Oleh: Dr. Hanira Hanafi
Memiliki pekerjaan yang stabil semestinya menjadi impian setiap graduan institusi pengajian tinggi. Pekerjaan yang stabil dan pendapatan yang kompetitif adalah mustahak bagi menampung individu dalam mencapai kesejahteraan hidup untuk memiliki kemudahan perumahan, kenderaan dan sebagainya. Di samping itu, kedua-dua faktor ini juga berupaya menyumbang kepada jaringan keselamatan sosial yang lebih terjamin terutamanya pada waktu bersara.
Mutakhir ini, masalah pengangguran dalam kalangan graduan sering dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuklah pemilihan kerja dan sikap graduan, kemelesetan ekonomi serta kesan dari pandemik covid 19. Lantaran itu, para graduan seharusnya peka terhadap realiti dan kekangan yang ada dengan siap siaga melengkapkan diri bagi mendepani cabaran pekerjaan pada masa hadapan. Graduan juga sewajarnya mempunyai perancangan karier yang jelas bagi memastikan mereka kekal relevan dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan. Berdasarkan kajian yang dijalankan, graduan universiti didapati harus melengkapkan diri dengan keperluan -keperluan penting berikut:
Kemahiran Teknologi seiring dengan era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)
Industri yang masih menawarkan peluang pekerjaan sewaktu penularan wabak covid 19 adalah industri berkaitan teknologi maklumat (IT), perkilangan, perbankan, perniagaan runcit dan penjagaan kesihatan. Pada masa yang sama, kebanyakan syarikat mula memberi tumpuan kepada kaedah teknologi dan pendigitalan dalam menjalankan perniagaan. Pengetahuan dan penguasaan dalam kemahiran ini didapati sangat relevan dalam membantu graduan mendepani cabaran perkerjaan yang kompetitif pada masa kini. Graduan perlu cakna akan perkembangan Artificial Intelligence dan impak pada pekerjaan terkini. Oleh yang demikian, keperluan melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi atas talian dan Internet of Thing (IoT) menjadi satu perkara yang penting dalam mendepani cabaran pekerjaan pada masa kini.
Kemahiran Insaniah yang mencukupi
Kemahiran insaniah (KI) merangkumi aspek-aspek kemahiran generik. Walaupun tidak terdapat satu senarai kemahiran khusus menjelaskan kriteria KI, namun laporan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2006 mencatatkan kemahiran berkait dengan penguasaan kemahiran seperti kepemimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.
Secara umum, tidak terdapat definisi yang tepat bagi terma Kemahiran Insaniah namun ia sering dikaitkan dengan trait personaliti individu, berfikiran kritis, bijak berkomunikasi, pandai mendapatkan kenalan, berdaya tahan dan berinovatif. Kajian merekodkan terdapat ramai dalam kalangan pelajar lepasan pengajian tinggi tidak mempunyai set kemahiran insaniah yang mencukupi, mengakibatkan mereka gagal memasuki sektor tenaga kerja seterusnya menyumbang sebagai pekerja aktif dan cekap.
Kebanyakan graduan baharu didapati lebih mementingkan diri sendiri, tidak dapat menyesuaikan diri dalam kerja berpasukan, dan berhasrat dinaikkan pangkat ke jawatan kanan tanpa mempamerkan kualiti kepimpinan yang diperlukan. Institusi-institusi Pengajian Tinggi awam dan swasta perlu meneliti isu ini dengan memastikan penawaran kursus-kursus yang relevan dan latihan yang berkesan melalui sistem pengajaran yang berkualiti dan penilaian-penilaian yang bersesuaian bagi menangani kelompongan tersebut.
Kemahiran Keusahawanan
Laporan Global Entrepreneurship Monitor 2020/2021 menunjukkan kerjaya keusahawanan masih menjadi pilihan walaupun dunia dilanda pandemik COVID-19. Keusahawanan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara kerana ianya mampu merangsang pelaburan, mencipta peluang pekerjaan, dan menyumbang kepada peningkatan KDNK. Disamping itu, keusahawanan juga memupuk sikap inovatif serta berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan masyarakat yang kurang bernasib baik dalam pasaran buruh. Pun begitu, pada masa kini, cabaran terbesar yang dihadapi oleh kebanyakan kerajaan di seluruh dunia adalah proses peralihan daripada ekonomi “tradisional” kepada ekonomi “baru” yang menitik beratkan keperluan untuk usahawan dilengkapi dengan kemahiran teknologi era moden berkaitan dengan pendigitalan operasi perniagaan serta sokongan dan kerjasama di kalangan usahawan untuk berkembang maju dalam hal ini persekitaran yang dinamik.
Majoriti negara menggunakan pendidikan sebagai salah satu medium bagi memupuk keinginan dan sikap keusahawanan. Di Malaysia khususnya, Kementerian Pengajian Tinggi telah melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (PTK IPT) 2021–2025 bagi membudayakan lebih ramai institusi keusahawanan dalam kalangan pelajar dan lepasan pengajian tinggi. Dasar Keusahawanan Nasional 2030 juga diperkenalkan bagi tujuan memperkukuh dan meningkatkan inisiatif dan program sedia ada untuk melonjakkan aktiviti keusahawanan di Malaysia. Pelbagai usaha telah dirancang termasuklah program pembangunan termasuk pembiayaan, penyelidikan & pembangunan (R&D), latihan dan pembinaan kapasiti, infrastruktur, pemindahan teknologi, akses pasaran, usahawan sosial serta pengantarabangsaan.
Lantaran itu, pelajar IPT perlu cakna dengan peluang ini dan pelbagai usaha yang lebih agresif perlu diusahakan oleh IPT bagi meningkatkan minat dan keberkesanan bidang keusahawanan di kalangan pelajar universiti terutamanya pembangunan kurikulum keusahawanan yang mantap dan meningkatkan kolaborasi dengan syarikat-syarikat swasta dan kerajaan. Hal ini termasuklah pelaksanaan program yang berupaya mendedahkan pelajar IPT kepada perkongsian pengalaman dan tips usahawan yang berjaya, kemahiran pemasaran dan e-dagang, serta pendedahan kepada inisiatif-inisitiatif yang ditawarkan oleh kerajaan bagi memulakan perniagaan termasuklah peruntukan dana yang berkaitan.
Kesimpulannya, selain penguasaan aspek teori dalam bidang pengajian diperingkat universiti, ketiga-tiga kemahiran tersebut dilihat sebagai persediaan yang sangat penting bagi graduan untuk kekal relevan dalam mendepani cabaran pekerjaan pada masa kini dengan mengambil kira faktor ekonomi dan kesihatan yang melanda negara.

Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya; dan ketua penyelidik projek “Career Aspirations in the Midst of COVID-19 and the Future of Work: From the Perspective of University Students in Malaysia” (IIRG002B-2021SAH).