Senario industri tenaga global sedang dan bakal melalui fasa perubahan yang memerlukan input dari pelbagai pihak. Cabaran dari aspek pengurusan sumber dan sisa, penyelidikan punca tenaga boleh baharu, dan keperluan yang tidak pernah susut terhadap modal insan yang berkemahiran, perlu ditangani oleh semua pemain industri.
Antaranya, perkongsian pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh pengamal industri adalah amat bermanfaat untuk pembangunan seseorang pelajar institusi pengajian tinggi. Baru-baru ini, Hazizi Hassan, pengurus aset di syarikat multinasional, Exxon Mobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI) telah meluangkan masa berkongsi ilmu dalam bidang pengurusan tenaga bersama pelajar jurusan Bioteknologi dan Sains Pengurusan Alam Sekitar. Program berbentuk forum dwihala yang diadakan di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) ini dinamai ‘Energy Outlook’, dan telah dihadiri oleh lebih 40 orang pelajar. Selain penerangan khusus mengenai bidang pengurusan tenaga, para peserta turut didedahkan dengan keperluan modal insan yang sentiasa tersedia secara am di dalam bidang berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
Menurut Hazizi, pihaknya sentiasa mengintai peluang untuk berkongsi maklumat dengan para penyelidik, dan juga pelajar institusi pengajian tinggi, terutamanya berkaitan cabaran dan peluang yang boleh diambil oleh setiap individu yang terlibat di dalam industri ini. “Pihak kami sentiasa berminat untuk menyumbang kepada ekosistem masyarakat yang cakna sains dan teknologi,” katanya lagi.
“Saya merasa bertuah kerana berpeluang berinteraksi secara langsung dengan seorang pakar dari industri yang arif mengenai cabaran yang dihadapi buat masa ini. Saya amat teruja dengan pengisian forum ini, terutamanya apabila melibatkan isu kesan alam sekitar akibat penerokaan minyak dan gas asli. Kami juga didedahkan dengan persepektif pemain industri sebenar mengenai keperluan tenaga pada masa hadapan,” kata Myra Radzmi, salah seorang pelajar jurusan Bioteknologi dan Sains Pengurusan Alam Sekitar UM yang hadir sebagai peserta.
Menurut Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes, pensyarah kanan Institut Sains Biologi dan juga penganjur forum, tenaga telah disenaraikan sebagai sasaran ketujuh dalam gagasan ‘Sustainable Development Goals’ (SDG) anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). “Ini merupakan penanda aras pembangunan global yang jelas, dan sepatutnya dilaksana oleh semua pihak di seluruh dunia. Antara usaha yang seharusnya menjadi keutamaan termasuklah, akses kepada tenaga yang mampu milik, jaringan tenaga boleh baharu yang luas, dan kecekapan tenaga. Kesemua ini merupakan kepentingan global masa kini dan perlu dibangunkan dengan pesat dalam masa terdekat, sejajar dengan peningkatan populasi dunia. Keperluan terhadap tenaga adalah universal dan cabaran masa kini dan akan datang ialah untuk membangunkan sumber baharu dengan kaedah yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
“Program yang menjadi jambatan di antara dunia akademik dan industri sebegini haruslah digalakkan, dan diadakan dengan kerap di institusi pengajian tinggi tempatan bagi memberikan input berguna kepada para pelajar. Ini sekaligus bakal meningkatkan kebolehpasaran mereka di dunia pekerjaan nanti,” kata Dr. Zul Ilham lagi mengakhiri temubual.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes di ilham@um.edu.my