jurugambar kami yang fokus dengan penerangan Haffiz lantas mencelah: “Cinta kepada bermain alat muzik?”
“Bukan, bang. Main alat muzik ni lebih sekadar hobi saja, sama seperti minat saya bermain bola sepak sehingga mewakili daerah dahulu. Tapi cinta saya ialah kepada kejuruteraan bunyi dan pengadunan muzik itu sendiri.
Sejak saya mula mengikuti Pakcik Lan saya ke studio sekitar umur saya 15 tahun, saya dah mula bertanya: bagaimana sistem audio di studio berfungsi? Bagaimana untuk mengawal alat yang dinamakan pengadun bunyi (mixer) itu sehingga boleh menentukan kualiti muzik yang dihasilkan?
Rasa ingin tahu itu semakin membuak-buak apabila mengetahui yang tugas seorang jurutera bunyi ini sangat penting, sehingga boleh menjadi sebuah kerjaya. Penting bukan hanya di studio rakaman atau konsert-konsert hiburan, malah untuk pelbagai majlis dan acara yang memerlukan sistem audio!” terang Haffiz dengan penuh semangat.
Haffiz merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memastikan sistem audio di Dewan Tunku Canselor (DTC) dan Panggung Eksperimen berfungsi dengan baik dan menghasilkan bunyi yang berkualiti. ‘Air tangan’nya bukan sahaja diperlukan oleh universiti, malah turut dikongsi bersama industri. Beliau juga merupakan antara beberapa orang jurutera bunyi yang diiktiraf di Malaysia dengan produk audio yang beliau pelajari, dan sentiasa dijemput untuk menjayakan pelbagai program besar-besaran, baik di dalam mahu pun luar negara.


Haffiz juga merupakan jurutera bunyi peribadi sambilan bersama pasukan beliau di dalam industri muzik kepada beberapa artis tempatan seperti Aina Abdul, Hael Husaini, Kristal X, dan lain-lain.
“Walaupun ramai yang mengganggap saya tak perlukan kerja di UM ini, kerana bakat dan kemahiran yang saya ada sudah lebih dari memadai untuk membina kerjaya sendiri, namun di dalam hati saya tetap sayangkan UM.
Kita diajar untuk memahami yang rezeki ini sudah ditetapkan oleh Allah. Yang tinggal hanyalah untuk kita berusaha bersungguh-sungguh, dan mencari ruang untuk kita sama-sama bantu orang lain untuk berjaya dan beri yang terbaik.
Pada saya, di UM-lah tempat terbaik untuk saya terus belajar dan berkarya, selain membantu universiti ini untuk terus memberikan yang terbaik kepada negara dan dunia. Untuk itu, saya akan terus kekal di sini,” ujarnya sambil tersenyum penuh makna.
Haffiz juga merupakan antara individu yang bertanggungjawab menghasilkan kertas kerja penambahbaikan sistem visual dan audio DTC yang bakal disiapkan pada penghujung 2023.
“Bila siap nanti, sistem audio kita akan setanding dengan Royal Albert Hall, London. Barulah betul-betul ‘impacting the world’, betul tak bang?” katanya mengakhiri perbualan kami petang itu.

📸 Gambar oleh Mohd. Yani Alias untuk BPP (2023).