Oleh: Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad
Bahang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada masa kini amat terasa apabila parlimen telah dibubarkan dan proses pengundian pun telah ditetapkan yang akan diadakan pada 19 November 2022 ini. Pilihan Raya Umum ini diadakan bagi tujuan untuk lantikan ahli parlimen yang baharu yang mewakili pemimpin dari kawasan parlimen masing-masing. Pelantikan pemimpin ini adalah menjadi salah satu proses pada masa kini yang dinamakan sebagai demokrasi di mana setiap rakyat mempunyai hak untuk mengundi bagi menentukan pemimpin mereka yang kemudian diputuskan berdasarkan kepada keputusan majoriti.
Dalam perspektif Islam, pelantikan dan pemilihan seseorang sebagai pemimpin adalah merupakan satu perkara yang sangat besar dan penting. Ini kerana, peranan dan tanggungjawab yang dipikul olehnya adalah sangat berat dan penting bagi menjaga kemaslahatan orang yang dipimpinnya dalam semua aspek sama melibatkan kepentingan dunia yang berkaitan dengan soal kehidupan, undang-undang dan sebagainya. Bahkan, termasuk juga soal dalam memelihara agama dan syariat Islam itu sendiri. Jadi, bagaimana untuk memilih pemimpin yang baik?

Dalam membahaskan tentang kepimpinan ini, ada sesuatu perkara yang menarik dan boleh sama-sama kita fikirkan apabila merujuk kepada beberapa hadith yang memberikan satu gambaran yang menarik untuk sama-sama kita fikirkan dan memahami konteksnya dengan baik.
Kisah Abu Dzar al-Ghifari yang telah meminta jawatan dalam kerajaan daripada Nabi SAW adalah satu kisah yang boleh dijadikan sebagai pengajaran untuk kita semua. Perkara ini diceritakan sendiri oleh Abu Dzar al-Ghifari atau nama sebenar beliau, Jundab bin Junadah yang pernah meminta daripada Nabi SAW agar beliau dilantik dengan sesuatu jawatan sebagai pemimpin seperti mana Nabi SAW lakukan terhadap beberapa orang Sahabat yang lain.
Daripada Abu Dzar, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«يَا أَبَا ذَرٍّ، إِنِّي أَرَاكَ ضَعِيفًا، وَإِنِّي أُحِبُّ لَكَ مَا أُحِبُّ لِنَفْسِي، لَا تَأَمَّرَنَّ عَلَى اثْنَيْنِ، وَلَا تَوَلَّيَنَّ مَالَ يَتِيمٍ»
Terjemahan: ”Ya Abu Dzar, aku lihat engkau seorang yang lemah dan aku suka engkau mendapatkan sesuatu yang aku sendiri menyukainya. Janganlah engkau memimpin dua orang dan janganlah engkau mengurus harta anak yatim.” (HR Muslim, no.hadith 1826)
Hadith ini turut dikukuhkan lagi dengan hadith yang lain iaitu juga daripada Abu Dzar RA berkata, “Wahai Rasulullah SAW, tidakkah engkau melantikku (dengan suatu jawatan)? Abu Dzar berkata: “Kemudian baginda menepuk bahu-ku dengan tangan baginda , lalu bersabda: “Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah (untuk memegang jawatan) padahal jawatan merupakan amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi sesiapa yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tugas dengan benar.” (HR Muslim, no.hadith 1825).
Kedua-dua hadith ini diriwayatkan dalam Sahih Muslim dan diletakkan dalam topik utama (kitab) tentang Kepimpinan di bawah bab “Dibenci Untuk Dilantik Pemimpin tanpa Keperluan”. Jadi, dalam hadith Nabi SAW menyatakan bahawa Abu Dzar seorang yang lemah untuk memegang jawatan sebagai pemimpin. Apakah yang dimaksudkan dalam hadith ini?
Dalam hadith tersebut yang dimaksudkan “da’if” (lemah) dalam hadith ini adalah lemah dalam menegakkan kepimpinan sebagai gabenor wilayah. Imam al-Nawawi mengatakan bahawa hadith ini menjadi usul yang penting dalam menunjukkan perlu dijauhi untuk menjadi pemimpin bagi seseorang yang diketahui lemah dalam menegakkan kepimpinannya. Boleh fahami bahawa bagi seseorang yang tidak mampu untuk memimpin masyarakat, tidak sewajarnya dia meminta jawatan dan tidak sewajarnya juga dilantik dalam pada mana-mana portfolio sebagai pemimpin. Ini kerana akan memberikan kesan yang besar terhadap kepimpinannya tersebut. (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 1392)
Bahkan, Imam al-Nawawi menambahkan lagi bahawa yang dimaksudkan dengan rasa malu dan penyelesan bagi mereka yang meminta jawatan adalah bagi sesiapa yang pada haknya bukan merupakan seorang yang ahli dan berkemampuan dalam memimpin atau seorang yang mampu menjadi pemimpin tetapi tidak mampu berlaku adil. Jadi, di akhirat nanti, kerana sikap tersebut, seseorang itu akan dimalukan oleh Allah dan mendapat penyesalan di atas apa yang dilakukan tersebut. Sedangkan bagi sesiapa yang berkemampuan sebagai seorang pemimpin dan mampu berlaku adil, maka baginya kelebihan yang sangat besar yang akan diperolehnya. (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 1392)
Jalal al-Din al-Suyuti dalam Hasyiah al-Sanadi ‘ala Sunan al-Nasa’i memetik pandangan al-Qurtubi yang menyebutkan bahawa maksud “da’if” dalam hadith itu adalah lemah dalam melakukan apa yang sepatutnya dilalukan oleh seseorang pemimpin terhadap kepentingan rakyatnya sama ada dalam urusan keduniaan atau hal ehwal agama. Jadi, pada diri Abu Dzar bentuk lemah itu adalah kerana diri beliau dikuasai oleh sifat zuhud dan kehinaan terhadap dunia. Sesiapa yang berada dalam keadaan ini pasti tidak akan mempedulikan soal harta dan kepentingan terhadapnya juga yang penting dalam menguruskan kemaslahatan agama dan menyempurnakan segala urusan yang berkaitan dengannya. (Al-Suyuti, Hasyiah al-Sanadi, 1986).
Kata al-Suyuti lagi, Abu Dzar seorang yang sangat zuhud dalam soal keduniaan sehingga keadaan di mana beliau memandang bahawa seluruh harta adalah haram. Jika dikeluarkan zakat kepadanya, dia memandang bahawa itu adalah harta yang dijanjikan Allah dalam al-Quran. Jadi, ketika Nabi SAW mengetahui tentang hal tersebut, baginda SAW menasihati dan melarang Abu Dzar daripada memegang jawatan sebagai pemimpin. (Al-Suyuti, Hasyiah al-Sanadi, 1986).
Dalam hadith yang lain ada juga Sahabat lain yang turut meminta jawatan daripada Rasulullah SAW tetapi telah ditolak. Daripada Abdul Rahman bin Samurah, Rasulullah SAW bersabda: Wahai ‘Abdul Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya kerana permintaan maka engkau akan dibebankan (yakni tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah) –(HR Al-Bukhari, no.hadith 6622, dan Muslim, no.hadith 1652)

Melihat kepada perbincangan terhadap hadith-hadith tersebut, jelas menunjukkan bahawa soal kepimpinan bukan perlu diambil mudah. Namun, perlu kepada satu kelayakan yang khusus dan mempunyai kemampuan dalam memimpin dengan baik. Pada masa yang sama meletakkan kepimpinan sebagai satu tanggungjawab dan segala tanggungjawab tersebut adalah amanah yang perlu dipikul dengan sebaiknya. Jawatan sebagai pemimpin bukan merupakan peluang untuk meraih kuasa dan pengaruh orang lain atau ruang untuk mengumpulkan kekayaan. Bukan juga untuk menunjukkan kelantangan dan keras kepala serta melakukan tindak tanduk mengikut sesuka hati sahaja kepada orang ramai. Hakikatnya, segala permasalahan dalam masyarakat atau rakyat dipimpin berada di bawah tanggungjawabnya.
Ambillah pengajaran daripada Khalifah Umara al-Khattab RA yang sanggup berjaya malam memerhatikan dan menyelidiki hal ehwal rakyat sama ada senang atau sebaliknya. Beliau sanggup turun ke lapangan bersendirian dengan pembantunya demi memastikan amanah kepimpinan sebagai khalifah dapat dilaksanakan sewajarnya mengikut kemampuan yang ada.
Justeru, dalam suasana demam PRU ke-15 ini, sangat disarankan kepada semua lapisan masyarakat yang layak mengundi untuk memastikan bahawa calon yang bakal dipilih mempunyai kelayakan sebagai seorang pemimpin yang mampu untuk menjaga kebajikan rakyat, yang sentiasa ingat tentang tanggungjawabnya kepada rakyat, dan yang penting ada seorang pemimpin yang akan memperjuangkan dan mempertahankan agamanya. Amanah kepimpinan yang dipikul itu dilaksanakan kerana Allah atas keyakinan dan percaya bahawa pemimpin yang dipilih kerana kemampuan dalam kepimpinannya bukan kerana meminta jawatan, akan sentiasa mendapat pertolongan Allah. Redha Allah itu lebih utama daripada redha manusia. Sesuai dengan apa yang dijelaskan oleh Nabi SAW, daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari Kiamat, hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, iaitu pemimpin yang adil,…..” (HR al-Bukhari, no.hadith 6608).
Semoga dapat memahami bahawa sama ada sebagai pemimpin atau sebagai rakyat yang dipimpin, ingatkan bahawa kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab dan setiap daripada tanggungjawab itu akan dihitung oleh Allah SWT sama ada telah berjaya melaksanakannya ataupun sebaliknya.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di khadher82@um.edu.my