Oleh: Prof. Madya Dr. Ilhaamie Abdul Ghani Azmi
Ketua Pengarah Kehakiman Syariah, Dato’ Dr. Mohamad Naim Mokhtar telah melaporkan sebanyak 6,569 kes perceraian berlaku antara tempoh 18 Mac hingga 18 Jun 2020. Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai kes penceraian yang tertinggi dengan 1,252 kes. Kajian penulis mendapati punca perceraian yang banyak difailkan di Mahkamah Syariah terdiri daripada beberapa sebab utama, seperti pengabaian tanggungjawab nafkah, dan tiada keserasian atau tiada persefahaman di antara pasangan.
Pengabaian di pihak suami dalam menunaikan tanggungjawab nafkah kepada isteri dan anak-anak merupakan antara punca perceraian yang tertinggi di Malaysia terutamanya di kala pandemik COVID 19 ini. Ramai lelaki telah dibuang kerja atau dipotong gaji. Ini memberi impak kepada kewangan keluarga. Terdapat juga suami yang salah faham apabila isteri turut bekerja maka dia tidak perlu memberi nafkah kepada isteri. Makin memburukkan lagi keadaan apabila suami tidak membantu isteri dalam urusan rumahtangga, sedangkan Rasulullah SAW sendiri sentiasa membantu isteri-isterinya dalam urusan rumahtangga.
Kegagalan memberikan nafkah kepada isteri ini turut melibatkan golongan yang berkerjaya hebat, golongan profesional, dan bukan hanya berlaku di kalangan lelaki berpendapatan rendah dan sederhana sahaja. Tekanan menghadapi pandemik COVID 19 mungkin merupakan puncanya. Suami sebagai Qawwam sepatutnya menjadi pelindung, pemberi kasih sayang dan sudah semestinya pemberi nafkah keluarga. Isteri boleh bersabar dalam jangka masa pendek. Namun begitu, sekiranya isteri tidak boleh bersabar dalam jangka masa panjang, maka akan bergoncanglah rumahtangga.
Punca kedua ialah tiada keserasian atau tiada persefahaman di antara pasangan di mana bukan sahaja berlaku kepada pasangan yang baru bernikah, tetapi banyak juga menimpa pasangan yang sudah lama berumahtangga. Kebanyakan mereka tidak menghormati pasangan mereka, keluarga suami atau keluarga isteri. Ada yang berpandangan, suamilah yang kena cakna untuk keluarga suami, bukan tugas isteri dan sebaliknya sehingga menyebabkan hubungan menjadi tidak mesra dan menimbulkan konflik antara ipar-duai, mertua-menantu dan sebagainya. Ada juga yang suka mencari salah pasangan, pantang berlaku kesalahan, maka akan terus disebut dan diungkit.
Terdapat empat solusi kepada permasalahan wanita dalam rumahtangga yang boleh dipertimbangkan, iaitu pengurusan masa, pengurusan akhlak, pengurusan kewangan, dan pengurusan kekeluargaan. Wanita dilihat memainkan banyak peranan pada masa yang sama, iaitu sebagai anak, isteri, ibu, pekerja, dan hamba Allah. Mengikut kajian penulis juga, wanita menghabiskan majoriti masa di tempat kerja kerja (40%), diikuti di rumah (28%), tidur (22%), perjalanan (6%) ,dan lain-lain (4%). Justeru, perlu ada keseimbangan yang baik antara kerjaya dan rumah tangga serta ibadah, untuk menjadi seorang wanita berkeluarga yang cemerlang.
Wanita perlu pandai mengatur keutamaan seperti ibadah dan tugas pejabat serta keluarga dengan baik dan memastikan tiada pertindanan berlaku. Terdapat 4 konsep pengurusan yang boleh diaplikasi di sini iaitu perancangan, penyusunan, kepimpinan dan kawalan. Sebagai wanita cemerlang, mereka perlu bijak dalam merancang dan menyusun atur jadual seharian agar tiada pertindanan berlaku dan perkara penting perlu diutamakan antara kerjaya, rumah tangga dan ibadah. Wanita atau isteri juga boleh mengagih tugas rumahtangga kepada suami dan anak-anak sekiranya masa tidak mengizinkan di mana mereka sibuk dengan urusan pejabat. Di samping itu, tidak lupa untuk membuat kawalan sekiranya ada masalah berlaku yang boleh menyebabkan tugas rumahtangga tidak dapat diselesaikan.
Ini menunjukkan wanita tidak boleh alpa dengan kerjaya sehingga mengabaikan tugas rumahtangga. Anak-anak adalah modal insan negara, justeru; mereka perlu dipupuk dengan kasih sayang dan didikan yang baik. Wanita atau ibu perlu bercakap dengan mereka dengan kata-kata yang baik (qaulan sadida). Jangan mengherdik atau memaki mereka. Bercakap dengan hikmah sekiranya anak-anak tidak atau susah mendengar kata. Kita tidak mahu anak kita menjadi penagih dadah atau terlibat dengan judi, zina, minum arak, rempit, buang bayi dan seumpamanya yang mana menyalahi Syariah dan undang-undang negara. Dalam perbelanjaan rumahtangga pula, wanita dinasihatkan agar tidak boros, tetapi membeli secara berhemah iaitu membeli barangan keperluan sahaja. Jangan suka berhutang dengan membeli barang-barang yang tidak perlu. Wanita sering tergoda dengan tawaran jualan atau diskaun jualan. Membazir adalah sifat syaitan. Cuba semak barang-barang yang sudah ada di rumah dan beli barang-barang yang tiada sahaja.
Akhir sekali, wanita atau isteri perlu memastikan perhubungan mereka dengan sanak saudara adalah baik. Caranya ialah dengan menziarahi ibu bapa, keluarga dan sanak saudara, mengadakan aktiviti dengan mereka bagi mengeratkan silaturrahim seperti hari keluarga, dan mempunyai komunikasi yang baik dengan sekurang-kurangnya menubuhkan grup WhatsApp keluarga yang mampu menjadi medium penyampaian maklumat dan berita dengan pantas.
Dr. Ilhaamie Abdul Ghani Azmi merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di amieazmi@um.edu.my