15 February 2025

Pemeriksaan klinikal benteng bahana kanser payudara

Featured

Menyantuni mereka di pinggir ibu kota

Pada 29 Disember 2024, Seramai 40 orang pelajar dari...

Beyond these walls

By Dr Noralina Omar It was raining that afternoon. The...

Bila dia ‘halal’

Oleh: Prof. Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin Vape atau...

For our future

By: Lee Wai Guan, Dr. Mohd Istajib Mokhtar Imagine a...

Permata Kinabalu perkasakan mereka

Oleh: Muhammad Taftazany Abd Rahman Dalam era globalisasi yang pesat...

Share

Oleh: Nor Ain Aqilah Hisham, Dr. Nur Nadiatul Asyikin Bujang, Prof. Madya Dr. Nirmala Bhoo-Pathy

Berlalulah sudah bulan Oktober yang sinonim dengan reben berwarna merah jambu. Ianya merupakan bulan kesedaran kanser payudara sejak 36 tahun yang lalu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kanser payudara dan bagi menunjukkan tanda sokongan terhadap mereka yang menghidap kanser tersebut.

Namun, tidak hanya tertumpu di bulan Oktober, semua wanita di seru melakukan pemeriksaan berkala dan saringan kanser payudara.Hal ini kerana kanser payudara merupakan kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia. Seorang daripada setiap 19 wanita di Malaysia dijangka akan menghidap kanser payudara sewaktu hayat mereka.

Malangnya, kebanyakan wanita di Malaysia masih didiagnosa dengan kanser payudara di tahap ketiga ataupun keempat yang melibatkan rawatan yang lebih kompleks dan menelan belanja yang lebih tinggi. Justeru itu, saringan adalah sangat penting kerana pengesanan awal kanser payudara telah terbukti oleh kajian dapat menyelamatkan nyawa dan memanjangkan jangka hayat seseorang penghidap kanser.

Ujian mammogram mungkin sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat. Ianya merupakan kaedah pengesanan awal kanser payudara yang efektif dan telah mendapat perhatian di peringkat global. Walau bagaimanapun, ia bukanlah pilihan utama kerana sebahagian kawasan di Malaysia terutamanya di kawasan pedalaman tidak mempunyai kemudahan ini.

woman in white bath towel holding her hair

Pemeriksaan sendiri payudara pula sangat mudah dilakukan oleh setiap wanita pada setiap bulan.Kaedah ini juga membolehkan pengesanan awal dan telah dipromosikan dengan meluas di kalangan wanita di Malaysia. Namun begitu, kaedah ini bergantung kepada teknik seseorang wanita dalam mengesan ketulan-ketulan yang kecil.

Pemeriksaan klinikal payudara pula kurang popular di kalangan masyarakat sebagai cara untuk mengesan kanser payudara di tahap awal, terutamanya di kalangan wanita yang tidak mempunyai sebarang gejala. Pemeriksaan klinikal payudara melibatkan pemeriksaan fizikal payudara yang dilakukan oleh anggota kesihatan termasuklah doktor dan juga jururawat yang terlatih bagi mengenalpasti ketumbuhan atau perubahan pada payudara. Ianya mudah dan tidak melibatkan kos yang tinggi. Tanda-tanda seperti ketulan keras, puting tertarik ke dalam, lelehan cecair pada puting atau apa-apa perubahan pada kulit di sekitar payudara akan di kenalpasti semasa pemeriksaan ini. Sekiranya mempunyai tanda-tanda ini, wanita berkenaan akan dirujuk untuk pemeriksaan lanjutan di hospital menggunakan ultrasound, mamogram atau pengambilan tisu yang di kenali sebagai biopsi bagi mengesahkan sama ada beliau menghidap kanser payudara atau tidak.

Keberkesanan pemeriksaan klinikal payudara terbukti dapat menyelamatkan nyawa. Kajian yang telah diterbitkan oleh portal British Medical Journal baru-baru ini menunjukkan bahawa di kalangan lebih daripada 150,000 orang wanita di Mumbai, India, pemeriksaan klinikal payudara mampu mengesan kanser di tahap awal dan mengurangkan jumlah kematian akibat kanser payudara sebanyak 30 peratus di kalangan wanita berumur 50 tahun dan ke atas.

Saringan kanser payudara terutamanya pemeriksaan klinikal payudara bukanlah suatu kaedah pengesanan kanser payudara yang baharu di Malaysia. WaIaupun telah dikenalpasti sebagai salah satu modaliti untuk saringan kanser payudara di Malaysia sejak berpuluh tahun yang lepas, ianya hanya dijalankan secara oportunistik terhadap wanita yang hadir ke klinik kesihatan, atau klinik rawatan pesakit luar di negara kita. Saringan oportunistik sebegini boleh menyebabkan keciciran kerana pelaksanaannya dan kejayaanya bergantung kepada permintaan seseorang individu atau saranan daripada anggota kesihatan. Selain itu, kekangan dari segi budaya, stigma dan kekangan masa juga sering menjadi penghalang kepada pemeriksaan klinikal payudara secara oportunistik. Sungguhpun begitu, usaha kerajaan yang mewajibkan semua ibu hamil menjalani pemeriksaan klinikal payudara di klinik-klinik kesihatan harus di puji dan diharapkan dapat dipraktikkan bagi wanita-wanita yang berusia, terutamanya bagi mereka yang sudah putus haid.

Natijahnya, program saringan kanser yang terancang di dalam komuniti di mana wanita-wanita dijadualkan untuk menjalani pemeriksaan klinikal payudara secara berkala di lokasi yang mudah di akses berpotensi untuk berjaya terutamanya apabila dilakukan oleh anggota kesihatan wanita terlatih. Justeru itu, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi menjayakan program saringan sebegini dengan mewujudkan proses kerja yang teratur dan senarai hospital yang boleh dirujuk. Penilaian ke atas keberkesanan program ini juga perlu dipantau dari semasa ke semasa.

Selain itu, usaha untuk menambah baik pemahaman tentang sikap dan pandangan awam terhadap pemeriksaan klinikal payudara serta halangan dalam masyarakat terutamanya di kalangan wanita amat penting. Segala usaha ini memerlukan kesungguhan politik dalam memastikan kita mempunyai sokongan terutamanya dari segi dana untuk menjana latihan sokongan, pelaksanaan dan penilaian program.

Artikel dihasilkan oleh pelajar perubatan Nor Ain Aqilah Hisham, di bawah seliaan Dr. Nur Nadiatul Asyikin Bujang, dan Prof. Madya Dr. Nirmala Bhoo-Pathy dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di nirmala.bhoo.pathy@um.edu.my