“Tarikh 12 September sangat dekat dengan saya. Tahukah kenapa?” tanya Nurfatihah Zulkifli spontan.
“Tragedi 11 September 2001 saya tahulah. 12 September tak pasti pula,” jawab jurufoto kami.
Seraya menggeleng, gadis kelahiran Selangor ini terus menyambung: “Bukan 11, tapi 12 September. Ia merupakan tarikh lahir Irène Curie, anak kepada pasangan Pierre dan Marie Curie, penerima Hadiah Nobel 1903 untuk kajian mereka mengenai radiasi.
Lebih menarik ialah Irène juga menjadi seorang saintis setelah dewasa, dan kajiannya mengenai penghasilan isotop baru dari bahan yang selalunya bukan radioaktif juga melayakkannya menerima Hadiah Nobel pada 1935. Bayangkan ada dua penerima Hadiah Nobel dalam satu keluarga!” cerita Nurfatihah dengan penuh semangat.
Mungkin menyedari yang anak mata kami sudah mula menerawang ke keseluruhan ruang makmalnya di Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) itu, saintis muda ini pantas mencelah, “Dialah antara idola saya dalam bidang sains. Dan kini saya hampir merealisasi impian saya sejak kecil untuk menjadi seorang saintis sepertinya,” katanya lagi.
Menurut Nurfatihah, bidang penyelidikannya dikenali sebagai ‘vaccinology’, di mana beliau dan rakan penyelidik lain sedang berusaha membangunkan platform baharu bagi pembangunan vaksin masa hadapan. “Mungkin kita sudah biasa mendengar vaksin berasaskan mRNA dan bakteria tidak aktif semasa pembangunan vaksin COVID-19 dahulu, bukan? Apa yang kami bangunkan adalah sesuatu yang berbeza,” terang alumni SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara ini dengan panjang lebar.
Apabila ditanya apakah perbezaan yang dimaksudkan, gadis manis yang pernah menghabiskan masa berhari-hari di makmal ini hanya mengenyitkan mata seraya berbisik:
“Rahsia.”
……
Nurfatihah merupakan graduan ijazah sarjana muda dari Fakulti Sains UM pada tahun 2019. Semasa bekerja sebagai pembantu penyelidik seusai pengajiannya, cintanya kepada bidang penyelidikan semakin mekar. Berkat galakan dari penyelianya, penyelidik virologi yang tidak asing lagi, Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar, minatnya timbul untuk meneruskan pengajian di peringkat tertinggi melalui laluan ‘fast track PhD’.
Laluan ini merupakan sebuah skim kemasukan khas untuk graduan UM yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda mereka dengan kelulusan kelas pertama (CGPA > 3.70). Jika mereka berminat untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi, mereka dibenarkan untuk mendaftar di peringkat ijazah kedoktoran (PhD), tanpa perlu menyiapkan ijazah sarjana (Masters) terlebih dahulu.
Lebih manis lagi, anak ketiga dari lima adik-beradik ini juga merupakan salah seorang penerima Hadiah Biasiswa SPB YDP Agong bagi meneruskan pengajiannya di peringkat PhD, bermula Oktober 2022. Beliau merupakan satu-satunya penerima biasiswa dari UM untuk tahun ini.
……
“Oh ya. Abang kena ambil gambar ni,” katanya tersenyum sambil menunjukkan pin lencana yang dipakainya. Di atasnya tertulis:
‘Who wants to be a princess, when you can be a scientist’.
📸 Mohd. Fadhli Yong for CCO. Art direction by Latimin Keman