Oleh: Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Gurauan atau lawak jenaka seringkali diselitkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan suasana bekerja atau bersosialisasi tidak terlalu bosan dan disulam dengan perasaan gembira. Ianya membantu dalam mengurangkan sedikit tekanan dalam kehidupan. Unsur gurauan juga selalu digunakan oleh para pendidik termasuk pensyarah dan guru bagi memastikan pelajar tidak mengantuk dan ianya turut membantu dalam proses pemahaman dan hafalan. Ianya membangkitkan rasa keseronokan untuk belajar dan pelajar lebih bersedia untuk ke kuliah atau kelas seterusnya.
Walau bagaimanapun, banyak unsur gurauan atau lawak jenaka dewasa ini yang berbaur lucah atau mempunyai maksud tersirat dilihat semakin berleluasa dan parah. Normalisasi gurauan atau penggunaan perkataan yang berbaur lucah semakin dilihat menjadi-jadi dan ianya amat jelas tidak menghormati hak-hak wanita. Sebagai sebuah negara yang terdidik dengan sopan santun, budaya hormat-menghormati, jelas sekali kemuliaan, kehormatan dan martabat wanita dipandang remeh. Topik berkaitan penyataan seksis dan sensitiviti wanita dipandang enteng dan dijadikan topik sebagai hiburan. Ini banyak terjadi dalam adegan drama, wayang, lukisan termasuk perbualan seharian.
Terbaru, Malaysia digemparkan dengan lakonan seorang mantan Menteri yang menyebut perkataan yang boleh ditafsirkan sebagai satu penghinaan kepada wanita. Sebagai seorang yang menjadi idola masyarakat, sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku kerana ia boleh dijadikan ikutan oleh golongan masyarakat secara amnya dan anak-anak muda secara khususnya. Ditakuti trend ini akan menjadi satu pembudayaan dalam kalangan masyarakat Malaysia sekiranya ianya dinormalisasikan dan dianggap biasa.
Pernyataan berbaur seksis dan negatif ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada bagaimana seorang wanita dilihat dari perspektif masyarakat. Wanita sering dikaitkan dengan peranan tradisional iaitu, seorang yang lemah, memerlukan perlidungan, menjaga kecantikan dan bertanggungjawab menguruskan keluarga sepenuhnya. Ianya secara tidak langsung menggalakkan stereotaip feminin dan membawa kepada peningkatan sentiment negatif melalui satu kajian yang telah dijalankan. Sentimen negatif termasuk menghina penampilan seseorang wanita (hodoh dan imej badan negatif), intelek (kurang cerdik), pengalaman seksual (pemuas nafsu) dan kestabilan mental (beremosi). Norma kecantikan yang dikaitkan adalah wanita perlu sentiasa cantik, kekal muda dan bergaya. Ini membuktikan bahawa masyarakat sering disogokkan dengan kepercayaan budaya tradisional tentang sifat kewanitaan yang tidak rasional seperti cita-cita kecantikan, dan memalukan sekiranya mereka tidak duduk di dalam kelompok piawaian ini.
Kesan psikologi terhadap wanita amat mendalam. Walaupun dunia semakin mengiktiraf wanita untuk bersama-sama menggalas tanggungjawab dalam memantapkan bukan sahaja hal berkaitan keluarga tetapi juga negara, masyarakat yang melampaui dalam gurauan dilihat seperti tidak menghargai jasa wanita. Kesan emosi wanita hasil daripada tekanan yang dihadapi boleh meningkatkan ketidakyakinan diri, berasa sedih, marah dan dirisaukan boleh memberikan kesan berpanjangan sekiranya tidak mempunyai sistem sokongan yang padu dari keluarga, rakan sekerja mahupun masyarakat.
Rakyat Malaysia perlu prihatin dan ambil maklum bahawa setiap pesalah yang melakukan gurauan yang melampaui batas, lucah, sumbang, palsu, mengancam atau yang jelik; boleh disabitkan hukuman di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu dikenakan tindakan saman tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh setahun atau kedua-duanya sekali.
Wanita adalah insan yang sangat kuat, bersama-sama membentuk ekonomi, aktif dalam politik, membantu mempertingkatkan sistem pendidikan, memupuk keluarga sihat dan ingatlah bahawa tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia.
Bukan tempatnya kita melucahkan golongan wanita hanya untuk secebis perhatian murahan di layar perak.
Penulis merupakan Ketua, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di azy_mn@um.edu.my