9 February 2026

Murid SK Sri Langat teruja jadi mahasiswa UM

Featured

The right way

Corporate crime without economic sabotage: Why Malaysia is now...

Damaging

Slowing down the fast fashion crisis By Audrey Kang Nian,...

Healthier

We need smarter ways to keep people out of...

Kekal berjuang

Mengalah bukan menyerah kalah Oleh Nur Shahidah Pa'ad Dalam kehidupan yang...

Timely interventions

Smart audits and data analytics can combat public sector...

Share

Sekumpulan 123 orang murid tahun enam dari SK Sri Langat, Banting, Selangor telah melakukan lawatan ke Universiti Malaya (UM), pada 23 Ogos 2022. Rombongan yang diiringi oleh 17 orang guru, turut disertai oleh Hj. Saiful Adli Suhadak, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Langat.

Lawatan ini antara lainnya bertujuan untuk memberi pendedahan awal mengenai bidang kerjaya dan peluang melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi setamatnya pengajian di peringkat sekolah kelak. “Walaupun mungkin ada yang merasakan pendedahan ini terlalu awal untuk murid-murid yang belum lagi menamatkan persekolahan rendah mereka, namun kami percaya usaha ini mampu menyuntik motivasi kepada mereka untuk meneruskan pelajaran dengan sungguh-sungguh di sekolah,” kata Prof. Madya Dr. Rosmadi Fauzi, Yang Dipertua PIBG SK Sri Langat yang turut serta di dalam program ini.

Lawatan yang julung kali diadakan oleh sekolah ini selepas pandemik COVID-19 ini juga merupakan lawatan murid sekolah yang pertama diterima oleh UM. “Kami amat berbesar hati menerima kunjungan mereka, kerana secara tidak langsung program ini menunjukkan universiti adalah sebahagian daripada masyarakat. Proses pembangunan anak-anak ini melalui bidang pendidikan akan memastikan kemajuan masyarakat setempat yang holistik dan menyeluruh,” kata Prof. Dr. Hanafi Hussin, Dekan Fakulti Seni Kreatif UM yang menyambut kunjungan peserta program di Panggung Eksperimen.

Selain Fakulti Seni Kreatif, program yang dinamai ‘Sehari Sebagai Mahasiswa’ ini turut dijayakan dengan kerjasama pelbagai unit di dalam UM, termasuklah Pusat Pemasaran dan Pengambilan (MRC), Pejabat Komunikasi Korporat, Fakulti Kejuruteraan, dan Muzium Seni Asia. Sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa jurusan geografi dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial juga meluangkan masa menjadi fasilitator kepada para peserta program.

Menariknya, peserta program diberi peluang menikmati jamuan tengahari di dalam Dewan Tunku Canselor (DTC). “Saya difahamkan peluang sebegini amat jarang diperolehi kerana DTC dikhususkan untuk acara rasmi universiti sahaja, seperti istiadat konvokesyen. Jadi peluang yang diberikan oleh penganjur kepada kami ini pastinya akan menjadi memori yang indah kepada semua murid yang terlibat, dan menambahkan semangat mereka untuk belajar di sekolah dan menjejakkan kaki ke universiti satu hari nanti,” kata En. Ruslan bin Lebai Yakub, Guru Besar SK Sri Langat, yang mengetuai kumpulan guru pengiring program.

Selain ucapan aluan dari Dekan Fakulti Seni Kreatif dan pengenalan UM oleh Pengarah, Pejabat Komunikasi Korporat, aktiviti para peserta turut melibatkan lawatan ke makmal-makmal penyelidikan di Fakulti Kejuruteraan dan Muzium Seni Asia. “SK Sri Langat merupakan sekolah kluster kecemerlangan STEM dan kesenian. Maka pendedahan awal kepada bidang gunaan seperti kejuruteraan dan koleksi unik di muzium ini amat membantu dalam proses pembelajaran mereka,” kata En. Ruslan lagi.

“Walaupun program ini agak singkat dan hanya sebahagian UM sahaja yang sempat dilawati, namun saya percaya objektif program telah tercapai apabila melihat riak wajah murid-murid ini. Saya pasti keletihan yang dirasai dalam perjalanan yang jauh dari Banting telah terubat apabila menjejakkan kaki ke kampus UM buat pertama kalinya. Saya doakan mereka, guru-guru, ibu bapa, dan semua warga SK Sri Langat terus maju jaya dalam usaha mendidik dan membina sahsiah anak-anak ini,” kata Prof. Dr. Hanafi Hussin mengakhiri temubual.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri, Pengarah, Pejabat Komunikasi Korporat UM di nahrizuladib@um.edu.my